Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Apakah yang dimaksudkan dengan haji dan umrah dan apakah perbezaan di antara dua perkara tersebut? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Merujuk kepada persoalan di atas, haji (الحَجُّ) dari segi bahasa adalah al-Qasd (القصدُ) iaitu menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Begitu juga dikatakan, “وَرَجُلٌ مَحْجُوجٌ” iaitu lelaki yang dimaksudkan. (Lihat Lisan al-‘Arab, 2/226). Menurut Ibn Faris, maknanya ialah menuju ke al-Bait al-Haram bagi mengerjakan manasik. (Lihat Maqayis al-Lughah, 2/29).

Manakala dari segi istilah syarak: 

Pertama mazhab Hanafi: 

  • Abu al-Barakat al-Nasafi daripada kalangan ulama mazhab Hanafi mendefinisikan haji sebagai menziarahi atau mengunjungi tempat tertentu pada masa-masa tertentu dengan amalan-amalan tertentu. (Lihat Kanz al-Daqa’iq, hlm. 226). 
  • ‘Ala’uddin al-Haskafi menjelaskan lagi definisi ini dengan mengatakan, menziarahi itu adalah melakukan tawaf dan berwuquf di tempat-tempat tertentu iaitu di Kaabah dan Arafah, pada masa-masa tertentu iaitu bagi tawaf bermula dari waktu fajar hari al-Nahr sehingga akhir umurnya, manakala bagi wuquf bermula dari gelincir matahari hari Arafah hingga waktu fajar hari al-Nahr, dengan amalan-amalan tertentu iaitu dalam keadaan berihram dengan niat haji. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, hlm. 155; Hasyiah Ibn ‘Abidin, 2/454).

Kedua mazhab Maliki:

  • Syeikh al-Dardir daripada kalangan ulama mazhab Maliki pula mendefinisikan haji sebagai berwuquf di Arafah, mengerjakan tawaf di Baitullah (Kaabah) sebanyak tujuh pusingan, melakukan sa‘ie antara Safa dan Marwah, demikianlah juga dalam bentuk tertentu dengan berihram. Al-Dusuki menjelaskan, yang dimaksudkan “dengan berihram” ialah perbuatan berwuquf, tawaf ifadhah dan sa‘ie dilakukan dalam keadaan berihram. (Lihat al-Syarh al-Kabir li al-Syeikh al-Dardir wa Hasyiah al-Dusuqi, 2/2).

Ketiga mazhab Syafi‘i:

  • Ulama dalam kalangan mazhab al-Syafi‘i pula mendefinisikan haji sebagai menuju atau mengunjungi Kaabah bagi mengerjakan manasik atau menuju ke Makkah bagi mengerjakan amalan-amalan tertentu pada masa-masa tertentu. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/255; Mughni al-Muhtaj, 2/205).
  • Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan, haji dari sudut syarak bermaksud mengunjungi Baitullah al-Haram untuk melakukan ibadah tertentu, dengan syarat-syarat yang khusus. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, 2/113).

Keempat mazhab Hanbali:

  • Al-Buhuti daripada kalangan ulama mazhab Hanbali mendefinisikan haji sebagai menuju atau mengunjungi Makkah bagi mengerjakan amalan-amalan tertentu pada masa-masa tertentu. (Lihat Syarh Muntaha al-Iradat, 1/511).
  • Ibn Qudamah mentakrifkan haji dari segi syarak sebagai nama bagi perbuatan-perbuatan yang tertentu. (Lihat al-Mughni, 5/5).

Oleh itu, kita dapat melihat bahawa takrifan dari segi syarak yang diberikan oleh para ulama tidak jauh berbeza. Ringkasnya, haji dari sudut syarak bermaksud menuju ke tempat tertentu (iaitu Baitullah dan Arafah) pada waktu-waktu tertentu (iaitu bulan-bulan haji) bagi melakukan amalan-amalan khusus iaitu berwuquf di Arafah, tawaf, dan sa‘ie serta lain-lain amalan haji dengan syarat-syarat yang khusus.

Haji merupakan salah satu rukun Islam dan menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam lelaki mahupun wanita bagi yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Pelaksanaannya itu pula dikira wajib hanya sekali seumur hidup, dan jika dilakukan lebih daripada itu maka ia dikira sunat.

Antara dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah tentang kewajipan mengerjakan ibadah haji adalah seperti firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

 (Surah Ali ‘Imran: 97)

Istita‘ah (berkemampuan) yang dimaksudkan dalam firman Allah SWT di atas bukanlah pada kekuatan jasmani. Ini kerana jika yang dikehendaki oleh Allah SWT dengannya ialah kekuatan jasmani, maka ia tidak perlu disebutkan kerana telah diketahui bahawa Allah SWT tidak pernah membebankan seseorang melainkan dia mampu untuk menggalasnya. (Lihat al-Muhalla, 7/54; Subul al-Salam, 2/180).

Selain itu, Ibn Kathir menyebutkan, adapun istita‘ah (kemampuan) adalah kemampuan seseorang dari sudut (dia mengerjakan haji) untuk dirinya dan orang lain. (Lihat Tafsir al-Quran  al-‘Azim, 1/364).

Selain itu, Allah SWT berfirman:

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji.”

(Surah al-Hajj: 27)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, maksudnya adalah beritahu kepada mereka mengenai ibadat haji tersebut, dan ajaklah mereka kepadanya. Sampaikan kepada mereka sama ada orang yang dekat dan jauh tentang kewajipan haji dan keutamaannya. Hal ini kerana jika kamu telah memanggil mereka, pasti mereka akan datang kepadamu sebagai orang-orang yang mengerjakan haji atau umrah. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/536).

Seterusnya pengertian umrah pula adalah seperti berikut:

Umrah (عمرة) dari segi bahasa bermaksud ziarah, manakala dari segi istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama adalah tawaf di Baitullah, dan sa‘ie di antara Safa dan Marwah dengan ihram. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/314).

Sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum melaksanakan umrah adalah wajib atau fardhu bagi orang yang belum melaksanakannya dan dia mampu untuk melaksanakannya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya: “Dan sempurnkanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Inilah pendapat yang  sahih daripada mazhab al-Syafi‘i. Namun sebahagian ulama yang lain seperti Imam Malik dan Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa ibadah umrah itu hukumnya adalah sunat muakkad pada umrah yang pertama. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/ 315).

Kemudian, berkenaan perbezaan antara ibadah haji dan umrah pula, kami ringkaskan di sini mengenainya seperti berikut:

  1. Haji hanya dikerjakan pada bulan-bulan haji sahaja, iaitu bermula 1 Syawal sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Manakala waktu umrah pula adalah pada bila-bila masa sepanjang tahun.
  2. Haji adalah wajib bagi setiap individu yang berkemampuan secara sepakat para ulama, manakala umrah pula adalah sunat dilakukan jika berkemampuan (mengikut sebahagian pendapat).
  3. Haji memerlukan wuquf di Arafah pada hari 9 Zulhijjah, bermalam di Muzdalifah dan di Mina serta melontar jamrah manakala umrah tiada wukuf serta perkara-perkara yang disebutkan tadi.
  4. Rukun haji ada lima iaitu berniat ihram, wuquf di Arafah, tawaf, sa‘ie dan tahallul, manakala umrah hanya empat iaitu berniat ihram, tawaf, sa‘ie dan tahallul.

Semoga dengan sedikit penjelasan dari kami berkenaan haji dan umrah dapat memberikan sedikit sebanyak pengetahuan kepada pembaca serta bakal-bakal jemaah haji yang akan mengerjakan ibadah haji. Kami berharap supaya setiap amalan kita diterima oleh Allah SWT dan kami turut mendoakan bakal jemaah haji selamat mengerjakan ibadah haji dan dikurniakan haji yang mabrur.

Di antara tanda-tanda haji mabrur adalah sekembalinya daripada ibadah haji, seseorang itu sentiasa dalam keadaan zuhud dan merendah diri dalam hal dunia serta sentiasa bersemangat dalam mengejar akhirat. Kami berharap agar kita juga termasuk dalam golongan tersebut.

Kami akhiri dengan sepotong doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

Maksudnya: “Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *