Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah bacaan yang terbaik atau doa yang terbaik ketika sedang melakukan Tawaf?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Tawaf merupakan salah satu ibadat yang dituntut, bahkan menjadi rukun dalam ibadat haji dan umrah. Allah SWT berfirman:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ ‎

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

(Surah al-Hajj: 29)

Terdapat beberapa syarat tawaf, iaitu:

  • Menutup aurat. Ia merupakan syarat tawaf sepertimana syarat sahnya solat.
  • Suci daripada hadas dan najis pada pakaian dan tempat
  • Kedudukan Ka’bah mestilah di sebelah kiri
  • Permulaan ibadah tawaf bermula dari Hajar Aswad. Mestilah merangkumi keseluruhan badan ketika permulaan tawaf di Hajar Aswad. Dan sekiranya sebaliknya maka tidak sah tawafnya
  • Mestilah mencukupi tujuh pusingan. Dan sekiranya syak pada bilangannya maka ambillah bilangan yang sedikit seperti solat.
  • Melakukan tawaf di dalam masjid. Dan sekiranya di luar kawasan masjid maka batal tawafnya. Sah sekiranya pada tingkat kedua dan sutuh (bumbung) masjid. Dan ini merupakan ijma’ ulama’.
  • Mestilah diluar kawasan kaabah, Syazarwan dan Hijr Ismail. Disyaratkan melakukan tawaf di luar kawasan kaabah dengan keseluruhan anggota badannya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/346 dan al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 480).

Berkenaan dengan persoalan di atas, suka kami nyatakan bahawa sunat pada permulaan tawaf kita berdoa dengan menyebut:

بِسْمِ اللَّهِ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُمَّ إِيمَانًا بِكَ، وَتَصْدِيقًا بِكِتَابِكَ، وَوَفَاءً بِعَهْدِكَ، وَاتِّبَاعًا لِسُنَّةِ نَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Sedangkan antara dua rukun Yamani dan Hajarul Aswad, membaca doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Seseorang itu boleh berdoa dalam semua tawafnya mengikut kehendaknya. Membaca al-Quran semasa tawaf adalah lebih afdhal daripada doa  yang tidak ma’thur. Adapun doa yang ma’thur, maka ia lebih afdhal mengikut pendapat yang sahih. Manakala pendapat yang kedua menyebut bahawa membaca al-Quran tetap lebih afdhal. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/366-267).

Justeru, semasa kita bertawaf, elakkan daripada bercakap-cakap, berselfie, menjawab panggilan telefon dan seumpamanya. Sekalipun ia dibenarkan, tetapi tawaf adalah tempat ibadat yang seharusnya kita fokus untuk melakukan ibadat.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 10/11/2021 bersamaan 5 Rabiul Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *