Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya nak tanya mengenai Upah Haji. Betulkah ada orang cakap yang upah haji yang dikenakan RM2k (contoh) itu tidak sah upah haji sebab ambil nama dalam 10 orang untuk dilakukan sekali gus, tidak sah upah haji begini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum saya menjawab persoalan ini, sebagaimana yang kita ketahui, haji adalah wajib sekali seumur hidup bagi yang mampu. 

Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

 (Surah Ali-Imran: 97)

Badal haji atau mengupah seseorang untuk melakukan haji bagi pihak si mati adalah dibolehkan. Hal ini berdasarkan hadith riwayat Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW Nabi SAW mendengar seorang lelaki mengucapkan: “Labbaik ‘an Syubrumah (aku memenuhi panggilan-Mu, Ya Allah, atas nama Syubrumah).” Baginda SAW lantas bersabda:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا يَقُولُ: لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ، قَالَ: «مَنْ شُبْرُمَةُ؟» قَالَ: أَخٌ لِي – أَوْ قَرِيبٌ لِي – قَالَ: «حَجَجْتَ عَنْ نَفْسِكَ؟» قَالَ: لَا، قَالَ: حُجَّ عَنْ نَفْسِكَ ثُمَّ حُجَّ عَنْ شُبْرُمَةَ

Maksudnya: “Siapakah Syubrumah?” Dia menjawab: “Syubrumah ialah saudaraku.” — atau dia menjawab: “…kerabatku”. Baginda SAW bertanya: “Adakah engkau sudah menunaikan haji untuk diri engkau sendiri?” Dia menjawab: “Belum.” Baginda SAW bersabda: “Tunaikanlah haji untuk diri engkau dahulu, kemudian barulah tunaikan haji bagi pihak Syubrumah”

Riwayat Abu Daud (1811) dan Ibn Majah (2903)

Persoalan yang saudara kemukakan sebenarnya saya kurang memahaminya. Ini kerana kaedah menyebut:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.” (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 1/50)

Jika saya andaikan diupah haji dengan sejumlah yang ramai untuk seseorang, maka yang terangkat haji fardhu adalah yang pertama dan yang selesai awalan kerana selain daripada itu akan menjadi sunat. Ini kerana kewajipan haji hanya sekali sahaja. 

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *