Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum saya membuat rakaman dengan kamera atau ber ‘selfie’ semasa tawaf bagi tujuan berkongsi pengalaman dalam melakukannya? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Maksudnya:Dan nikmat Tuhan kamu, maka ceritakanlah.

(Surah al-Dhuha: 11)

Ayat di atas ditafsirkan bahawa Allah SWT memerintahkan untuk menceritakan kepada orang lain nikmat-nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya, di samping menzahirkan dan memperlihatkan nikmat-nikmat itu kepada orang lain, sebagai salah satu bentuk rasa syukur. Namun terdapat pendapat lain menyatakan bahawa ‘nikmat’ di sini bermaksud al-Quran, yang Allah SWT perintahkan untuk membaca dan menyampaikannya. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 812)

Begitu juga terdapat tuntutan untuk menzahirkan kesyukuran dengan cara menceritakan nikmat yang diperolehi. Dalam sebuah riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

التَّحَدُّثُ بِالنِّعَمِ شُكْرٌ

Maksudnya:Menceritakan nikmat-nikmat itu adalah suatu kesyukuran.

Riwayat Ibn Abi al-Dunya dalam al-Syukr (64); Riwayat Ahmad (18449); Riwayat al-Qadha’i dalam Musnad al-Syihab (44)

Justeru, hadith di atas jelas menunjukkan bahawa kita diperintahkan untuk menzahirkan kesyukuran di atas segala nikmat yang kita perolehi. Kemudian, di antara tanda kesyukuran tersebut adalah dengan menceritakan atau memperlihatkan nikmat-nikmat itu sama ada melalui lisan, gambar, rakaman video, dan seumpamanya.

Walau bagaimanapun, Ibn al-‘Arabi menyatakan bahawa perbuatan menceritakan amalan soleh yang dilakukan itu hendaklah dilakukan dengan penuh keikhlasan di hadapan orang yang terpercaya kerana boleh jadi ia akan membawa kepada riyak dan menimbulkan buruk sangka kepada pendengarnya. (Lihat Ahkam al-Quran, 4/356)

Syarat Sah Tawaf

Secara umumnya, suatu tawaf itu dianggap sah sekiranya memenuhi kesemua syarat-syaratnya. Antaranya ialah:

  1. Syarat sah tawaf adalah sebagaimana syarat sah solat, iaitu niat, suci daripada hadas besar dan kecil, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat.
  2. Semasa tawaf, mana-mana bahagian badan, tidak boleh termasuk ke dalam sempadan Kaabah. Justeru, hendaklah tawaf di luar kawasan Hijr Ismail kerana ia juga termasuk di dalam kawasan Kaabah dan tidak boleh tawaf di dalamnya.
  3. Selain itu, tawaf juga hendaklah dimulakan daripada Hajar Aswad dengan Kaabah berada di sebelah kiri badan. Sesiapa yang memulakan tawaf di belakang garisan Hajar Aswad ia belum dikira tawaf sehingga dia sampai ke garisan tersebut. Seterusnya, dia hendaklah menyempurnakan tawafnya sebanyak 7 kali. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/141)

Melakukan Tawaf Sambil Melakukan Rakaman Video

Pada asasnya, perbuatan merakam video adalah kekal kepada hukum asal sesuatu perkara selain ibadah iaitu harus. Namun dalam isu ini, perbuatan merakam video terkait dengan amalan lain yang berbentuk ibadah. Maka, hendaklah diteliti bahawa adakah perbuatan merakam tersebut dibenarkan ketika melakukan ibadah tawaf, ataupun tidak?

Mengenai tawaf pula, perbuatan tersebut disifatkan kedudukannya oleh Baginda SAW sebagai menyamai ibadah solat. Cuma yang membezakannya adalah, seseorang yang melakukan tawaf boleh berkata-kata ketika menunaikannya berbeza dengan solat. Terdapat sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلاَةِ ، إِلاَّ أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلاَ يَتَكَلَّمَنَّ إِلاَّ بِخَيْرٍ

Maksudnya:Tawaf mengelilingi Kaabah sama seperti solat, hanya sahaja kamu (boleh) bercakap di dalamnya (ketika tawaf). Sesiapa yang mahu bercakap-cakap tatkala tawaf, maka hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.”

Riwayat al-Tirmizi (960)

Al-Amir al-San‘ani menyatakan bahawa penyerupaan tawaf dengan solat adalah pada pahala dan syarat suci baginya. Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa diharuskan bagi seseorang itu untuk berbicara dengan orang lain ketika menunaikan ibadah tawaf. Adapun perkataan berupa zikir-zikir ketika tawaf, maka hukumnya adalah sunat. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 7/183)

Selain itu, Imam al-Syafi‘i dan para ashab berpendapat bahawa bercakap-cakap di dalam tawaf hukumnya adalah diharuskan. Perbuatan bercakap-cakap tersebut tidak membatalkan tawafnya dan tidak juga dihukumkan sebagai makruh. Akan tetapi meninggalkan perbuatan bercakap-cakap itu adalah lebih utama melainkan pada percakapan yang baik seperti amar makruf nahi mungkar, mengajar orang yang jahil, memberi fatwa (menjawab pertanyaan) atau seumpamanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/46)

Bukan itu sahaja, Badruddin al-‘Aini menukilkan daripada Imam al-Syafi‘i daripada riwayat Ibn Umar bahawasanya beliau berkata:

أَقِلُّوا الْكَلَامَ فِي الطَّوَافِ، فَإِنَّمَا أَنْتُم فِي صَلَاةِ

Maksudnya:Kurangkanlah percakapan di dalam tawaf kerana sesungguhnya kamu berada di dalam solat.

(Lihat ‘Umdah al-Qari, 9/263)

Imam al-Tirmizi menambah lagi dengan menyatakan bahawa yang menjadi amalan di sisi kebanyakan ulama ialah mereka lebih menyukai sekiranya seseorang itu tidak bercakap-cakap ketika melakukan tawaf melainkan kerana adanya keperluan atau berzikir kepada Allah atau ilmu. (Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/285)

Tambahan pula, dinukilkan daripada Abu Umar daripada ‘Ata’ bahawa beliau tidak suka untuk bercakap-cakap ketika tawaf melainkan ada keperluan. Begitu juga Mujahid akan membaca al-Quran di dalam tawafnya. Imam al-Syafi‘i berkata: “Aku lebih suka untuk membaca al-Quran di dalam tawaf kerana ia merupakan sebaik-baik perkara yang diucapkan oleh manusia.” (Lihat ‘Umdah al-Qari, 9/263)

Demikianlah juga, perbuatan makan dan minum ketika tawaf, hukumnya adalah makruh. Namun, hukum makruh bagi perbuatan minum adalah lebih ringan. Sekalipun begitu, tawaf tidak terbatal dengan salah satu daripada perbuatan tersebut, mahupun kedua-duanya secara serentak. Imam al-Syafi‘i menyatakan bahawa tidak mengapa meminum air ketika tawaf dan aku juga tidak menghukumkannya sebagai makruh — yakni berdosa — tetapi aku lebih menyukai sekiranya perbuatan itu ditinggalkan kerana meninggalkannya adalah lebih baik dari sudut adabnya.

Bahkan sepatutnya seseorang yang sedang melakukan tawaf itu mengkhusyukkan diri dengan menghadirkannya ke dalam hati mereka dengan penuh adab secara zahir dan batin, dalam setiap keadaan, pergerakan dan penglihatan mereka. Hal ini kerana tawaf itu adalah seperti mana solat, maka beradablah dengan adab-adabnya, di samping merasakan di dalam hatinya keagungan Allah SWT. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/46)

Selain daripada itu, berdasarkan kepada hadith Ibn Abbas ini, berkata-kata semasa menunaikan tawaf, mestilah diikat dengan anjuran mengucapkan ucapan yang baik semasa mengerjakan tawaf.

Berdasarkan pendapat-pendapat ulama di atas, kami juga ingin menambah bahawa setiap perbuatan yang harus untuk dilakukan semasa tawaf, mestilah tidak sampai membawa kepada gangguan terhadap jemaah lain sebagaimana ditekankan oleh Syeikh Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadith Ibn Abbas di atas menyatakan bahawa termasuk dalam ucapan yang baik ialah berzikir kepada Allah SWT dan menyampaikan ilmu, dalam bentuk yang tidak mengganggu para jemaah lain yang sedang mengerjakan ibadah tawaf. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 5/1789)

Sekiranya ia berlaku, maka hendaklah sedaya upaya dielakkan. Contohnya adalah perbuatan merakam video semasa mengerjakan tawaf. Jika seseorang itu sedang melakukan tawaf, lalu dia merakam video perjalanan tersebut dengan kamera yang diletakkan di video stick, sudah tentu perbuatan tersebut akan menganggu pergerakan dan tumpuan jemaah lain.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa perbuatan merakam video semasa mengerjakan tawaf merupakan suatu perbuatan yang makruh dan perlu dielakkan. Hal ini kerana, ia akan mengganggu tumpuan perakam tersebut yang sepatutnya ditumpukan bagi melakukan ibadah ini dengan penuh khusyuk dan fokus. Malah dikhuatiri juga perbuatan tersebut akan melarikan tujuan asal para jemaah untuk beribadah di Tanah Haram. Selain itu perbuatan itu juga akan mengganggu perjalanan tawaf para jemaah lain yang sedang mengerjakannya.

Sepatutnya waktu tawaf tersebut termasuk dalam waktu ibadat yang sepatutnya digunakan dan ditumpukan untuk acara ibadat seperti berzikir, berdoa, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi SAW, merasakan keagungan Allah SWT di dalam hati dan lain-lain.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 14 Januari 2022 bersamaan 11 Jamadil Akhir 1443H

1 thoughts on “#300 Tawaf sambil Membuat Rakaman Video atau Selfie untuk Berkongsi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *