Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai was-was yang saya alami semasa mengerjakan umrah 5 tahun lepas, di mana semasa melakukan tawaf, saya rasa macam ada rasa terkucil, yakni rasa macam terkeluar air kencing semasa melakukan tawaf. Namun pada masa itu, saya cuba sebaik mungkin untuk membuang fikiran itu kerana saya rasa mungkin bukan terkucil dan pada masa itu saya melakukan tawaf dengan kumpulan dan tidak mahu menyusahkan jemaah lain. Kadang-kadang was-was ni timbul kembali apabila terkenang-kenang diberi keizinan Allah untuk melakukan umrah 5 tahun lepas. Apakah hukumnya disini? Adakah umrah saya tidak diterima dan adakah saya dikenakan dam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ ۚ

Maksudnya: “Dan  sempurnakanlah Ibadat Haji dan Umrah kerana Allah..”

Surah al-Baqarah :196

Para ulama telah bersepakat bahawa hukum haji adalah fardhu dan tidak ada seorang pun dalam kalangan mereka yang berpendapat sebaliknya. Oleh sebab itu, mereka menghukumkan sebagai kafir kepada sesiapa sahaja yang mengingkari sesuatu yang telah thabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘. Demikianlah juga bagi ibadah umrah, hukumnya adalah fardhu sebagaimana haji menurut pendapat yang jelas daripada Imam al-Syafi‘i dan ayat di atas merupakan dalil bagi mereka yang berpendapat bahawa umrah adalah fardhu. Selain itu, mereka juga telah bersepakat menyatakan bahawa haji dan umrah wajib dilakukan oleh mereka yang berkemampuan, hanya sekali seumur hidup. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/115-116; al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 378-379.)

Umrah pada bahasa ialah ziarah, manakala dari segi istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama ialah tawaf di baitullah, dan saie di antara safa dan marwah dengan ihram.  (Lihat Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 30/314)

Untuk menjawab persoalan saudara, saya mengatakan bahawa ibadat umrah anda sah dan tidak perlu untuk diragukan. Ini kerana:

  • Rasulullah SAW mengajar kita:

 دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu. Sesungguhnya kebenaran itu adalah ketenangan dan pembohongan itu suatu yang meragukan.”

Riwayat Al-Tirmizi (2518) daripada Al-Hasan bin ‘Ali R.Anhuma

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani menukilkan ucapan Al-Khattabi berkenaan maksud di sebalik hadith ini. Beliau berkata: “Setiap apa yang kamu ragu padanya maka lebih baik menjauhinya.” (Lihat Fath al-Bari, 4/293)

Ibn Daqiq al-’Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan”. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 35)

  • Kaedah menyebut ia berdasarkan kepada asal anda, iaitu bersuci dan berwuduk. Maka, kekallah dia atas wuduk tersebut. Benarlah kaedah:

الْأَصْل بَقَاء مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya : Pada asasnya, sesuatu itu kekal mengikut keadaan asalnya.(Lihat Al-Asybah wa al-Nazhair, Al-Suyuthi (Hlm. 52)

Justeru, alpakan kisah yang lalu, doa kepada Allah SWT semoga segala ibadat kita diterima dan jangan layan bisikan syaitan kerana ia akan membawa kepada keletihan fikiran dan sentiasa berada dalam syak wasangka serta was-was yang tidak berkesudahan. Ia juga termasuk dalam talbis iblis.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Bertarikh: 12 Mei 2023 bersamaan 23 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *