Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya,  adakah dibolehkan kita melakukan tawaf kepada si mati dengan niat sedekah pahala tawaf kepadanya ?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ: إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak soleh yang sentiasa mendoakannya.”

Riwayat Muslim (4310), Abu Dawud (2882), al-Nasa’i (6445) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (12635)

Hadith di atas menunjukkan kepada terangkatnya taklif kepada si mati, serta berpindahnya dari alamnya (iaitu dunia) ke alam barzakh, di mana ia bukan lagi tempat untuk beramal (beribadah). Apabila sudah terputusnya amalan, maka terputuslah juga pahala yang dikurniakan bagi suatu amalan tersebut. Manakala lafaz “إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ” (kecuali tiga perkara) pula bermaksud pahala tiga perkara itu adalah berkekalan  bagi seseorang selepas kematiannya, dan itu adalah disebabkan oleh kekalnya kesannya (atharnya), lalu membawa kepada kekalnya pahalanya. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 7/8).

Menjawab bagi persoalan di atas kami kami berpandangan bahawa setiap amalan kebaikan yang dilakukan dan diniatkan kepada si mati dapat memberi manfaat kepadanya. Oleh yang demikian, kami nyatakan dalam hal ini dibolehkan untuk melakukan tawaf dan menghadiahkan pahala tersebut kepada si mati.

Syeikh Soleh Uthaimin dalam isu ini beliau menyatakan:  Dibenarkan untuk berkeliling tujuh kali, dan boleh menjadikan pahalanya untuk sesiapa yang dikehendaki dari golongan Muslim. Ini adalah pandangan yang terkenal dari mazhab Imam Ahmad. Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh seorang Muslim, dan pahalanya diberikan kepada seorang Muslim yang hidup atau mati, maka itu akan memberi manfaat kepadanya. Sama ada amalan kebaikan itu bersifat jasmani semata-mata, seperti solat dan tawaf, atau bersifat harta semata-mata, seperti sedekah, atau merupakan gabungan keduanya, seperti korban. Namun, seseorang perlu mengetahui bahawa yang lebih baik bagi manusia adalah menjadikan amalan kebaikan untuk dirinya sendiri, dan mengkhususkan sesiapa yang  dikehendaki dari golongan Muslim untuk dia berdoa. Ini kerana itulah yang dianjurkan oleh Nabi SAW. (Lihat Majmu’ Fatawa wa Rasail al-Uthaimin,24/53)

Ibn Jibrin juga menukilkan hal ini dengan menyatakan: Sebarang amalan kebaikan yang dilakukan dan pahalanya dihadiahkan kepada seorang Muslim yang hidup ataupun yang sudah mati akan memberi manfaat kepadanya. Ini adalah pendapat yang sahih. Oleh itu, dibenarkan untuk menghadiahkan amalan kebaikan kepada orang yang telah meninggal dunia supaya amalan tersebut dapat memberi manfaat kepadanya. Jika melakukan ibadah haji, niatkan haji tersebut untuknya, atau umrah, atau sedekah, atau doa, atau jihad, atau perkara seumpamanya, maka itu akan memberi manfaat kepadanya. (Lihat Syarh Akhsar al-Mukhtasarat li Ibn Jibrin, 12/8)

Begitu juga fatwa yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah bahawa setiap amalan yang baik diharuskan oleh syara’ untuk disedekahkan kepada orang lain dan akan sampai kepadanya kerana Allah SWT Yang Maha Mulia apabila diminta Dia akan memberi  dan apabila memohon dia akan mengabulkan.

Telah diriwayatkan daripada Abu Sai’d al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW melakukan korban dengan Kibasy yang bertanduk lalu baginda bersabda:

هذا عنِّي، وعمَّن لم يُضَحِّ من أمَّتي

Maksudnya: Ini adalah untukku dan untuk siapa sahaja yang tidak berkorban dari umatku.

Riwayat Ahmad (11051)

Rasulullah SAW menjadikan pahala korban kepada mereka yang tidak berkorban dari umatnya, dan demikian juga dengan amalan-amalan ibadah yang lain. Hal ini mengajarkan kepada kita bahawa manusia dapat mendapatkan manfaat dari amal perbuatan orang lain.[1]

Justeru apa-apa kebaikan yang diniatkan kepada si mati akan memberi manfaat kepadanya di akhirat kelak. Dalam kesempatan ini, suka  untuk kami nasihati kepada yang masih hidup supaya memperbanyakkan amalan seperti sedekah jariah atau menyebarkan ilmu yang bermanfaat kerana ia merupakan bekalan  yang akan menyelamatkan kita di akhirat nanti.

Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سَبْعَةٌ يَجْرِي لِلْعَبْدِ أَجْرُهُنَّ وَهُوَ فِي قَبْرِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ: مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا، أَوْ أَجْرَى نَهَرًا , أَوْ حَفَرَ بِئْرًا، أَوْ غَرَسَ نَخْلًا، أَوْ بَنَى مَسْجِدًا، أَوْ وَرَّثَ مُصْحَفًا، أَوْ تَرَكَ وَلَدًا يَسْتَغْفِرُ لَهُ بَعْدَ مَوْتِهِ

Maksudnya: Ada tujuh amalan yang pahalanya terus mengalir untuk seorang hamba setelah ia dikuburkan setelah dia meninggal : seorang yang mengajarkan ilmu, atau membuat pengairan ,atau menggali perigi, atau menanam pohon kurma atau membangunkan masjid atau mewariskan mushaf, dan meninggalkan anak yang sentiasa memohon keampunan baginya setelah kematiannya.

Riwayat Ibn Hibban (354) dan al-Bazzar (7289)

Berdasarkan nas di atas, kami katakan terdapat amalan yang boleh dilakukan oleh orang yang hidup untuk si mati sebagai contoh nas yang menyebut:

 أَوْ تَرَكَ وَلَدًا يَسْتَغْفِرُ لَهُ بَعْدَ مَوْتِهِ 

Yang memberi maksud, ‘dan meninggalkan anak yang sentiasa memohon keampunan baginya setelah kematiannya.’ Di mana istighfar dan doa serta amalan kebajikan apabila diniatkan kepada si mati dan dihadiahkan kepadanya, insyaAllah akan disampaikan oleh Allah SWT kepada si mati. 

Benarlah firman Allah SWT:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

(Surah al-Hasyr: 10)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Ya Allah, perbaikkanlah kesudahan segenap urusan kami serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan siksaan hidup di akhirat.” 

Riwayat Ibnu Hibban(949)

Wallahua’lam

 

Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/18869/% حكم-اهداء-ثواب-الاعمال-الصالحة-للاحياء-والاموات#بيان_مذهب_المالكية_والشافعية_في_هذه_المسألة. Diakses pada 10 Ogos 2023.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *