Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Selepas melakukan tawaf wada, saya menunggu bas untuk bertolak keluar dr mekah di lobi hotel, masa tu saya terlupa tentang pantang larang jadi saya sempat merakam suasana mekah ketika itu. adakah saya perlu melaksanakan tawaf wada semula atau dikenakan dam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan nas daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ

Maksudnya: “Orang ramai diperintahkan menjadikan perkara terakhir mereka (ketika melakukan haji dan umrah) adalah dengan tawaf di Kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita berhaid.”

Riwayat al-Bukhari (1755) dan Muslim (3284)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: hadith ini mengandungi dalil tentang kewajipan Tawaf Wada’ kerana ada perintah yang dikuatkan dan kerana ungkapan adanya keringanan bagi wanita haid. (Lihat Fath al-Bari, 3/747)

Hadith di atas menunjukkan Tawaf Wada‘ hukumnya wajib dan ia dikecualikan bagi wanita yang sedang mengalami haid. Perintah wajib ini disebabkan ‘arahan perintah’ (فعل الأمر) dalam hadith ini bersifat ‘mutlak’, tiada qarinah menunjukkan ia hanya menunjukkan sunat atau harus. Kaedah menjelaskan (الأمر المطلق) menunjukkan wajib (الأمر المطلق يفيد الوجوب). (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 3/3 dan Syarh Zad al-Mustaqni‘, 13/127)

Perkara yang Boleh Dilakukan Selepas Tawaf Wada’

Berkenaan perkara-perkara yang boleh dilakukan selepas Tawaf Wada’, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-35 Musim Haji 1440H yang bersidang pada 9-11 November 2018 bersamaan 1-3 Rabi’ul Awwal 1440 Hijrah telah memutuskan berkenaan dengan Perkara-perkara Yang Diharuskan Selepas Tawaf Wada‘, iaitu:

Pertama: Sejurus Selepas Tawaf Wada‘

  • Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya di Masjidil Haram.
  • Berdoa di Multazam.
  • Mengucup Al-Hajar al-Aswad.
  • Menunaikan solat sunat safar.
  • Menunaikan solat fardhu sekiranya bilal telah melaungkan azan atau bilal sedang melaungkan azan.
  • Begitu juga apabila sudah sampai di hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram untuk beliau solat fardhu bersama imam di Masjidil Haram.
  • Bergambar atau mengambil gambar dalam kadar yang cepat. Walaupun begitu, tidak digalakkan.

 Kedua: Selepas Tawaf (di Penginapan atau Hotel)

  • Makan dan minum di hotel.
  • Qadha hajat.
  • Menyalin dan menukar pakaian.
  • Zikir dan membaca al-Quran sementara menunggu.
  • Mengambil beg atau barang yang diletakkan / ditinggalkan di bilik penginapan.
  • Mencari isteri, saudara, waris dan rakan yang hilang.
  • Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama.
  • Tidur dalam bilik hotel sementara menunggu bas atau kenderaan datang.
  • Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik (bagi kes kecemasan dan hajat).
  • Sebarang urusan yang berkaitan dengan perjalanan sama ada ke Jeddah atau Madinah seperti membeli makanan dan minuman untuk kegunaan dalam perjalanan dan sebagainya.
  • Menunggu kenderaan (lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya).
  • Bersedekah ketika menunggu kedatangan kenderaan di penginapan.
  • Membayar dam. Walaupun begitu, digalakkan untuk membayar sebelum Tawaf Wada‘.

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1714: Perkara yang boleh Dilakukan Selepas Tawaf Wada’[1]

#1117: Hukum Selfie Setelah Tawaf Wada’[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan ia tidaklah dikenakan dam. Hal ini kerana perbuatan tersebut dalam keadaan lupa. Hal ini berdasarkan nas:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”

Riwayat Ibn Majah (2043)

Semoga pencerahan ini dapat merungkai pelbagai isu berkaitan Tawaf Wada‘, apa yang boleh dan apa yang tidak dibolehkan.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah, semoga Allah jadikan amalan haji ini diterima oleh Allah SWT:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Wallahu a’lam.

[1] https://maktabahalbakri.com/1714-perkara-yang-boleh-dilakukan-selepas-tawaf-wada/

[2] https://maktabahalbakri.com/1117-hukum-selfie-setelah-tawaf-wada/

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *