Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Ada satu situasi di mana seorang isteri yang berhasrat untuk melaksanakan haji apabila sampai masanya nanti dengan suaminya. Namun, suami tersebut telah menerima tanggungjawab untuk menjadi pengiring ayahnya yang telah lanjut usia sedangkan isterinya gagal dalam rayuan hajinya pada tahun tersebut. Sepanjang tempoh haji, isteri tersebut mengatakan beliau tidak gelisah sehingga tidak dapat tidur malah ke tahap mengatakan beliau tidak redha dengan pemergian suaminya menunaikan haji tanpanya. Hal ini juga menyebabkan beliau bertindak dingin dengan keluarga mentuanya walaupun setelah suaminya pulang dari haji. Apakah nasihat ustaz untuk isteri ini? Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:


وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

(Surah al-Isra’: 23)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia. (Lihat Tafsir al-Munir, 15/54)

Firman Allah lagi:

وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”

(Surah Luqman: 15)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: bersahabat baik dengan keduanya-dua ibu bapa  dengan berbuat baik kepada mereka, tetapi jika mereka mengajakmu berbuat dosa dan maksiat, maka janganlah engkau mengikuti keduanya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.648)

Rasulullah SAW juga telah menyebut berkenaan kelebihan dan keutamaan dalam menjaga dan berbakti kepada kedua orang tua. Daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ قَالَ ‏”‏ الصَّلاَةُ لِوَقْتِهَا ‏”‏ ‏ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ ‏”‏ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ ‏”‏ ‏ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ ‏”‏ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏”‏ ‏

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan amalan apakah yang paling afdhal, lalu Baginda menjawab: “Solat pada waktunya.” Kemudian aku bertanya lagi, apakah amalan yang seterusnya? Jawab Baginda: “Berbakti kepada kedua ibu bapa.” Kemudian aku bertanya, apakah lagi seterusnya? Jawab Baginda: “Berjihad di jalan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (85)

Menjawab bagi persoalan di atas, tanggungjawab seorang anak adalah berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa kerana terdapat perintah daripada Allah SWT terhadap itu. Yang demikian boleh dilihat daripada nas-nas al-Quran dan hadith yang telah kami nyatakan di atas.

Dalam isu ini kami katakan isteri tidak harus  bersikap sedemikian kerana tanggungjawab seorang suami yang merupakan anak lelaki amatlah besar terhadap kedua-dua orang tuanya lagi-lagi ketika mereka telah lanjut usia. Tambahan lagi, keredhaan seorang anak bergantung kepada keredhaan ibu bapa manakala keredhaan isteri bergantung kepada keredhaan suami.

Diriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ.‏ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: ‏‏مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ ‏‏

Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”

 Riwayat Muslim (2551)

Justeru, Kami nasihati juga  dalam isu ini berbincang lah dengan baik dengan suami supaya setiap masalah dapat diselesaikan dengan baik dan kepada isteri hendaklah bersikap baik terhadap kedua-dua mentua agar pertalian keluarga dapat disemai dengan keharmonian dan kasih sayang. Selain itu, dalam permasalahan seperti ini kami cadangkan juga supaya berbincanglah dengan pihak tabung haji dan  membuat permohonan rayuan  agar isteri dapat ikut serta menunaikan haji bersama suami kerana dalam situasi sekarang adalah amat sukar untuk menunaikan haji berulang kali lebih-lebih lagi apabila tiba giliran isteri untuk menunaikan haji timbul pula kesukaran untuk mencari mahram.    

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman yang tepat dalam melaksanakan titah perintah-Nya. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *