Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum isteri menunaikan umrah kedua tanpa suami atau keluarga terdekat sebagai mahram? Suami izinkan tetapi suami tak dapat nak pergi bersama.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum asal bagi seorang wanita bermusafir tanpa mahram adalah tidak dibolehkan berdasarkan kepada beberapa hadis yang sahih. Di antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A. Beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda :

لَا تُسَافِرْ الْمَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

Maksudnya : “Seorang wanita tidak boleh bermusafir tanpa ada mahram.”

Riwayat Al-Bukhari (1729) & Muslim (2391)

Begitu juga dengan riwayat yang lain bahawa Nabi SAW bersabda :

لا يَحِلُّ لامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُسَافِرُ مَسِيرَةَ يَوْمٍ إِلا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

Maksudnya : “ Tidak boleh bagi seorang perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk bermusafir sejauh sehari perjalana kecuali bersamanya ada mahram.”

Riwayat Muslim (1339)

Di antara alasan tidak membenarkan wanita untuk bermusafir tanpa mahram adalah untuk menjaga keselamatan, memelihara kehormatan serta menjauhkan para wanita daripada fitnah sekiranya tiada mahram yang menemaninya. Namun jika perjalanan tersebut aman dan selamat, maka sebahagian para ulama membenarkannya. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis tersebut (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, para ulama ketika membincangkan berkenaan kemampuan untuk menunaikan haji dan umrah, mereka membahagikannya kepada dua iaitu kemampuan secara langsung iaitu yang terkait kepada dirinya seperti mempunyai kesihatan dan kewangan yang cukup.Yang kedua adalah kemampuan tidak langsung iaitu mempunyai kewangan yang cukup tapi tidak mampu untuk pergi keran sakit dan sebagainya. Dia wajib untuk mengupah seseorang menunaikan bagi pihaknya.

Bagi wanita, para ulama menambahkan beberapa syarat iaitu yang pertama ditemani suami atau mahram atau wanita lain yang boleh dipercayai dengan jumlah paling kurang dua orang. Syarat yang kedua adalah wanita tersebut tidak berada di dalam iddah jika telah diceraikan. (Rujuk Fiqh Al-Manhaji ‘Ala Mazhab Al-Imam Al-Syafi’i, 1/150-151).

Namun begitu para ulama berbeza pandangan tentang syarat mahram untuk menunaikan haji dan umrah. Sebahagian ulama dari kalangan fuqaha mazhab Hanbali dan Hanafi menyebut bahawa disyaratkan bagi seorang wanita yang ingin menunaikan haji dan umrah untuk ditemani oleh suami atau mahram. Manakala ulama dari kalangan mazhab Syafi’i , Maliki, Al-Auza’i dan lain-lain tidak mensyaratkan mahram bahkan yang disyaratkan adalah aman dari segala ancaman. (Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500).

Al-Bujairimi di dalam hasyiahnya menyebut jika perjalanan tersebut aman maka harus untuk wanita tersebut bermusafir seorang diri. (Rujuk Al-Tajrid Linnaf’i Al-‘Abid Hasyiah Al-Bujairimi ‘Ala Minhaj Al-Tullab, 6/35). Jika dilihat pada masa kini perjalanan menunaikan umrah atau haji tidak lagi seperti dahulu. Jika dahulu perjalanan terpaksa menempuh padang pasir atau menaiki kapal yang mengambil masa berbulan-bulan. Akan tetapi sekarang mereka yang ingin menunaikan umrah atau haji hanya perlu menaiki kapal terbang yang mengambil masa kurang dari 24 jam.

Adapun bagi mereka yang menunaikan haji atau umrah untuk kali kedua dan seterusnya, maka disyaratkan ada mahram bersamanya.Ini adalah pandangan jumhur para ulama (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 8/334 ; Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/104).

Kesimpulannya, kami cenderung mengatakan bahawa harus bagi seorang wanita untuk pergi menunaikan umrah tanpa mahram dengan syarat ditemani paling kurang oleh dua orang wanita yang boleh dipercayai. Adapun bagi mereka yang menunaikan umrah bagi kali kedua dan seterusnya maka mengikut jumhur para ulama perlu untuk ditemani oleh suami atau mahram.

Akhir kalam, kami lebih cenderung agar suami hendaklah mengikuti isteri seupaya mungkin agar pelaksanaan ibadat umrah mahu pun haji dibuat dengan lebih sempurna. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *