Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah ditaklifkan ibadah haji ke atas orang yang buta?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara syarat wajib bagi seseorang itu dalam melaksanakan ibadah haji adalah berkemampuan (الاسْتِطَاعَةُ). Oleh itu, jika syarat ini tidak dipenuhi oleh seorang mukallaf, maka tidak tertakliflah kefardhuan haji ke atas dirinya. Hal ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak akan memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

 (Surah al-Baqarah: 286)

Ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT tidak meletakkan sesuatu bebanan kepada hamba-hambanya dengan sesuatu perkara yang tidak mampu dikerjakan oleh hamba-hambanya, bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada manusia dalam setiap perkara. Mereka diberikan bebanan yang mampu mereka kerjakan bahkan tidak sukar untuk mereka laksanakan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672-673)

Merujuk kepada persoalan di atas, jika seseorang yang buta itu mempunyai kemampuan dari segi fizikal untuk menunaikan manasik haji, begitu juga harta yang mencukupi bagi perkara tersebut serta pembimbing yang akan membimbingnya sepanjang ibadah haji sekalipun dengan membayarnya upah, maka dalam hal ini haji adalah diwajibkan ke atas dirinya, dan tidak boleh digantikan dengan orang lain bagi pihaknya (yakni badal haji).

Mengenai hal ini, Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya, para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) berpendapat, sekiranya orang buta itu mempunyai bekalan dan kenderaan serta orang yang akan memimpin dan membimbingnya ketika turun, menunggangi kenderaan dan turun daripadanya, begitu juga orang buta itu mampu untuk duduk atau berada di atas kenderaan tanpa sebarang kesusahan, maka dia wajib menunaikan haji. Demikianlah juga bagi orang yang terputus kedua tangan dan kedua kakinya, tidak boleh untuknya mengupah orang lain bagi mengerjakan haji bagi pihak mereka dalam hal ini. Sekiranya dia tidak demikian (yakni tidak mempunyai bekalan, kenderaan serta orang yang akan membimbingnya), maka dia tidak wajib menunaikan haji dengan sendirinya. Inilah pendapat yang sahih dalam mazhab Syafi‘i dan ini juga merupakan pendapat Abu Yusuf, Muhammad dan Imam Ahmad.

Ulama mazhab Syafi‘i berhujah dengan menyatakan bahawa orang yang pada gambaran pertama mampu untuk duduk atau berada di atas kenderaan, maka dia menyerupai orang yang melihat. Al-Mawardi mengqiyaskannya dengan orang yang tidak mengetahui jalan dan perbuatan-perbuatan haji serta dengan orang yang tuli, maka kedua-duanya wajib menunaikan haji secara sepakat para ulama, begitu juga kedua-duanya wajib menunaikan solat Jumaat, sekiranya ada orang yang akan membimbing atau menjadi penunjuk arah mereka. Al-Rafi‘i menyebutkan, pembimbing atau orang yang menjadi penunjuk arah pada hak orang buta adalah seperti mana mahram pada hak kaum wanita. Maknanya, pada kewajipan untuk mengupahnya ada dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i, dan pendapat yang paling sahih, ia adalah wajib. Inilah pendapat jumhur ulama. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 7/85).

Begitu juga Ibn al-‘Arabi turut menyebutkan, kewajipan haji tidak gugur daripada orang buta kerana adanya kebarangkalian untuknya sampai ke al-Bait (Kaabah), maka terhasil baginya sifat istita‘ah (kemampuan) sebagaimana terhasil baginya kewajipan solat Jumaat dengan adanya pembimbing atau orang yang akan menjadi penunjuk arah kepada perkara tersebut. (Lihat Ahkam al-Quran, 1/380).

Kesimpulannya

Justeru, kami berpendapat bahawa seseorang yang buta yang memenuhi syarat-syarat wajib haji adalah tetap wajib untuk melaksanakan ibadah haji dengan syarat mereka ditemani oleh pembimbing yang dapat membimbing mereka sepanjang melakukan ibadah tersebut sama ada daripada kalangan ahli keluarga mahupun orang lain. Pembimbing itu pula terbahagi kepada dua, sama ada mereka yang secara sukarela mahu membimbing orang buta tersebut atau mereka yang dibayar upah untuk menjadi pembimbing orang buta sepanjang melakukan ibadah haji itu.

Namun, jika orang buta itu tidak mendapati seseorang yang boleh menjadi pembimbingnya secara sukarela sepanjang melakukan ibadah haji itu, maka dia hendaklah mencari pembimbing dan membayar perkhidmatan yang diberikan oleh pembimbing tersebut sepanjang melaksanakan ibadah haji. Jika dia tidak mampu membayar perkhidmatan atau upah buat orang yang menjadi pembimbing, maka barulah kefardhuan haji itu tergugur daripadanya, sehinggalah dia mampu untuk mengadakan pembimbing bagi dirinya.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *