Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum buat badal haji kepada arwah yang telah pernah buat ibadah haji?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam masalah ini, Allah SWT mewajibkan haji kepada yang istita’ah atau berkemampuan. Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

 (Surah Ali-Imran: 97)

Takrif Badal Haji

Imam al-Nawawi berkata: Istita’ah yang terhasil daripada orang lain ialah seseorang yang tidak mampu daripada melakukan haji dengan dirinya sendiri dengan sebab kematian, kecacatan, atau sakit yang tidak ada harapan sembuh atau yang amat tua sehingga tidak mampu tetap atas tunggangan atau kenderaan kecuali dalam keadaan yang sukar. Orang yang tidak mampu seperti ini yang masih hidup dinamakan dengan ma’dhub (معضوب). 

Kemudian wajib diwakilkan haji bagi si mati jika dia mampu pada masa hidupnya di mana dia tidak melaksanakan ibadat haji. Ini pun sekiranya dia mempunyai harta pusaka. Jika sebaliknya, maka tidak wajib bagi waris menunaikan haji untuknya. (Lihat al-Taudhih Syarah al-Idhah, hlm. 175)

Berkenaan kewajipan haji, ijmak ulama menyatakan haji wajib hanya sekali sepanjang hayat. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW ketika menjawab pertanyaan sahabat adakah haji wajib setiap tahun. Daripada Abu Hurairah RA, katanya:

خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فُرِضَ عَلَيْكُمُ الْحَجُّ فَحُجُّوا» فَقَالَ رَجُلٌ: أَكُلَّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ فَسَكَتَ حَتَّى قَالَهَا ثَلَاثًا فَقَالَ: ” لَوْ قُلْتُ: نَعَمْ لَوَجَبَتْ وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ “

Maksudnya: “Rasululllah SAW pernah berkhutbah kepada kami seraya bersabda: Hai sekalian manusia, telah difardhukan ke atas kamu haji, maka lakukanlah ibadat haji. Maka seorang lelaki bangkit seraya bertanya: Adakah setiap tahun ya Rasulullah? Maka Rasulullah diam sehingga ditanya tiga kali, lantas sabda Nabi SAW: “Jika aku katakan ‘Ya’, maka haji akan menjadi wajib sedangkan kamu tidak mempunyai kemampuan.”

Riwayat Bukhari (7288), Muslim (1337), al-Tirmizi (2679), al-Nasa’ie (2619), dan Ahmad (10615)

Berkenaan dengan persoalan di atas, ada beberapa keadaan:

  • Jika dia perlu qada’ haji yang tidak sempurna, maka hendaklah dibadalkannya. 
  • Jika dia bernazar untuk melaksanakan haji, maka hendaklah dibadalkannya, kerana haji nazar adalah wajib. 
  • Jika dia wasiatkan untuk melaksanakan haji atau lakukanlah badal haji untuknya jika dia meninggal dunia. Maka, bolehlah pihak waris menunaikan haji bagi pihaknya. 

Jika sekiranya selain dari itu, saya berpendapat alangkah baiknya digunakan duit tersebut untuk wakaf kepada si mati atau membantu mana-mana jemaah haji yang ingin ke Mekah dalam melaksanakan ibadat haji yang wajib. Sesungguhnya, rahmat Allah SWT amatlah luas dan akan dikurniakan kepada si mati kebaikan yang banyak kerana menolong saudaranya dalam menyempurnakan ibadat haji yang menjadi cita-cita setiap umat Islam.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *