Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah kita melontar ketujuh-tujuh anak batu ke dalam jamrah secara serentak? Terima kasih.

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Jabir R.A, katanya:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَرْمِي الْجَمْرَةَ وَهُوَ عَلَى بَعِيرِهِ وَهُوَ يَقُولُ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا

Maksudnya“Aku telah melihat Rasulullah SAW telah melontar dan Baginda di atas untanya lalu bersabda: “Wahai manusia, ambillah kerja-kerja haji kamu sesungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku masih akan melaksanakan haji lagi selepas tahun ini”

Riwayat al-Nasa’i (3062)

Sesungguhnya ibadat haji yang merangkumi padanya tawaf, sa’ie, wuquf, bahkan melontar di jamrah semata-mata untuk menegakkan dan melaksanakan zikrullah. Daripada Aisyah R.Anha, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ وَبَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ وَرَمْىُ الْجِمَارِ لإِقَامَةِ ذِكْرِ اللَّهِ ‏

Maksudnya:Sesungguhnya dijadikan tawaf di Kaabah, sa’ie antara Safa dan Marwah dan melontar di tiga jamrah semata-mata untuk melaksanakan zikrullah.”

Riwayat Abu Daud (1888), al-Tirmizi (902) dan Ahmad (24396)

Secara umumnya, di antara syarat melontar di jamrah adalah dengan melontar pada setiap jamrah itu sebanyak tujuh biji anak-anak batu. Kemudian batu-batu itu pula hendaklah dilontarkan satu persatu. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 494-497). Maka, jika bilangannya kurang daripada tujuh biji, lontaran di jamrah tersebut belum lagi dikira memadai.

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan, wajib melontar sebanyak tujuh kali dengan yang dinamakan sebagai batu dan dinamakan sebagai lontaran. Melontar hendaklah dilakukan dengan tujuh biji batu dengan sebiji-sebiji hingga cukup semuanya (sebanyak tujuh biji). Sekiranya dia meletakkan sahaja batu ke dalam tempat lontaran, maka ia tidak dikira kerana ia tidak dinamakan sebagai lontaran. Disyaratkan qasad (niat untuk melontar) pada tempat melontar. Jika dia melontar di udara kemudian masuk ke  dalam tempat lontaran, ia tidak dikira. Begitu juga tidak disyaratkan anak batu kekal berada di dalam tempat lontaran. Justeru, ia tidak memberi mudarat atau kesan dengan sebab anak batu bergolek atau keluar dari tempat lontaran selepas jatuh di dalamnya. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 314-315).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi menjelaskan, disyaratkan untuk jemaah haji melontar anak-anak batu sebanyak tujuh kali. Sekiranya dia melontar dua biji atau tujuh biji anak batu serentak (dalam satu balingan), lalu ia jatuh ke dalam tempat lontaran serentak atau tidak (sebahagiannya selepas sebahagian yang lain), maka ia tidak dikira melainkan satu batu sahaja (yang baru masuk dalam tempat lontaran).

Jika dia melontar anak batu, kemudian diikuti dengan anak batu yang lain, maka dikira anak-anak batu itu dua kali balingan, tidak kira kedua-dua anak batu itu jatuh ke dalamnya secara serentak, atau anak batu yang kedua masuk terlebih dahulu sebelum anak batu yang pertama, atau sebaliknya. Begitu juga jika dia melontar dengan batu  yang telah dilontar oleh orang lain, atau yang telah dilontarnya ke jamrah yang lain, atau ke jamrah ini (yang sama) pada hari yang lain, maka ia adalah memadai (diambil kira) tanpa sebarang khilaf. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 316-317).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa ketujuh-tujuh anak batu yang dilontar secara serentak tidak dikira melainkan hanya satu lontaran sahaja. Justeru, masih berbaki lagi padanya sebanyak enam lontaran. Hal ini kerana batu-batu itu hendaklah dilontarkan ke dalam jamrah satu persatu atau sebiji-biji sehingga cukup semuanya sebanyak tujuh biji. Barulah setiap batu yang dilontar itu dikira sebagai satu lontaran.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *