Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan tahallul dan apakah perbezaan di antara tahallul haji dan umrah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tahallul (التَّحَلُّلُ) dari segi bahasa ialah menjadi boleh atau dihalalkan. Menurut syarak pula perkataan tahallul bermaksud membebaskan diri daripada larangan yang terdapat semasa dalam waktu ihram.

Dalam ibadah haji dan umrah, perbuatan tahallul dijadikan salah satu dari rukun dalam kedua-dua ibadah tersebut. Dalam erti kata lain, tidak sempurnalah ibadah haji atau umrah seorang jemaah haji jika tidak melaksanakan rukun tahallul ini.

Tahallul bagi ibadah umrah ialah dimana para jemaah melakukan cukur atau bergunting selepas selesainya melaksanakan rukun sa‘ie di dalam Masjidil Haram itu sendiri. Justeru selepas selesainya bergunting atau bercukur ini, para jemaah bebas daripada larangan yang terdapat sepanjang tempoh berihram.

Tahallul bagi ibadah haji pula dibahagikan kepada dua iaitu talallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل) dan tahallul thani (التَّحَلُّل الثَّانِي).

Pertama, tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل) boleh dilaksanakan oleh jemaah haji apabila telah melaksanakan dua daripada tiga perkara seperti dibawah.

  • Melontar di Jamrah al-Kubra
  • Tawaf rukun dan sa‘ie (jika sa‘ie masih belum dilaksanakan)
  • Bercukur atau bergunting

Dalam melaksanakan tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل), jemaah haji diberi pilihan untuk melakukan mana-mana perbuatan di atas secara mengikut turutan ataupun sebaliknya.

Kedua, tahallul thani (التَّحَلُّل الثَّانِي) ialah bila mana jemaah haji berjaya melaksanakan ketiga-tiga perkara yang disebutkan seperti di atas.

Allah SWT berfirman:

لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ

Maksudnya: Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram – insya Allah (pada masa Yang ditentukanNya) – Dalam keadaan aman (menyempurnakan Ibadat Umrah kamu) Dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).”

(Surah al-Fath: 27)

Imam al-Nawawi berkata: “Bagi haji ada dua tahallul, iaitu tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل)  dan tahallul thani (التَّحَلُّل الثَّانِي). Kedua-duanya bergantung dengan tiga daripada empat amalan haji ini iaitu:

  • Melontar di Jamrah al-‘Aqabah,
  • Bercukur (bagi lelaki) atau bergunting (bagi perempuan dan lelaki) ,
  • Tawaf bersama sa’ie jika dia belum lagi melakukan sa’ie.

Adapun menyembelih haiwan tidak termasuk dalam tahallul (التَّحَلُّلُ). Terhasilnya tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل) dengan dua daripada tiga amalan haji tersebut. Justeru, mana-mana dua daripada amalan haji itu yang dikerjakan, maka terhasillah tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل) sama ada melontar dan bercukur, atau melontar dan tawaf, atau tawaf dan bercukur.

Manakala terhasilnya tahallul thani (التَّحَلُّل الثَّانِي) pula dengan amalan haji yang berbaki daripada tiga amalan haji itu. Ini adalah mengikut mazhab yang sahih lagi terpilih jika kita berpendapat bahawa bercukur itu termasuk dalam manasik haji. Adapun jika kita berpendapat bahawa bercukur itu adalah bagi mengharuskan perkara yang dilarang (dalam ihram), maka tahallul tidak ada kaitan dengannya. Bahkan terhasil dua tahallul dengan melontar dan tawaf, dan mana-mana daripada kedua-dua amalan haji itu yang dimulakan maka dikira terhasil tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل).

Diharuskan dengan tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل) semua yang dilarang untuk dilakukan ketika berihram kecuali persetubuhan. Hal ini kerana larangan untuk bersetubuh berlanjutan sehinggalah dia selesai kedua-dua tahallul. Begitu juga diharamkan untuk bermesra-mesraan tanpa jimak (bersetubuh) mengikut pendapat yang paling sahih (sehinggalah dia selesai  kedua-dua tahallul).

Apabila selesai kedua-dua tahallul, maka diharuskan baginya untuk melakukan semua larangan ihram. Jadilah dia seorang yang halal, akan tetapi masih berbaki kepadanya manasik haji seperti mabit (bermalam) di Mina, melontar pada hari-hari tasyriq dan tawaf wada’.  Adapun bagi umrah pula, tidak ada padanya melainkan hanya satu  tahallul iaitu dengan tawaf, sa’ie dan bercukur, sekiranya kita berpegang dengan mazhab bahawasanya ia adalah manasik. Sekiranya dia melakukan persetubuhan selepas tawaf dan sa’ie, dan sebelum bercukur, maka rosaklah umrahnya. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 351-352)

Kesimpulan

Tahallul ialah pembebasan ataupun pelepasan ke atas setiap jemaah haji yang melakukan ihram. Dengan bertahallul, setiap larangan yang terdapat selepas pelaksanaan ihram dapat dibuat ataupun luputlah larangan tersebut seperti sediakala (sebelum ihram).

Dalam ibadah haji dan umrah, terdapat garisan-garisan yang menjadi perbezaan di antara tahallul (التَّحَلُّلُ) haji dan umrah. Tahallul (التَّحَلُّلُ) haji yang sempurna (iaitu tahallul thani) boleh dicapai apabila selesai melaksanakan ketiga-tiga perkara yang telah dinyatakan di atas. Manakala tahallul (التَّحَلُّلُ) bagi umrah terjadi apabila melaksanakan bergunting ataupun bercukur rambut bagi mereka yang melaksanakan umrah. Justeru, setiap jemaah haji dan umrah harus tahu dan mengambil cakna berkenaan hal-hal tahallul (التَّحَلُّلُ) ini kerana dibimbangi jika tidak diketahui dengan betul maka kita akan tergolong dari golongan yang akan dikenakan denda (dam) kerana melanggar batasan-batasan yang telah ditetapkan.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *