Soalan :

Assalamualaikum YB Ustaz. Untuk badal haji bagi arwah ibu dan ayah saya adakah ianya wajib dibuat oleh waris? Saya ada baca hadis berkenaan terputusnya amalan anak Adam kecuali 3 perkara. Saya keliru di situ badal haji ni wajib buat atau tidak?

Jawapan :

Waalaikumusslam  wbt..

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ

Maksudnya:Dan sempurnakanlah Ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.

(Surah al-Baqarah: 196)

Para ulama telah bersepakat memutuskan bahawa haji adalah fardhu, tanpa seorang pun di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada sesiapa yang mengingkari sesuatu yang yang telah thabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘. Begitu juga, berdasarkan pendapat yang lebih jelas daripada Imam al-Syafi‘i, umrah juga adalah fardhu sebagaimana haji dan ayat di atas adlah merupakan dalil bagi mereka yang berpendapat bahawa umrah adalah fardhu. Selain itu, mereka juga telah bersepakat mengatakan bahawa haji dan umrah wajib dilakukan oleh mereka yang mampu, hanya sekali seumur hidup. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji,2/115-116 dan al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 378-379.)

Definisi Badal Haji

Kami nyatakan terlebih dahulu takrif bagi Badal Haji. ‘Badal’ menurut Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat ialah mewakili bagi pihak orang lain naik haji. Manakala ‘Haji’ pada sudut bahasa bermaksud tujuan, dan pada istilah fuqaha’ bermakna menuju ke Baitullah al-Haram untuk menunaikan ibadah yang khusus berserta syarat-syarat yang khusus.(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/113)

Maka yang dimaksudkan dengan Badal Haji ialah seseorang yang telah melakukan haji untuk dirinya lalu melaksanakan haji untuk orang lain, sama ada seseorang yang telah meninggal dunia atau sakit yang tiada harapan sembuh untuk melakukan ibadah haji ke tanah suci, sama ada dengan upah atau tidak.

Hukum Mengerjakan Badal Haji

Mengenai hal ini, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa jumhur ulama berpendapat boleh untuk mewakilkan haji ke atas orang yang telah meninggal dunia dan uzur yang tiada harapan untuk sembuh.( Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/27.)

Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً؟ اقْضُوا اللَّهَ، فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ

Maksudnya:Seorang wanita daripada (kabilah) Juhainah datang kepada Nabi SAW lalu berkata: ‘Sesungguhnya ibuku pernah bernazar untuk mengerjakan haji, namun dia belum mengerjakan haji sehinggalah dia wafat. Adakah aku boleh mengerjakan haji sebagai wakilnya?’ Baginda menjawab: ‘Ya, kerjakanlah haji sebagai wakilnya. Apakah pandanganmu bahawa jika ibumu mempunyai hutang, adakah engkau akan melunaskannya? Tunaikanlah hak Allah, kerana sesungguhnya hak Allah lebih berhak untuk dipenuhi.’

Riwayat al-Bukhari (1852)

Ibn Hajar al-Haitami menyebut, oleh kerana disamakan haji dengan hutang dan juga adanya tuntutan untuk melunaskannya, maka ia menunjukkan kewajipan mengerjakan haji bagi pihak si mati, dan perbelanjaannya diambil daripada harta si mati. Beliau menambah lagi, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta pusaka, maka gugur kewajipan haji ke atasnya begitu juga tidak wajib seseorang waris mengerjakan haji bagi pihaknya. Akan tetapi disunatkan bagi para waris mahupun orang asing untuk mengerjakan haji bagi pihak si mati sekalipun ahli waris tidak mengizinkannya.(Lihat Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj,4/28-29.)

Begitu juga dalam riwayat lain daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ الفَضْلُ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنْ خَشْعَمَ، فَجَعَلَ الفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ، وَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَصْرِفُ وَجْهَ الفَضْلِ إِلَى الشِّقِّ الآخَرِ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ فِي الحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا، لاَ يَثْبُتُ عَلَى الرَّاحِلَةِ، أَفَأَحُجُّ عَنْهُ؟ قَالَ: «نَعَمْ»، وَذَلِكَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ

Maksudnya:Al-Fadhl membonceng tunggangan Rasulullah SAW, lalu datang seorang wanita daripada suku Khath‘am, lalu al-Fadhl melihat ke arah wanita tersebut, dan wanita itu melihat ke arahnya. Nabi SAW memalingkan wajah al-Fadhl ke sisi (arah) lain. Lalu wanita itu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas para hamba-Nya untuk menunaikan haji. Aku mendapati bapaku seorang yang sudah tua, sehingga tidak mampu untuk menunggang haiwan tunggangan. Adakah aku boleh melaksanakan haji untuknya?’ Baginda bersabda: ‘Ya (boleh).’ Demikian (perkara ini) berlaku ketika Baginda melaksanakan haji wada‘.

Riwayat al-Bukhari (1513)

Hadith di atas mengandungi penjelasan bahawa diharuskan untuk melakukan badal haji bagi seseorang yang telah meninggal dunia. Inilah pendapat para ulama dalam kalangan sahabat Nabi SAW dan selain mereka seperti al-Thauri, Ibn al-Mubarak, al-Syafi‘i, Ahmad dan Ishaq. Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa terdapat kelonggaran untuk menunaikan fardhu haji bagi orang yang masih hidup tetapi telah tua dan tidak mampu lagi untuk menunaikan fardhu haji dengan sendiri. Ini merupakan pendapat Ibn al-Mubarak dan al-Syafi‘i.(Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/637).

Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan bahawa dibolehkan bagi seseorang itu untuk melakukan ibadah haji ke atas orang lain dalam dua keadaan:

  • Uzur yang berpanjangan iaitu tubuh badannya tidak mampu untuk melakukan ibadah haji. Hal ini berkemungkinan kerana keadaannya yang sudah tua dan sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Sedangkan dia berkemampuan dari segi harta untuk melakukan ibadah haji. Selain itu, tidak sah badal haji sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan badannya sekiranya dia masih hidup.
  • Meninggal dunia dan tidak sempat menunaikan ibadah haji. Maka wajib ke atas warisnya untuk menunaikan haji ke atasnya, sekiranya dia seorang berkemampuan dari segi kewangan.

Begitu juga harus menunaikan haji ke atas orang lain sama ada yang telah meninggal dunia ataupun yang uzur berpanjangan pada haji sunat.(Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/2098)

Kembali kepada persoalan di atas , dinukilkan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, di bawah tajuk sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan tidak mengerjakan kewajipan haji. Pengarang menyebut: Sekiranya telah diwajibkan haji atau umrah ke atas seseorang, tetapi dia menangguhkannya atau melengah-lengahkannya, dan tidak mengerjakan kedua-duanya sehinggalah dia meninggal dunia, maka dia meninggal dalam keadaan berdosa, maka diwajibkan agar ditentukan seseorang bagi mengerjakan haji atau umrah bagi pihaknya, dengan tanggungan harta si mati, dan kewajipan ini dikira sebagai hutang. Oleh yang demikian, harta peninggalan si mati tidak boleh dibahagikan dan difaraidkan melainkan selepas selesai melunaskan hutang-hutang tersebut. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, 2/176-177)

Isu ini juga telah kami bahaskan pada artikel  #1514: Badal Haji atau Infaq untuk Arwah Datuk Lebih Utama?.Tuan/puan boleh lah merujuk perbahasan tersebut pada link yang kami sertakan di bawah.[1]

Kesimpulan

Setelah meneliti pandangan para ulama kami berpandangan,hendaklah ke atas waris melakukan badalkan haji untuk kedua dua ibu-bapa yang telah meninggal dunia yang belum sempat melakukan ibadah haji dengan menggunakan harta peninggalan mereka kerana ia merupakan beban hutang ke atas si mati. Ini kerana Baginda SAW menyebut bahawa haji merupakan hak Allah SWT, maka ia lebih utama untuk ditunaikan. Yang demikian menunjukkan betapa hutang Allah seperti haji hendaklah dilaksanakan oleh waris .

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

 

[1] https://maktabahalbakri.com/1524-badal-haji-atau-infaq-untuk-arwah-datuk-lebih-utama/

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *