Soalan:

Assalamualaikum, saya sedikit keliru dengan hukuman dam terhadap orang yang ihram. Bagaimanakah jika seorang yang di dalam ihram melanggar dua kesalahan ihram sebagai contoh sengaja mencabut rambut dan sengaja menggunakan minyak wangi. Adakah orang tersebut perlu membayar dam sebanyak dua ekor kambing ataupun cukup untuk seekor kambing sahaja.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

 (Surah Ali ‘Imran: 97)

Seseorang yang berada di dalam keadaan berihram hendaklah menjaga pantang larang yang telah ditetapkan oleh syara’ dan sekiranya melanggar larangan-larangan tersebut, maka individu tersebut akan dikenakan dam mengikut jenis larangan yang telah dilakukan olehnya. Terdapat sedikit perbezaan antara perkara-perkara yang dilarang terhadap lelaki yang berihram dan perempuan yang berihram. Antara larangan dalam ihram adalah seperti berikut:

  • Menutup kepala.
  • Memakai pakaian berjahit.

Manakala larangan-larangan ihram yang khusus bagi perempuan pula adalah:

  • Menutup muka.
  • Mamakai sarung tangan.

Adapun larangan-larangan ihram yang umum bagi lelaki dan perempuan adalah:

  • Berwangi-wangian.
  • Bersetubuh.
  • Memakai minyak pada rambut atau janggut.
  • Memburu di tanah Haram.
  • Mencabut dan merosakkan tumbuhan di tanah Haram.

(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 502)

Antara jenis Dam yang diberikan pilihan untuk mereka yang melanggar larangan tersebut adalah:

  • Menyembelih seekor kambing.
  • Atau memberi makanan 3 gantang makanan ruji kepada 6 orang miskin dengan tiap-tiap seorang memperoleh setengah gantang.
  • Atau berpuasa selama 3 hari.

(Lihat Matla‘ al-Badrain, 1/325; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 518-519)

Menjawab bagi persoalan di atas, dapat kami nyatakan di sini bahawa dalam situasi ini dikenakan dam yang berbeza. Ini disebabkan kerana mencabut rambut dan memakai minyak wangi merupakan jenis yang berbeza.

Al-Nawani menyatakan : perkara yang dilarang dalam ihram terbahagi kepada dua: Perkara yang boleh membinasa hilang seperti bercukur, istimta’ dan memakai wangian. Jika perkara tersebut berbeza jenisnya seperti bercukur dan memakai pakaian, maka ia dikira berbilang fidyah. 

Begitu juga jika dia memburu binatang-binatang buruan, maka ia dikira berbilang fidyah. Begitu juga keadaannya jika dia memburu binatang buruan dan bercukur atau memakai pakaian. Tetapi jika dia memakai pakaian yang wangi, maka ia tidak dikira berbilang fidyah mengikut pendapat yang paling sahih. Jikalau dia mencukur semua rambut dan bulu badannya secara berterusan, dia hanya dikenakan satu fidyah sahaja mengikut pendapat yang sahih. Terdapat juga pendapat yang mengatakan dia dikenakan dengan dua fidyah. (Lihat al-Idhah fi al-Manasik, hlm.361)

Semoga Allah kurniakan kepada dhuyuf al-Rahman dengan haji yang mabrur.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ. يَا عَزِيْزُ يَا غَفُوْرُ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah haji ini haji yang mabrur, sa’i yang diterima, dosa yang diampuni dan amal shaleh yang dikabulkan dan perdagangan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.wahai Tuhan yang maha pengampun, Tuhan sekalian alam.”

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *