Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya jika mahu mengerjakan haji tetapi datang haid dan tidak akan sempat umrah sebelum wukuf di Arafah, adakah niat haji menjadi Haji Ifrad? Bagaimana pula jika berterusan haid sehingga habis melontar dan harus bergegas pulang ke tanah air? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Haji Tamattu’ ialah jenis haji yang dilakukan bagi seseorang yang menunaikan haji dengan melakukan umrah terlebih dahulu pada bulan-bulan haji dan kemudian bertahallul sehingga tiba waktu haji, lalu dia beniat ihram haji di tanah haram Makkah dan menyempurnakan hajinya sehingga selesai. Bagi mereka yang melakukan haji tamattu’ dan qiran, diwajibkan untuk membayar dam hadyu dengan menyembelih seekor kambing. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

فَمَن تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ

Maksudnya: “Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Ibn Kathir berkata: “Ayat ini bermaksud jika kamu mampu untuk menunaikan ibadah haji, maka bagi mereka yang di antara kamu yang melakukan haji tamattu’ dengan melakukan umrah terlebih dahulu kemudian melakukan haji, termasuk di dalamnya orang yang berniat ihram untuk keduanya pada masa yang sama, atau yang pertama kali berniat ihram untuk umrah dan kemudian setelah selesai melakukan umrah, dia berniat ihram untuk haji. Ini disebut dengan haji tamattu’ secara khusus, dan ia maaruf dalam kalangan para fuqaha’. Maka hendaklah dia menyembelih haiwan hadyu berdasarkan apa yang dia mampu, dan yang paling sedikit adalah seekor kambing. Namun, boleh juga menyembelih lembu kerana Rasulullah SAW telah menyembelih lembu untuk isteri-isterinya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/399)

Menukar Niat Umrah Ke Haji

Berdasarkan persoalan di atas, sekiranya seseorang yang melakukan haji tamattu’, dan keadaan tidak mengizinkan untuk dia menunaikan umrahnya sebelum haji seperti keuzuran haid atau seumpamanya, maka dia dibenarkan menukar niatnya daripada haji tamattu’ kepada haji qiran. Maka niat umrahnya tersebut disekalikan dengan ibadah haji. Hal ini kerana haji Qiran merupakan haji yang dilakukan bersamanya dengan ibadah umrah dengan satu amalan perbuatan.

Ibnu Qudamah berkata, “Sekiranya seorang wanita mengerjakan haji Tamattu’, kemudian datang haid sebelum dia melakukan tawaf umrah, dan dia bimbang tidak sempat mengerjakan haji atau dia bimbang tentang perkara lain, maka dia boleh menukar niatnya kepada ihram haji dan umrah serentak, sehingga hajinya itu menjadi haji qiran sebagaimana hadith Aisyah. Hal ini kerana dibolehkan untuk memasukkan haji ke dalam umrah tanpa keuzuran, maka apabila ada kebimbangan, maka hal itu lebih utama untuk dibolehkan. (Lihat al-Kafi fi Fiqh al-Imam Ahmad, 1/483).

Beliau berkata lagi: “Setiap jemaah yang melakukan umrah dan haji tamattu’ yang bimbang akan tertinggalnya haji, hendaklah dia menyertakan juga niat ihram haji, sehingga ia menjadi haji qiran. Begitu juga bagi mereka yang melakukan haji tamattu’ yang membawa hadyu, mereka tidak bertahallul daripada umrahnya, tetapi menyertakan niat haji bersama-sama dengan umrah sehingga menjadi haji qiran.” (Lihat al-Mughni, 3/422).

Maka, sekiranya hajinya itu sudah menjadi haji qiran yang pada asalnya merupakan haji tamattu’, maka semua amalan umrah akan termasuk dalam haji.

Al-Buhuti berkata: “Maka gugurlah umrah daripadanya, iaiatu semua amalan umrah itu dimasukkan ke dalam amalan haji seperti yang dilakukan oleh jemaah qiran dan diterima sebagai Umrah Islam.” ‘(Lihat Kasyaf al-Qana’ ‘an Matn al-Iqna’, 2/416)

Inilah yang terjadi dengan pada Aisyah R.Anha, katanya:

خَرَجْنَا لاَ نَرَى إِلَّا الحَجَّ، فَلَمَّا كُنَّا بِسَرِفَ حِضْتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِي، قَالَ: «مَا لَكِ أَنُفِسْتِ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: «إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ، فَاقْضِي مَا يَقْضِي الحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ» قَالَتْ: وَضَحَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ نِسَائِهِ بِالْبَقَرِ.

Maksudnya: “Kami keluar tanpa memikirkan kecuali untuk mengerjakan haji. Apabila kami berada di Saraf, aku kedatangan haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: “Kenapa dengan kamu, adakah kamu telah kedatangan haid?” Aku menjawab: “Ya.” Nabi SAW bersabda: “Ini adalah suatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah kepada wanita-wanita dalam kalangan anak-anak Adam. Lakukan sepertimana orang-orang haji tunaikan, cuma kamu jangan bertawaf di Baitullah.” Kata Aisyah R.Anha: “Rasulullah SAW mengorbankan seekor lembu bagi pihak isteri-isterinya.”

Riwayat al-Bukhari (294) dan Muslim (1211)

Hadith ini menunjukkan bahawa Aisyah R.Anha didatangi haid sehingga tidak memungkinkan beliau untuk melaksanakan umrah sebelum haji. Maka Aisyah R.Anha memasukkan amalan hajinya ke dalam ibadah umrah sehingga hajinya itu menjadi haji qiran. 

Namun begitu, tidak boleh bagi mereka yang melakukan haji tamattu’ untuk menukar niatnya menjadi haji ifrad. Hal ini kerana haji ifrad hanyalah perbuatan melakukan haji semata-mata tanpa dilakukan umrah. Justeru, amalan umrah yang ingin dilakukan tidak boleh dibatalkan kecuali dengan memasukkan umrahnya itu ke amalan haji dengan haji qiran.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin ketika ditanya oleh sekumpulan pemuda yang risau tidak dapat melaksanakan umrah sebelum haji dan merubah niatnya menjadi ifrad. Maka beliau menjawab” “Sekiranya niat itu diubah sebelum bermulanya ihram, maka hal itu tidak mengapa. Tetapi sekiranya niat itu ingin ditukar setelah ihram, maka haji kamu menjadi haji qiran dan bukannya haji ifrad. Makna qiran adalah dengan memasukkan haji ke umrah, maka dia telah menjadi qiran. Sesungguhnya haji Qiran ini terdapat dua cara:

  • Pertama: Berihram untuk haji dan umrah secara serentak sejak bermulanya ihram.
  • Kedua: Berihram untuk umrah dahulu kemudian memasukkan niat haji sebelum bermulanya tawaf umrah.

Maka dengan demikian, jika kamu telah berihram untuk umrah, kemudian kamu ingin menjadikan umrah itu bersama haji, maka kamu telah menjadikan haji kamu sebagai haji qiran. Kalau kamu telah menyembelih hadyu pada hari Eid al-Adha pada tahun ini untuk haji kamu, maka kamu telah menunaikan kewajiban hadyu kamu sehingga haji  dan umrah kamu telah sempurna. Sekiranya kamu belum menyembelih hadyu, maka kamu mesti menyembelih hadyu di Makkah sekarang dan dibolehkan untuk makan dan disadaqahkan. Sekiranya kamu tidak mendapatkan hadyu –iaitu tidak mempunyai kemampuan untuk membeli hadyu- maka kamu harus berpuasa sepuluh hari bermula sekarang (3 hari pada hari Haji dan 7 hari ketika pulang dari Haji).” (Lihat Majmu’ Fatawa, 22/39).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa terdapat dua situasi dalam hal ini:

  • Sekiranya saudari mahu mengerjakan haji tamattu’ tetapi didatangi haid ketika saudari sudahpun berniat ihram dan tidak sempat melaksanakan tawaf umrah sebelum tibanya wukuf di Arafah, maka saudari boleh menukar niat dengan menggabungkan amalan umrah saudari dengan amalan haji, dan haji saudari bertukar kepada haji Qiran
  • Sekiranya saudari didatangi haid sebelum berniat ihram dan hari wuquf di Arafah sudah pun hampir tiba, maka saudari boleh berniat ihram dengan melakukan sama ada Haji Ifrad atau Haji Qiran.

Dalam hal ini, sekiranya saudari memilih untuk menunaikan haji Qiran, maka saudari perlu membayar dam dengan menyembelih haiwan hadyu. 

Berkenaan dengan sekiranya berterusan haid tersebut sehingga habis melontar dan harus bergegas pulang ke tanah air, maka amalan-amalan melontar dan kewajipan-kewajipan haji tersebut boleh dilakukan melainkan pada amalan tawaf sahaja yang disyaratkan bersuci padanya.

Keputusan Muzakarah Haji jika situasi seperti di atas, ia boleh bertaqlidkan kepada mazhab yang lain jika terpaksa pulang tetapi dikenakan dam. Ada juga cadangan agar perempuan tersebut mencari pil penahan haid dan ketika suci, maka hendaklah dia tawaf walaupun kurang dari 24 jam (Sehari semalam). Ini dalam kes terdesak.

Begitu juga, kami sarankan untuk merujuk kepada petugas-petugas ibadat haji di mana di sana terdapat pakar rujuk untuk menyelesaikan isu seperti ini agar rasa kepuasan dalam melaksanakan ibadat haji dengan sempurnanya. Semoga Allah SWT kurniakan kepada jemaah haji dengan haji yang mabrur. 

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *