Soalan:         

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu persoalan. Apakah rukun-rukun dan wajib-wajib haji?  Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, amalan-amalan atau perbuatan-perbuatan haji mempunyai tiga bahagian iaitu rukun, wajib dan sunat.

Menurut Imam al-Nawawi, rukun-rukun haji ada lima iaitu ihram, wuquf, tawaf ifadhah, sa’ie dan bercukur jika kami katakan mengikut pendapat yang paling sahih bahawa ia termasuk dalam manasik haji.

Adapun wajib haji pula, dua perkara (daripadanya) adalah disepakati manakala empat lagi terdapat perselisihan padanya. Justeru, memulakan niat ihram dari miqat dan melontar, kedua-duanya adalah wajib haji yang disepakati. Adapun empat yang lain iaitu menghimpunkan masa wukuf di Arafah antara malam dan siang hari, mabit di Muzdalifah, mabit pada malam tasyriq di Mina untuk melontar dan tawaf wada‘, maka pendapat yang paling sahih ialah keempat-empat perkara ini adalah diwajibkan.

Kemudian, Syeikh ‘Abd al-Fattah Husain[1] menjelaskan kenyataan Imam al-Nawawi itu dengan menyebutkan, dikecualikan daripada empat perkara tersebut himpunan pada masa wuquf antara malam dan siang kerana ia adalah sunat semata-mata sebagaimana dinyatakan sendiri oleh penulis (iaitu Imam al-Nawawi) bahawa ia termasuk dalam sunat berwuquf di ‘Arafah.

Manakala sunat-sunat haji ialah semua yang yang diperintahkan kepada jemaah haji untuk melakukannya melainkan rukun-rukun dan perkara-perkara wajib haji. Perkara tersebut adalah seperti tawaf qudum, zikir-zikir, doa-doa, istilam Hajarul Aswad, ramal (berlari-lari anak), idhtiba‘ dan lain-lain.

Seterusnya, hukum-hukum pada setiap bahagian ini. Maka bagi rukun-rukun haji, tidak sempurna dan sah ibadah haji sehinggalah dia melakukan kesemuanya. Begitu juga tidak halal daripada ihramnya selama mana masih berbaki daripadanya sesuatu, sehinggakan jika dia telah melakukan rukun-rukun haji kesemuanya melainkan dia meninggalkan satu daripada tujuh pusingan tawaf atau satu pusingan sa’ie, maka tidak sah hajinya dan tidak terhasil tahallul kedua. Begitu juga sekiranya dia mencukur dua helai rambutnya sahaja, maka tidak sempurna hajinya (yakni tidak sah) dan dia masih lagi dikira tidak bertahallul sehinggalah dia mencukur atau memendekkan helaian rambutnya yang ketiga.

Selain itu juga, tidak diwajibkan sesuatu daripada rukun-rukun (yang ditinggalkan) dengan dam mahupun selainnya. Bahkan sebaliknya dia mesti melakukannya. Manakala tiga rukun daripadanya iaitu tawaf, sa‘ie dan bercukur,  tiada tempoh akhir untuk melakukannya. Bahkan ia tidak luput selagi mana hayat dikandung badan. Begitu juga tidak dikhususkan bercukur hanya di Mina dan Tanah Haram sahaja, bahkan dibolehkan (untuk melakukannya) di tanah airnya dan tempat selainnya.

Di samping itu, tertib adalah diwajibkan pada rukun-rukun ini. Justeru, disyaratkan untuk mendahulukan berniat ihram daripada kesemua rukun-rukun yang lain. Begitu juga disyaratkan mendahulukan wuquf daripada tawaf ifadhah dan bercukur. Begitu juga disyaratkan untuk melakukan sa’ie selepas tawaf yang sahih. Selain itu, tidak disyaratkan untuk mendahulukan wuquf daripada sa’ie; kerana sesungguhnya sah sa‘ie yang dilakukannya selepas tawaf qudum. Begitu juga tidak wajib tertib antara tawaf dan bercukur.

Seterusnya bagi perkara-perkara wajib haji pula, sesiapa yang meninggalkan sesuatu daripadanya, maka dia wajib membayar dam dan sah haji tanpanya, sama ada dia meninggalkannya secara sengaja ataupun terlupa. Akan tetapi orang yang sengaja meninggalkannya dikira berdosa jika kita berpendapat bahawasanya ia adalah wajib.

Manakala bagi  sunat-sunat haji pula, sesiapa yang meninggalkannya tidak dikenakan apa-apa ke atasnya;  tidak berdosa, tidak dikenakan dam mahupun selainnya, tetapi luput atau hilang daripadanya kesempurnaan, kelebihan dan pahala yang besar. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah wa ‘alaihi al-Ifsah ‘ala Masa’il al-Idhah ‘ala Mazahib al-A’immah al-Arba‘ah wa Ghairihim, hlm. 375-377).

Merujuk kepada soalan yang ditanyakan, kami ringkaskan rukun-rukun dan wajib-wajib haji itu sebagaimana yang telah disenaraikan oleh Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff seperti berikut:

Rukun-rukun haji:

  • Berniat ihram.
  • Berwuquf di ‘Arafah.
  • Tawaf ifadhah.
  • Sa‘ie.
  • Bercukur atau bergunting
  • Tertib antara kebanyakan rukun-rukun. Iaitu wajib mendahulukan niat ihram daripada seluruh rukun-rukun yang lain. Begitu juga wajib mendahulukan wuquf daripada tawaf ifadhah. Begitu juga wajib mendahulukan tawaf ifadhah daripada sa‘ie, jika dia belum lagi melakukan sa‘ie selepas tawaf qudum.

Wajib-wajib haji:

  • Berniat ihram dari miqat.
  • Mabit di Muzdalifah.
  • Melontar Jamrah al-‘Aqabah.
  • Melontar ketiga-tiga jamrah pada hari-hari tasyriq.
  • Mabit di Mina pada malam-malam hari tasyriq.
  • Tawaf wada‘. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 475-488).

Kami berdoa kepada Allah agar jemaah haji atau umrah dikurniakan haji dan umrah yang mabrur dan mabrurah. Ameen.

[1] Meninggal dunia pada tahun 1424 H / 2003 M.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *