Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kami baru kehilangan ayah semalam dan emak saya sedang di dalam tempoh ‘iddah. Kami telah merancang untuk pergi umrah (segala pembayaran telah dibuat) pada bulan 10. Mak saya telah berumur 67 tahun. Persoalannya, bolehkah emak saya pergi menunaikan umrah bersama kami pada bulan 10 nanti, atau dia kena melengkapkan tempoh ‘iddah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Nisa’: 234)

Dapat difahami melalui firman Allah SWT di atas, ‘iddah bagi perempuan yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari dan termasuk di dalam bilangan ‘iddah tersebut adalah hukum ihdad (berkabung) bagi si isteri. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Ummu ‘Atiyyah R.Anha meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

‏ لاَ تُحِدُّ امْرَأَةٌ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا وَلاَ تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلاَّ ثَوْبَ عَصْبٍ وَلاَ تَكْتَحِلُ وَلاَ تَمَسُّ طِيبًا إِلاَّ إِذَا طَهُرَتْ نُبْذَةً مِنْ قُسْطٍ أَوْ أَظْفَارٍ

Maksudnya: “Janganlah seorang wanita itu berihdad (berkabung) ke atas si mati melebihi tiga hari melainkan ke atas suami iaitu selama empat bulan sepuluh hari. Dan janganlah dia memakai pakaian bercorak dan berwarna-warni melainkan pakaian yang berwarna putih dan dia juga tidak boleh bercelak serta memakai wangian. Adapun ketika haid maka diperbolehkan baginya untuk mengenakan sedikit wangian dengan cebisan kapas/kain untuk menghilangkan bau tidak enak.”

Riwayat Muslim (938)

Justeru, secara asasnya, seorang wanita yang berada dalam iddah kematian suami, tidak boleh keluar daripada rumahnya sepanjang tempoh iddah dan berkabung. Hal ini kerana wanita yang berada di dalam ‘iddah kerana kematian wajib ke atasnya melakukan perkara seperti berikut:

  • Berkabung atas kematian suaminya dengan tidak berhias dan mengenakan bau-bauan seperti bersolek, berhias, memakai baju berwarna terang, memakai barang kemas dan selainnya.
  • Wajib menetap di rumah yang didudukinya selama tempoh ‘iddah. Isteri juga tidak dibenarkan keluar melainkan sekiranya ada keperluan dan hajat seperti membeli keperluan makanan dan seumpamanya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/71-73)

Dalam menjawab persoalan di atas, ia tidak dibolehkan. Jumhur ulama’ telah berpendapat bahawa wanita yang ber’iddah kerana suaminya meninggal dunia adalah tidak boleh melaksanakan ibadah haji atau umrah.

Ibn al-Munzir menyebut: “Mereka berbeza pendapat berkenaan perjalanan wanita beriddah untuk melaksanakan haji dan umrah. Umar bin al-Khattab telah melarang hal itu, dan hal tersebut telah diriwayatkan oleh Uthman bin ‘Affan. Mereka yang turut berpendapat sedemikian adalah Ibn al-Musayyib, al-Qasim bin Muhammad, Imam al-Syafi’i, ashab al-ra’yi, Abu ‘Ubaid, dan dihikayatkannya oleh Abu Ubaid daripada al-Thauri. Imam Malik berkata: “Wanita tersebut dikembalikan (ke daerahnya) jika dia belum memulakan ihramnya.” Abu Bakar berkata:  “Aku berpendapat dengan pendapat yang pertama.” (Lihat al-Isyraf, 5/342)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah pernah ditanya: “Berkenaan seorang wanita yang berazam untuk melaksanakan haji bersama suaminya, lalu kemudian suaminya meninggal dunia pada bulan Sya’ban. Adakah dia boleh melaksanakan haji?” Lalu beliau menjawab: “Dia tidak boleh melaksanakan musafir untuk ibadah haji selama tempoh ‘iddah disebabkan suaminya yang meninggal dunia, berdasarkan mazhab yang empat.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 29/34)

Hujah mereka adalah berdasarkan hadith daripada Zainab binti Ka’ab bin ‘Ajrah, katanya: “Bahawa Furai’ah (الْفُرَيْعَةَ) binti Malik bin Sinan – beliau ialah saudara perempuan Abu Sa’id al-Khudri – telah mengkhabarkan kepadanya:

أَنَّهَا جَاءَتْ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَسْأَلُهُ أَنْ تَرْجِعَ إِلَى أَهْلِهَا فِي بَنِي خُدْرَةَ ، فَإِنَّ زَوْجَهَا خَرَجَ فِي طَلَبِ أَعْبُدٍ لَهُ أَبَقُوا ، حَتَّى إِذَا كَانُوا بِطَرَفِ الْقَدُومِ لَحِقَهُمْ فَقَتَلُوهُ ، فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَنْ أَرْجِعَ إِلَى أَهْلِي ، فَإِنِّي لَمْ يَتْرُكْنِي فِي مَسْكَنٍ يَمْلِكُهُ ، وَلَا نَفَقَةٍ ؟ ، قَالَتْ : فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ( نَعَمْ )، قَالَتْ: فَخَرَجْتُ حَتَّى إِذَا كُنْتُ فِي الْحُجْرَةِ ، أَوْ فِي الْمَسْجِدِ ، دَعَانِي ، أَوْ أَمَرَ بِي ، فَدُعِيتُ لَهُ ، فَقَالَ: ( كَيْفَ قُلْتِ ؟) ، فَرَدَدْتُ عَلَيْهِ الْقِصَّةَ الَّتِي ذَكَرْتُ مِنْ شَأْنِ زَوْجِي ، قَالَتْ: فَقَالَ: ( امْكُثِي فِي بَيْتِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ ) ، قَالَتْ: فَاعْتَدَدْتُ فِيهِ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ، قَالَتْ : فَلَمَّا كَانَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ أَرْسَلَ إِلَيَّ فَسَأَلَنِي عَنْ ذَلِكَ ، فَأَخْبَرْتُهُ فَاتَّبَعَهُ ، وَقَضَى بِهِ “

Maksudnya: “Bahawa dia (Furai’ah) telah menghadap Rasulullah SAW untuk bertanya kepada Baginda, bahawa dia akan kembali kepada keluarganya di Bani Khudrah. Dan sesungguhnya suaminya telah keluar darinya untuk mencari para hamba yang ada bersamanya, sehingga mereka hampir tiba, lalu dia menyusul mereka dan mereka pun membunuhnya. Maka aku bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah aku kembali kepada keluargaku, kerana aku tidak ditinggalkan sebuah rumah miliknya, dan juga tidak ada nafkah?” Maka Nabi SAW bersabda, “Ya.”

Dia berkata, “Maka aku pun keluar sehingga aku berada di hujrah, atau di masjid, maka Baginda memanggilku atau menyuruhku, dan aku dipanggil untuk menghadap Baginda, maka Baginda bersabda, “Apa yang anda katakan?” Maka aku pun mengulangi semula cerita yang aku sebutkan berkenaan keadaan suamiku, lalu Baginda bersabda, “Berdiamlah di rumahmu sehingga masa ‘iddahmu selesai.” Dia berkata, “Maka aku pun menjalani tempoh ‘iddah selama empat bulan sepuluh hari.” Dia berkata, “Ketika Uthman bin Affan telah mengutus seseorang kepadaku berkait dengan masalah ini, maka aku pun mengkhabarkan kepadanya, dan beliau pun mengikutinya, dan beliau memutuskan dengan hal itu.”

Riwayat Abu Daud (2300) dan al-Tirmizi (1204), kata beliau: “Ini adalah hadith hasan sahih.”

Menurut mereka, hadith Furai’ah di atas menunjukkan akan wajibnya berdiam di dalam rumahnya, dan kewajiban ini dibataskan dengan waktu dan berlalu dengan berlalunya waktu tersebut. Adapun haji atau umrah, maka boleh ditangguhkan pada waktu yang akan datang.

Terdapat sebuah kaedah, di mana ketika ada banyaknya kewajiban, maka hendaklah mendahulukan apa yang tidak mungkin ditangguh waktunya, daripada apa yang boleh ditangguh. Al-Qarafi berkata:

قَاعِدَةٌ: إِذَا تَزَاحَمَتِ الْوَاجِبَاتُ قُدِّمَ الْمُضَيَّقَ عَلَى الْمُوَسَّعِ، وَالْفَوْرِيِّ عَلَى التَّرَاخِي، وَالْأَعْيَانَ عَلَى الْكِفَايَةِ لِأَنَّ التَّضْيِيقَ فِي الْوَاجِبِ يَقْتَضِي اهْتِمَامَ الشَّرْعِ بِهِ وَكَذَلِكَ الْمَنْعُ مِنْ تَأْخِيرِهِ بِخِلَافِ مَا جُوِّزَ تَأْخِيرُهُ

Maksudnya: “Sebuah kaedah: Jika terdapat banyak kewajiban (yang mesti dikerjakan), maka didahulukan yang waktunya sempit daripada yang waktunya luas, didahulukan yang segera daripada yang anjal, didahulukan yang fardhu ‘ain daripada yang fardhu kifayah, kerana yang waktunya sempit memerlukan perhatian Syariat terhadapnya, demikian larangan daripada menundanya, berbeza dengan yang boleh ditunda.” (Lihat al-Zakhirah fi Furu’ al-Malikiyyah, 3/183)

Ibn Qudamah berkata:

 وَلَوْ كَانَتْ عَلَيْهَا حِجَّةُ الْإِسْلَامِ، فَمَاتَ زَوْجُهَا، لَزِمَتْهَا الْعِدَّةُ فِي مَنْزِلِهَا وَإِنْ فَاتَهَا الْحَجُّ؛ لِأَنَّ الْعِدَّةَ فِي الْمَنْزِلِ تَفُوتُ، وَلَا بَدَلَ لَهَا، وَالْحَجُّ يُمْكِنُ الْإِتْيَانُ بِهِ فِي غَيْرِ هَذَا الْعَامِ.

Maksudnya: “Sekiranya bagi wanita tersebut adalah haji Islam (haji pertama), lalu suaminya meninggal dunia, maka dia wajib menjalani ‘iddah di rumahnya, walaupun tertinggal untuk menunaikan ibadah haji, kerana masa ‘iddah di rumah berlalu dan tidak ada gantinya, sementara haji boleh dilakukan walaupun bukan pada tahun ini.” (Lihat al-Mughni, 11/305)

Perkara ini dikuatkan dengan apa yang diriwayatkan daripada Sa’id bin al-Musayyib, katanya:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ ، كَانَ يَرُدُّ الْمُتَوَفَّى عَنْهُنَّ أَزْوَاجُهُنَّ مِنَ الْبَيْدَاءِ ، يَمْنَعُهُنَّ الْحَجَّ

Maksudnya: “Bahawa ‘Umar bin al-Khattab R.A dahulu mengembalikan para wanita yang suaminya meninggal dunia dari Baida’, dan melarang mereka untuk mengerjakan ibadah haji.”

Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (2194)

Penutup

Isu seperti ini sudah dibahaskan beberapa kali dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan. Kesimpulannya, wanita dalam iddah hendaklah meneruskan iddahnya dan menangguhkan haji atau umrah kerana sifatnya tarakhi mengikut mazhab Syafi’i.

Malah, jika dalam isu haji sekalipun, pihak Tabung Haji boleh meluluskan permohonan wanita tersebut untuk beriddah terlebih dahulu dan akan diberi peluang pada tahun seterusnya. Inilah yang baik dan terpakai dalam isu yang sedang dihadapi oleh wanita yang beriddah dengan sebab kematian suaminya.

Justeru, kami katakan bahawa jalanilah iddah terlebih dahulu. Selepas selesai daripada iddah, barulah pergi bersama-sama menunaikan umrah ke tanah suci Makkah.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT sentiasa berikan kita kebaikan di dunia dan juga di akhirat:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *