Soalan:

Assalamualaikum Tuan Guru Datuk Dr Zulkifli, abg saya baru meninggal, dia tidak berkahwin, duit yang ditinggalkan InsyaAllah digunakan untuk buat badal haji untuk almarhum, jika ade baki lagi bolehkan kami wakafkan untuk pembinaan tahfiz atau masjid dengan niat wakaf tu untuk almarhum ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah Mengetahuinya.

( Surah Ali-Imran: 92 )

Wakaf

Istilah wakaf dari segi bahasa bermaksud berhenti (السكن), menegah (المنع) dan menahan (الحبس). (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/359)

Pengertian wakaf sepertimana ditakrifkan oleh ulama mazhab Syafi’i adalah:

حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الاِنْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ مَوْجُودٍ

Maksudnya: “Penahanan harta yang boleh diambil manfaatnya dan berkekalan ‘ain harta itu. Dengan gugurnya hak milik pewakaf ke atas pemanfaatan perkara-perkara yang mubah (tidak haram)”. ( Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/376 )

Diriwayatkan daripada Saidina Umar RA, sabda Rasulullah SAW:

إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا وَتَصَدَّقْتَ بِهَا

Maksudnya:Sekiranya engkau mahu, tahanlah (wakafkanlah) pokoknya dan bersedekah (di jalan Allah) akan buahnya (hasilnya).”

Riwayat al-Bukhari (2772)

Ibn Hajar menjelaskan: Iaitu mewakafkannya dan bersedekah dengan manfaat (yang terhasil) daripadanya.”  (Lihat Fath al-Bari, 5/401)

Menjawab bagi persoalan di atas dalam isu ini kami katakan baki harta si mati yang digunakan selepas melaksanakan badal haji,dan melunaskan segala hutang-hutangnya serta wasiat-wasiatnya, boleh diwakafkan kepada tahfiz atau masjid sekiranya setelah mendapat keizinan daripada seluruh ahli waris yang layak mewarisi daripada harta si mati kerana pada asalnya harta peninggalan si mati wajib di faraidkan.

Syeikh Zakariya al-Ansari menyatakan dalam kitabnya Asna Matalib bahawa: “Doa bagi orang yang meninggal, baik dari waris atau selain waris,  dapat memberikan manfaat kepada si mati. Begitu juga sedekah dan infaq yang diberikan atas nama si mati seperti pembangunan masjid, mewakafkan telaqa, dan sejenisnya dapat memberikan manfaat kepada si mati sebagaimana  manfaat itu diperoleh dari apa yang dilakukannya ketika masih hidup.(Lihat Asna al-Matalib,3/60)

Diriwayatkan daripada  Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Jika seorang manusia mati maka terputuslah daripadanya amalnya kecuali dari tiga perkara; dari sedekah jariah atau ilmu yang diambil manfaatnya atau anak soleh yang mendoakannya.”

Riwayat Muslim (1631)

Imam al-Nawawi berkata, maksud sedekah jariah dalam hadis di atas ialah amalan wakaf. Hadith ini juga menjadi dalil sahnya amalan berwakaf serta ganjarannya yang besar. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 3/89)

Al-Khatib al-Syarbini berkata: Ulama telah menafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadith yang tersebut di atas itu dengan maksud wakaf, sepertimana kata Imam al-Rafi’i. Hal ini kerana pahala sedekah jariah terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain, pahalanya tidak berterusan mengalir sepertimana sedekah amal jariah atau wakaf. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 10/87)

ـJusteru kami tekankan di sini,kepada ahli waris hendaklah melaksanakan tanggungjawab si mati yang belum sempat dilakukan ketika masih hidup seperti melakukan badal haji dan melangsaikan segala hutang- piutangnya barulah boleh mewakafkan baki harta si mati setelah mendapat keizinan ahli waris.

Dalam Isu mewakafkan harta si mati kami telah membahaskannya pada artikel #1725: Bolehkah Niat Wakaf Harta Peninggalan Untuk Arwah Isteri?. Untuk mengetahui perbahasan dengan lebih lanjut bolehlah merujuk pada link yang kami sediakan di bawah.[1]

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariat-syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampunlah dosanya, limpahkan rahmat kepadanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya.”

[1] https://maktabahalbakri.com/1725-bolehkah-niat-wakaf-harta-peninggalan-untuk-arwah-isteri/

Diakses pada 2 Ogos 2023

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *