Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukumnya sekiranya melontar Jamrah lebih daripada 7 biji batu atas sebab tidak yakin batu masuk? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Jabir R.A, katanya:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَرْمِي الْجَمْرَةَ وَهُوَ عَلَى بَعِيرِهِ وَهُوَ يَقُولُ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا

Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW telah melontar dan Baginda di atas untanya lalu bersabda: “Wahai manusia, ambillah kerja-kerja haji kamu sesungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku masih akan melaksanakan haji lagi selepas tahun ini”

Riwayat al-Nasa’i (3062)

Sesungguhnya ibadat haji yang merangkumi padanya tawaf, sa’ie, wuquf, bahkan melontar di jamrah semata-mata untuk menegakkan dan melaksanakan zikrullah. Daripada Aisyah R.Anha, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ وَبَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ وَرَمْىُ الْجِمَارِ لإِقَامَةِ ذِكْرِ اللَّهِ ‏

Maksudnya:Sesungguhnya dijadikan tawaf di Kaabah, sa’ie antara Safa dan Marwah dan melontar di tiga jamrah semata-mata untuk melaksanakan zikrullah.”

Riwayat Abu Daud (1888), al-Tirmizi (902) dan Ahmad (24396)

Secara umumnya, di antara syarat melontar di jamrah adalah dengan melontar pada setiap jamrah itu sebanyak tujuh biji anak-anak batu. Kemudian batu-batu itu pula hendaklah dilontarkan satu persatu. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 494-497). Maka, jika bilangannya kurang daripada tujuh biji, lontaran di jamrah tersebut belum lagi dikira memadai.

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan ketika melontar jamrah, ia perlu dilontarkan satu persatu atau sebiji-biji sehingga cukup semuanya sebanyak tujuh biji. Maka, melontar jamrah melebihi 7 kali adalah dibolehkan bagi memastikan seseorang itu lebih yakin. Namun, kami nasihatkan bagi mengelakkan was-was dan seumpamanya, maka lontarlah sambil dikira satu persatu sehingga cukup tujuh lontaran. Hal ini akan membuat seseorang itu lebih yakin.

Berkenaan melontar jamrah, kami telah jelaskan dalam artikel sebelum ini:

#1991: Melontar Jamrah[1]

#1669: Melontar Tujuh Anak Batu Secara Serentak[2]

Kami tegaskan bahawa perintah Allah SWT dan rasulullah SAW dengan jumlah tertentu seperti lontaran 7 biji anak batu mempunyai hikmah yang tersendiri. DI samping ia bersifat ta’abbudi dan tawaqqufi ia juga mengajar kita agar sentiasa mengikut titah perintah Allah SWT dan membuang sebarang bentuk was-was serta gangguan syaitan. 

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita satu hari nanti untuk dapat melaksanakan ibadat haji. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُورًا وَسَعْياً مَشْكُورًا

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah hajiku ini haji yang mabrur dan sa’i yang diterima.”

 

[1] https://maktabahalbakri.com/1991-melontar-jamrah/ 

[2] https://maktabahalbakri.com/1669-melontar-tujuh-anak-batu-secara-serentak/

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *