Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ingin bertanya, semasa ibadah umrah saya sekeluarga baru-baru ini, anak perempuan saya kedatangan haid pada hari terakhir keberadaan kami di Makkah menyebabkan dia tidak dapat mengerjakan tawaf wada‘. Soalannya, apakah hukumnya dan adakah dia dikenakan dam? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya:Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

(Surah al-Hajj: 29)

Al-Syaukani menyatakan bahawa tawaf yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah tawaf ifadhah. Kaabah disebut sebagai “الْعَتِيقِ” kerana Allah SWT telah membebaskannya daripada kekuasaan orang yang zalim. Terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya ialah mulia. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 437)

Tawaf Wada‘

Berkenaan dengan tawaf wada‘, menurut mazhab Syafi‘I hukumnya adalah wajib sebagaimana hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم :لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya:Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (bagi meninggalkan Makkah). Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah sekali-kali seseorang (jemaah) itu meninggalkan Makkah sehinggalah akhir keberadaannya di Baitullah (untuk melaksanakan tawaf wada‘).’

Riwayat Muslim (1327)

Al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan kepada kewajipan melakukan tawaf wada‘. Apabila ditinggalkan, maka dia hendaklah membayar dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami (mazhab al-Syafi‘i) dan inilah pendapat majoriti ulama seperti al-Hasan al-Basri, al-Thauri, Hammad, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq dan Abu Thaur. Manakala Malik, Daud dan Ibn al-Munzir menyatakan bahawa hukumnya adalah sunat sahaja dan tidak dikenakan dam bagi sesiapa yang meninggalkannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/78-79)

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa sesiapa yang ingin keluar meninggalkan Mekah untuk pulang ke tanah air masing-masing atau ke tempat yang lain, wajib ke atasnya melakukan tawaf wada‘ (sebelum bergerak keluar). Tawaf wada‘ bukanlah sebahagian daripada manasik haji, mahupun umrah, tetapi ia merupakan ibadah yang tersendiri. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/402)

Pengecualian ke atas Perempuan yang Didatangi Haid

Walau bagaimanapun perempuan haid diberi keringanan (rukhsah) untuk meninggalkan tawaf wada‘ dan tidak dikenakan sebarang dam. Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ

Maksudnya:Manusia diperintahkan agar menjadikan urusan terakhir mereka (ketika melakukan haji atau umrah) dengan tawaf sekeliling kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita yang sedang haid.”

Riwayat al-Bukhari (1755); Muslim (3284)

Al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan kepada kewajipan melakukan tawaf wada‘ kepada selain daripada perempuan yang didatangi haid kerana kewajipan tawaf wada‘ ini telah gugur daripadanya. Perempuan itu juga tidak dikenakan dam kerana meninggalkan tawaf wada‘ ini. Ini merupakan pendapat mazhab al-Syafi‘i, Malik, Abu Hanifah, Ahmad dan ulama keseluruhannya melainkan apa yang dinukilkan oleh Ibn al-Munzir daripada ‘Amr bin Umar dan Zaid bin Thabit R.Anhum bahawa mereka berpendapat bahawa perempun tersebut hendaklah bermukim bagi mengerjakan tawaf wada‘. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/79)

Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-29 ada menyenaraikan golongan yang dikecualikan daripada melaksanaan tawaf wada‘, ia tidak dikenakan dam dan tidak berdosa jika meninggalkannya. Antaranya ialah:

  • Perempuan yang kedatangan haid atau nifas.
  • Perempuan yang didatangi darah istihadhah dalam tempoh haidnya.
  • Orang luka yang mengeluarkan banyak darah dan boleh menajiskan masjid.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, perempuan yang didatangi haid diberi keringanan (rukhsah) untuk meninggalkan tawaf wada‘ dan perempuan itu tidak dikenakan sebarang dam kerana meninggalkannya. Lebih-lebih lagi, di antara syarat sah tawaf juga adalah suci daripada hadas besar dan kecil, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 13 Januari 2022 bersamaan 10 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *