Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya mempunyai anak lelaki yang telah meninggal dunia pada usia 11 tahun 2 bulan beberapa tahun yang lalu. Pada saat kematiannya, dia belum menampakkan ciri-ciri fizikal sekunder mencapai akil baligh. Namun almarhum sudah melakukan tanggungjawab bersolat 5 waktu dan berpuasa di bulan Ramadan secara sendiri tanpa dipaksa. Adakah saya perlu melakukan Badal Haji untuk beliau?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya mulakan dengan mengucaokan takziah kepada saudara atas pemergian cahaya mata dan anak yang dikasihi. Semoga ia menjadi syafaat bagi saudara pada Hari Akhirat kelak. 

Menjawab persoalan di atas, saya mulakan sebuah hadith daripada Ali bin Abi Talib RA, Nabi SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi, dan orang yang gila sehingga dia berakal.”

Riwayat Abu Daud (4403)

Nas di atas menunjukkan taklifan ibadat dikecualikan daripada tiga golongan ini. Dalam erti akta yang lain, sekali pun seseorang itu melakukan perkara maksiat, ia tidak dianggap berdosa kerana mereka bukanlah ahli taklif. 

Akan tetapi, apabila seorang kanak-kanak melaksanakan ibadah haji, ibadah tersebut adalah sah namun ibadah tersebut dikira sebagai ibadah sunat dan wajib ke atasnya untuk melaksanakan haji fardhu apabila dia sudah baligh. Ini adalah berdasarkan hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

إِذَا حَجَّ الصَّبِيُّ فَهِيَ لَهُ حَجَّةٌ حَتَّى يَعْقِلَ، وَإِذَا عَقَلَ فَعَلَيْهِ حَجَّةٌ أُخْرَى

Maksudnya: “Apabila seorang kanak-kanak menunaikan haji maka baginya haji sampai dia berakal (baligh), maka apabila dia sudah berakal maka baginya haji yang lain (mengulangi haji).”

Riwayat al-Hakim (1769)

Dapat difahami bahawa baligh merupakan syarat wajib kepada seseorang itu untuk melaksanakan ibadah haji dan ibadah haji bagi kanak-kanak tersebut dikira sebagai amalan sunat dan wajib bagi mereka untuk melaksanakan ibadah haji apabila mereka sudah baligh kelak.

Ibn Qudamah juga telah mensyarahkan perkara ini di dalam kitabnya: “Ibn Munzir berkata:  Para ulama’ telah bersepakat, bahawa kanak-kanak yang sudah menunaikan haji ketika masih kecil kemudian kanak-kanak tersebut sudah dewasa atau telah dimerdekakan maka wajib bagi mereka untuk menunaikan haji apabila mereka sudah memiliki kemampuan.” (Lihat al-Mughni, 5/44)

Justeru, saya katakan jika si bapa ingin badalkan haji untuk anak maka hukumnya adalah sunat semata-mata bukan menjadi kewajipan kepada si bapa atau penjaga untuk membadal hajikan kepada kanak-kanak yang belum baligh itu. 

Niat saudara adalah amat baik, semoga mematuhi nas dan perintah Allah SWT serta Rasul-Nya adalah menjadi keutamaan kita dalam melaksanakan satu-satu perintah Tuhan.

Pendapat saya, adalah lebih baik juga saudara menghajikan kepada kaum keluarga dan saudara kepada tuan yang meninggal dunia tetapi belum melaksanakan haji serta mereka mampu atau kemampuannya terhad. Ini juga termasuk dalam sedekah yang  baik dan sebuah tanggungjawab serta silaturrahim kepada si mati yang diteruskan. 

Sebagai mana seorang sahabat telah menunaikan haji secara badal untuk saudaranya Syubrumah. Begitu juga, haji untuk ibu yang meninggal dunia yang belum melaksanakannya lagi.

Hukumnya diharuskan oleh Syarak menurut jumhur fuqaha berdasarkan hadith daripada Nabi ﷺ. Daripada Ibnu Abbas RA : Seorang wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah ﷺ dan berkata: 

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً؟ اقْضُوا اللَّهَ، فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ”.

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji, apakah aku perlu menunaikan haji bagi pihaknya?” Jawab Baginda : “Ya, tunaikanlah haji untuknya. Apa pandangan kamu kalau ibu kamu berhutang, apakah kamu perlu melunaskannya?” Jawabnya : “Ya,” Sabda Baginda: “Tunaikanlah hutang Allah dan hutang Allah lebih berhak untuk dilunaskan.

Hadis riwayat al-Bukhari, Ahmad dan An-Nasaie

Sekali lagi saya berdoa kepada Allah SWT semoga tuan dan anak tuan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh di akhirat kelak.

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *