Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya sama ada wanita tanpa mahram boleh menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah atau pun tidak ya?. Ini pertama kali saya mahu menunaikan umrah.Sebab saya pernah terdengar yang wanita tidak boleh untuk bermusafir kalau tiada mahram. Musykil saya dibuatnya.Boleh ustaz terangkan sedikit mengenai persoalan ini? Terima kasih ustaz

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dari sudut bahasa mahram  membawa makna larangan. Ibn Manzur dalam kitabnya menyebut bahawa mahram itu adalah individu-individu yang tidak boleh dinikahi. (Lihat Lisan al-Arab, 12/119). Inilah maksud mahram yang dikemukakan oleh para fuqaha.

Dari sudut istilah para fuqaha’, mahram bermaksud: “Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang.” (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114)

Islam meletakkan batas-batas pergaulan yang perlu dijaga antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

(Surah al-Nur: 30-31)

Umrah pula merupakan salah satu ibadah yang wajib untuk ditunaikan.Apatah lagi bagi seorang wanita, Umrah adalah satu jihad baginya.Ini berdasarkan pertanyaan Ummul Mukminin Aisyah R.anha. Beliau berkata :

يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَى النِّسَاءِ جِهَادٌ قَالَ نَعَمْ عَلَيْهِنَّ جِهَادٌ لاَ قِتَالَ فِيهِ الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ

Maksudnya: Wahai Rasulullah, adakah ada jihad untuk para wanita.” Rasulullah SAW menjawab: “Ya, mereka wajib berjihad tetapi jihad yang tiada peperangan di dalamnya iaitu Haji dan Umrah.”

Riwayat Ibnu Majah (3013)

Al-San’ani menyebut bahawa Nabi SAW menyamakan jihad dengan Haji dan Umrah adalah kerana di dalam kedua-dua amalan tersebut adanya kepayahan dan kesusahan. (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 1/91)

Ibn Ruslan berkata:

الحَجُّ فَرْضٌ وَكَذَاكَ العُمْرَة              لَمْ يَجبا فِي الْعُمْرِ غَيْرَ مَرَّة

“Haji adalah satu kefarduan begitu juga umrah.

Kedua-duanya tidak diwajibkan melainkan sekali seumur hidup”

Begitu juga hukum menunaikan umrah tanpa mahram seperti soalan yang dikemukakan adalah terkait dengan hukum seorang wanita bermusafir tanpa mahram. Hukum asal bagi seorang wanita bermusafir tanpa mahram adalah tidak dibolehkan berdasarkan kepada beberapa hadith yang sahih. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A. Beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تُسَافِرُ الْمَرْأَةُ إِلاَّ مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

Maksudnya: “Seorang wanita tidak boleh bermusafir tanpa ada mahram.”

Riwayat al-Bukhari (1729) dan Muslim (2391)

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: Pada riwayat ini, perkataan ‘safar’ disebut secara mutlak. Tetapi dalam hadith Abu Sa’id, diberi batasan dengan perjalanan ‘selama dua hari.’ Dan telah disebut juga pada perbahasan tentang solat, hadith Abu Hurairah yang membataskan pada perjalanan selama ‘satu hari satu malam.’ Sedangkan hadith Ibn ‘Umar mengenai hal ini memberi batasan pada perjalanan ‘tiga hari’ dan dinukilkan pula riwayat yang lain daripadanya. Kebanyakan ulama dalam masalah ini berpegang pada riwayat yang bersifat mutlak (tanpa batasan), kerana adanya perbezaan batasan-batasan yang telah disebutkan.”

Pendapat yang masyhur dalam kalangan mazhab Syafi’i adalah mensyaratkan adanya suami, mahram atau wanita-wanita yang terpercaya untuk menemaninya. Bahkan dalam salah satu pendapat, disebutkan cukup seorang wanita terpercaya yang menemaninya. Kemudian pada salah satu pendapat yang dinukil al-Karabisi – dan dikatakan sebagai pendapat yang sahih dalam kitab al-Muhazzab – bahawa wanita boleh berpergian sendiri apabila perjalanan yang ditempuh, dijamin keselamatannya. Semua pendapat tersebut berkaitan dengan berpergian untuk menunaikan haji dan umrah yang wajib.

Para ulama’ berbeza pendapat, apakah mahram serta apa yang disebutkan bersamanya merupakan syarat wajib haji bagi wanita, syarat yang memungkinkan baginya menunaikan haji, tetapi tidak menghalang kewajiban haji yang menjadi tanggungannya? Abu Tayyib al-Tabari dalam hal ini menyatakan, “Syarat-syarat wajib haji bagi lelaki berlaku juga bagi wanita. Apabila seorang wanita bermaksud menunaikan haji, maka tidak boleh menunaikannya kecuali bersama mahram, isteri atau wanita-wanita terpercaya.”

Antara dalil yang membolehkan wanita untuk berpergian bersama wanita-wanita lain yang terpercaya jika ada jaminan keamanan dalam perjalanan adalah hadith yang mengandungi kesepakatan antara Umar, Uthman dan Abd al-Rahman bin Auf serta para isteri Nabi SAW mengenai hal itu.[1] Di samping itu, para sahabat yang lain tidak mengingkari perbuatan mereka. Adapun para isteri Nabi SAW enggan melakukannya adalah kerana alasan lain, bukan keraja berpergian itu hanya boleh dilakukan bersama mahram. (Lihat Fath al-Bari, 10/315)

Begitu juga dengan riwayat yang lain bahawa Nabi SAW bersabda :

لا يَحِلُّ لامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُسَافِرُ مَسِيرَةَ يَوْمٍ إِلا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

Maksudnya: “Tidak boleh bagi seorang perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk bermusafir sejauh sehari perjalanan kecuali bersamanya ada mahram.”

Riwayat Muslim (1339)

Antara alasan tidak membenarkan wanita untuk bermusafir tanpa mahram adalah untuk menjaga keselamatan, memelihara kehormatan serta menjauhkan para wanita daripada fitnah sekiranya tiada mahram yang menemaninya. Namun jika perjalanan tersebut aman dan selamat, maka sebahagian para ulama membenarkannya. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith tersebut (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, para ulama ketika membincangkan berkenaan kemampuan untuk menunaikan haji dan umrah, mereka membahagikannya kepada dua iaitu kemampuan secara langsung iaitu yang terkait kepada dirinya seperti mempunyai kesihatan dan kewangan yang cukup. Yang kedua adalah kemampuan tidak langsung iaitu mempunyai kewangan yang cukup tapi tidak mampu untuk pergi keran sakit dan sebagainya. Dia wajib untuk mengupah seseorang menunaikan bagi pihaknya.

Bagi wanita, para ulama menambahkan beberapa syarat iaitu yang pertama ditemani suami atau mahram atau wanita lain yang boleh dipercayai dengan jumlah paling kurang dua orang. Syarat yang kedua adalah wanita tersebut tidak berada di dalam iddah jika telah diceraikan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/150-151)

Namun begitu para ulama berbeza pandangan tentang syarat mahram untuk menunaikan haji dan umrah. Sebahagian ulama dari kalangan fuqaha mazhab Hanbali dan Hanafi menyebut bahawa disyaratkan bagi seorang wanita yang ingin menunaikan haji dan umrah untuk ditemani oleh suami atau mahram. Manakala ulama dari kalangan mazhab Syafi’i , Maliki, Al-Auza’i dan lain-lain tidak mensyaratkan mahram bahkan yang disyaratkan adalah aman dari segala ancaman. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500).

Al-Bujairimi di dalam hasyiahnya menyebut jika perjalanan tersebut aman maka harus untuk wanita tersebut bermusafir seorang diri. (Lihat al-Tajrid Linnaf’i Al-‘Abid Hasyiah Al-Bujairimi ‘Ala Minhaj al-Tullab, 6/35). Jika dilihat pada masa kini perjalanan menunaikan umrah atau haji tidak lagi seperti dahulu. Jika dahulu perjalanan terpaksa menempuh padang pasir atau menaiki kapal yang mengambil masa berbulan-bulan. Akan tetapi sekarang mereka yang ingin menunaikan umrah atau haji hanya perlu menaiki kapal terbang yang mengambil masa kurang dari 24 jam.

Adapun bagi mereka yang menunaikan haji atau umrah untuk kali kedua dan seterusnya, maka disyaratkan ada mahram bersamanya.Ini adalah pandangan jumhur para ulama (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/334; al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/104).

Kesimpulannya, kami cenderung mengatakan bahawa harus bagi seorang wanita untuk pergi menunaikan umrah tanpa mahram dengan syarat ditemani paling kurang oleh dua orang wanita yang boleh dipercayai. Adapun bagi mereka yang menunaikan umrah bagi kali kedua dan seterusnya maka mengikut jumhur para ulama perlu untuk ditemani oleh suami atau mahram.

Semoga Allah memberikan kefahaman agama kepada kita semua. Wallahu a‘lam.

[1] Ibrahim menyampaikan kepada kami, daripada bapanya, daripada datuknya:

أَذِنَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، لِأَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي آخِرِ حَجَّةٍ حَجَّهَا، فَبَعَثَ مَعَهُنَّ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ، وَعَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ عَوْفٍ.

Maksudnya: “Umar R.A memberi keizinan kepada para isteri Nabi SAW (untuk menyertainya) di akhir haji yang beliau kerjakan, lalu beliau mengutus bersama mereka Uthman bin ‘Affan dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf.” (Riwayat al-Bukhari, 1860)

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *