Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya terbaca dalam al-Quran perintah untuk zikir kepada Allah pada hari-hari ayyam ma‘dudat (أَيَّام مَّعْدُودَات) dan ayyam ma‘lumat (أَيَّام مَّعْلُومَاتٍ). Apakah perbezaan antara keduanya? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan membawakan terlebih dahulu ayat-ayat tersebut. Lafaz  ayyam ma‘dudat (أَيَّام مَّعْدُودَات) boleh dilihat menerusi firman Allah SWT:

وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَّعْدُودَاتٍ ۚ فَمَن تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَن تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ لِمَنِ اتَّقَىٰ ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Maksudnya:Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya.”

(Surah al-Baqarah: 203)

Manakala lafaz ayyam ma‘lumat (أَيَّام مَّعْلُومَاتٍ) pula boleh dilihat menerusi firman Allah SWT:

لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Maksudnya: Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

(Surah al-Hajj: 28)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat 203 Surah al-Baqarah di atas menukilkan pendapat Ibn Abbas R.Anhuma yang menyatakan, ayyam ma‘dudat (أَيَّام مَّعْدُودَات) ialah hari-hari tasyriq (iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah), manakala ayyam ma‘lumat (أَيَّام مَّعْلُومَاتٍ) pula ialah hari-hari sepuluh (yakni 10 hari terawal Zulhijjah). Selain daripada itu, ‘Ikrimah menafsirkan ayat tersebut dengan makna bertakbir pada hari-hari tasyriq selepas mendirikan solat fardhu (dengan mengucapkan), “Allahu Akbar, Allahu Akbar,” berdasarkan kepada hadith:

أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: Hari-hari tasyriq adalah hari makan dan minum serta mengingati Allah (berzikir kepada-Nya).

Riwayat Muslim (1141)

Begitu juga hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW mengutus Abdullah bin Huzafah ke Mina untuk menyampaikan:

 لَا تَصُومُوا هَذِهِ الْأَيَّامَ، فَإِنَّهَا أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ وَذِكْرِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya:Janganlah kamu berpuasa pada hari-hari ini kerana sesungguhnya ia adalah hari-hari makan, minum dan mengingati Allah ‘Azza wa Jalla — yakni berzikir kepada-Nya.

Riwayat Ahmad (10664)

Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya: Rasulullah SAW melarang daripada berpuasa pada hari-hari tasyriq dan Baginda bersabda:

هيَ أيّامُ أَكْلٍ وشُربٍ وذِكْرِ اللهِ

Maksudnya: Ia adalah hari-hari makan, minum dan mengingati Allah.” (Syeikh Ahmad Syakir menilai sanadnya sebagai sahih dalam ‘Umdah al-Tafsir, 1/252).

Kemudian Ibn Kathir menyatakan bahawa Ibn Abbas R.Anhuma berpendapat, ayyam ma‘dudat (أَيَّام مَّعْدُودَات) adalah hari-hari tasyriq dan ia adalah sebanyak empat hari iaitu hari al-Nahr dan tiga hari selepasnya. Selain itu, diriwayatkan juga daripada Ibn Umar, Ibn al-Zubair, Abu Musa, ‘Ata’, Mujahid, ‘Ikrimah, Sa‘id bin Jubair, Abu Malik, Ibrahim al-Nakha‘i, Yahya bin Abu Kathir, al-Hasan, Qatadah, al-Suddi, al-Zuhri, al-Rabi‘ bin Anas, al-Dhahhak, Muqatil bin Hayyan, ‘Ata’ al-Khurasani, Malik bin Anas dan lain-lain pendapat seumpamanya. Manakala Ali bin Abu Talib R.A pula berpendapat, ia adalah tiga hari iaitu hari al-Nahr dan dua hari selepasnya. Oleh itu, sembelihlah (haiwan korban) pada mana-mana hari tersebut yang dikehendaki, namun afdhalnya adalah hari yang pertama.

Seterusnya, Ibn Kathir menyebutkan bahawa pendapat yang masyhur ialah pendapat yang pertama, dan ia secara jelas ditunjukkan oleh ayat di mana Allah SWT berfirman:

فَمَن تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَن تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

Maksudnya:Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa.”

(Surah al-Baqarah: 203)

Justeru, ia menunjukkan kepada tiga hari selepas hari al-Nahr, dan ia berkaitan dengan firman-Nya: “وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَّعْدُودَاتٍ” iaitu menyebut nama Allah ke atas haiwan haiwan korban. Bahkan mengikut pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi‘i, waktu untuk melakukan korban adalah bermula dari hari al-Nahr sehingga hari terakhir hari tasyriq. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/417-418).

Kemudian, bagi ayat 28 Surah al-Hajj pula, Ibn Abbas menafsirkan lafaz “لِيَشْهَدُوا مَنافِعَ لَهُمْ” (supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka) iaitu faedah di dunia dan akhirat. Adapun manfaat atau faedah akhirat adalah keredhaan Allah SWT, manakala manfaat dunia pula ialah apa yang mereka peroleh daripada manfaat badan, korban dan perniagaan. Seterusnya, ayyam ma‘lumat (أَيَّام مَّعْلُومَاتٍ) ialah hari-hari sepuluh (Zulhijjah). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 5/364).

Selain daripada itu, al-Mawardi menukilkan pendapat Imam al-Syafi‘i dan menjelaskan lagi mengenainya bahawa ayyam ma‘lumat (أَيَّام مَّعْلُومَاتٍ) ialah sepuluh hari Zulhijjah dan hari yang terakhir daripadanya ialah hari al-Nahr. Manakala ayyam ma‘dudat (أَيَّام مَّعْدُودَات) ialah tiga hari selepas hari al-Nahr iaitu merujuk kepada hari-hari tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Dalilnya adalah kerana Allah SWT menyebut kedua-duanya dengan dua nama yang berbeza, maka ini menunjukkan bahawa kedua-dua nama itu merujuk kepada hari yang berbeza. Sekiranya kedua-duanya adalah berbeza, maka tidak boleh untuk dihimpunkan atau disekalikan bersama. Jika kedua-duanya adalah berbeza dan tidak boleh disekalikan, maka benarlah pendapat kami kerana kedua-duanya adalah terasing dan tidak sama. Maka ayyam ma‘lumat (أَيَّام مَّعْلُومَاتٍ) ialah sepuluh hari Zulhijjah dan ayyam ma‘dudat (أَيَّام مَّعْدُودَات) ialah hari-hari tasyriq. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 4/366-367).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa ayyam ma‘dudat (أَيَّام مَّعْدُودَات) dan ayyam ma‘lumat (أَيَّام مَّعْلُومَاتٍ) merujuk kepada hari-hari yang berbeza. Justeru, ayyam ma‘dudat (أَيَّام مَّعْدُودَات) merujuk kepada hari-hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Manakala ayyam ma‘lumat (أَيَّام مَّعْلُومَاتٍ) pula merujuk kepada sepuluh hari terawal Zulhijjah.

Kedua-dua hari tersebut sama ada ayyam ma‘dudat (أَيَّام مَّعْدُودَات)  atau ayyam ma‘lumat (أَيَّام مَّعْلُومَاتٍ) maka hendaklah kita isi dengan memperbanyakkan zikrullah sebagaimana arahan dan suruhan Allah selain daripada amalan-amalan haiji dan korban.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *