Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato, saya ingin bertanya  adakah dikenakan dam (ihram) jika kita mengambil wuduk kemudian didapati ada bulu yang gugur daripada badan kita akibat perbuatan meratakan air di tangan, muka, rambut atau kaki?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ

Maksudnya:Dan sempurnakanlah Ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.

(Surah al-Baqarah: 196)

larangan mencukur dan mencabut rambut serta bulu adalah termasuk dalam larangan yang ditegah melakukannya ketika berada dalam ihram. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ

Maksudnya:  dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.

(Surah al-Baqarah, 196)

Imam Khatib Syarbini menyatakan ayat (وَلا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ) iaitu rambutnya dan bulu pada seluruh jasad (Lihat, al-Mughni al-Muhtaj, 2/297).

Dr Wahbah Zuhaili juga menyebut, larangan ayat di atas dikiaskan dalam larangan mencabut bulu atau mencukurnya pada seluruh badan dan larangan ini merupakan sepakat para ulama’. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/2300)

Dr Muhammad Zuhaili menyatakan pengharaman dan larangan ini tertakluk kepada lelaki dan perempuan yang berihram. Begitu juga wajib ke atas wali seorang budak yang sedang berihram untuk menghalangnya daripada menggugurkan rambutnya. larangan ini juga termasuk pada rambut di kepala, janggut, misai, bulu ketiak, bulu roma dan bulu diseluruh badan sama ada dihilangkannya dengan mencukur, memendekkannya, mencabut, membakarnya atau selain daripadanya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/321)

Menjawab bagi persoalan yang diajukan, saya berpendapat bahawa bulu yang gugur ketika meratakan air pada bahagian wuduk seperti rambut, muka, tangan atau kaki adalah termasuk dalam bulu-bulu yang mati. Ini kerana pada adatnya bulu tidak akan gugur sekiranya membasuhnya dengan perlahan seperti kebiasaan melainkan sekiranya ia dibasuh dengan kuat dan kasar.

Dalam kitab al-Idhah menyatakan jika rambut gugur dan syak adakah dengan sebab sisir atau gugur sendirinya, maka tiada fidyah baginya mengikut pendapat yang asah. (Lihat  al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, Hlm.131)

Justeru, kami katakan di sini bulu yang gugur ketika mengambil wuduk tidak lah termasuk dalam perkara yang ditegah ketika berada dalam ihram maka tidaklah ia dikenakan dam melainkan ia disengajakan.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariat-syariat-NYA dan kami akhiri dengan doa :

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ. يَا عَزِيْزُ يَا غَفُوْرُ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah haji ini haji yang mabrur, sa’i yang diterima, dosa yang diampuni dan amal shaleh yang dikabulkan dan perdagangan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.wahai Tuhan yang maha pengampun, Tuhan sekalian alam.”

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *