Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan sedikit berkenaan haid. Saya di Makkah dan Madinah ini bergantung dengan hormon untuk menahan haid. Walaupun begitu, haid saya telah datang pada 23 Jun – 7 Julai (15 hari).  Semalam saya lupa untuk mengambil pil hormon, jadi pada hari ini saya lihat seperti ada keluaran darah semasa ingin solat Asar.

Jika dikira ikut kitaran haid, saya masih lagi dalam fasa suci sehingga 20 Julai (13 hari).

Oleh itu, saya ingin bertanyakan kepada ustaz tentang status saya buat masa ini:

  • (i) memandangkan saya sedang berpuasa, adakah puasa saya sah hari ini?
  • (ii) bolehkan saya keluar untuk berniat ihram umrah esok?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Haid dari segi istilah syarak ialah darah tabi’i yang keluar daripada pangkal rahim perempuan ketika badannya sihat dalam tempoh tertentu. (Lihat al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami, 1/118)

Firman Allah SWT :

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah : 222)

Antara keistimewaan kaum hawa adalah haid. Ia adalah kitaran normal bagi setiap perempuan apabila sudah mencapai umur akil baligh. Nabi SAW bersabda:

إِنَّ هَذَا شَىْءٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ

Maksudnya: “Ini (kitaran haid) adalah sesuatu yang telah Allah SWT tetapkan bagi anak cucu perempuan Adam.”

Riwayat Muslim (2976)

Pada asasnya, organ reproduktif wanita tidak seperti lelaki mengalami perubahan berkala setiap bulan, bagi persediaan kepada proses persenyawaan dan kehamilan. Haid ialah campuran darah bersama-sama bahan daripada lapisan dalaman rahim yang luruh apabila persenyawaan tidak berlaku. Kitaran haid adalah merujuk kepada perubahan berkala berlaku kepada rahim dan ovari bagi tujuan reproduktif (pembiakan). Bila haid berlaku secara berkala setiap bulan, ia dipanggil kitaran haid. Jangkamasa kitaran ini dikira dari hari pertama perdarahan haid hingga ke hari pertama haid yang akan datang. Jangkamasa kitaran haid wanita berbeza antara seorang wanita dengan seorang wanita yang lain diantara 25 – 35 hari, dimana puratanya adalah 28 hari. Biasanya tempoh perdarahan ini berlaku selama lebih kurang 2-8 hari. Kitaran haid ini dikawal oleh perubahan hormon yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari di otak dan juga ovari.[1]

Wanita yang mengalami haid diharamkan berpuasa dan diwajibkan menggantikan puasa fardu yang ditinggalkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh  Mu’azah al-‘Adawiyyah berkata:

سَأَلْتُ عَائِشَةَ فَقُلتُ: ما بَالُ الحَائِضِ تَقْضِي الصَّوْمَ، ولَا تَقْضِي الصَّلَاةَ. فَقالَتْ: أحَرُورِيَّةٌ أنْتِ؟ قُلتُ: لَسْتُ بحَرُورِيَّةٍ، ولَكِنِّي أسْأَلُ. قالَتْ: كانَ يُصِيبُنَا ذلكَ، فَنُؤْمَرُ بقَضَاءِ الصَّوْمِ، ولَا نُؤْمَرُ بقَضَاءِ الصَّلَاةِ.

Maksudnya: “Aku pernah bertanya kepada Aisyah R.Anha lantas aku berkata: Mengapakah wanita haid itu perlu menggantikan puasanya tetapi tidak menggantikan solatnya? Lantas Aisyah menjawab: Adakah kamu haruriyah (khawarij)? Aku berkata: Saya bukan seorang Haruriyah, tetapi saya hanya ingin bertanya. Kemudian Aisyah menjawab:  Kami telah didatangi haid dan kami diperintahkan untuk menggantikan puasa (yang ditinggalkan kerana haid) tetapi tidak diperintahkan ‏untuk menggantikan solat”.

Riwayat Muslim (335)

Bagi mereka yang datang haid, tidak dibenarkan untuk melakukan beberapa perkara yang biasa dilakukan ketika suci.  Perkara yang dilarang dilakukan ketika haid ialah :

  • Menunaikan solat sama ada solat fardu atau solat sunat
  • Tawaf
  • Memegang mushaf Al-Quran
  • Duduk di ruangan masjid
  • Membaca Al-Quran
  • Puasa
  • Melintasi masjid jika takut mengotorkan masjid
  • Bergaul bersama suami (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, hlm. 172-175)

Dalam mazhab al-Syafi’i, waktu minimum haid adalah sehari semalam. Inilah yang difatwakan oleh Imam al-Syafi’I dalam al-Umm dan dipegang oleh para ashab. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/376)

Menurut Syeikh Zakariyya al-Ansari, pengertian tempoh sehari semalam itu adalah 24 jam. Kata beliau dalam kitabnya, “Kadar siang dan malam itu adalah 24 jam.” (Lihat Manhaj al-Tullab, 1/99)

Hukum Makan Pil Penahan Haid

Pada asasnya, penggunaan pil pencegah haid bagi kaum perempuan adalah termasuk di dalam perkara-perkara keduniaan. Bahkan perkara tersebut membantu dan memudahkan lagi mereka dalam menyempurnakan beberapa ibadah seperti ibadah haji, umrah dan puasa. Dalam aspek hal-hal keduniaan, prinsip asasnya ialah hukum asal bagi sesuatu perkara itu adalah harus selagi mana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”  (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60)

Imam al-Buhuti berpendapat bahawa seorang perempuan boleh mengambil ubat-ubatan yang harus hukumnya bagi menghentikan haid selama mana ia selamat daripada sebarang kemudaratan. (Lihat Kasyaf al-Qina‘, 1/218)

Di samping itu, Ibn Hajar al-Haitami juga seolah-oleh memberi isyarat akan keharusan penggunaan ubat bagi perempuan untuk menahan haidnya, supaya dia dapat menyempurnakan ibadah hajinya dengan pergi melakukan tawaf ifadhah sekalipun darah haidnya kembali semula selepas musafir.  (Lihat Hasyiah Ibn Hajar al-Haitami ‘ala Syarh al-Idhah fi Manasik al-Haj, hlm. 387-388)

Bekas Mufti Besar Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz pernah ditanya mengenai penggunaan pil-pil pencegah haid bagi kaum perempuan, agar dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan. Beliau menjawab, tidak ada masalah (tidak mengapa) jika seseorang perempuan mengambil pil-pil bagi menahan haid mereka sehingga membolehkan mereka solat dan berpuasa bersama orang ramai — di bulan Ramadhan. Namun, dengan syarat perkara itu adalah selamat dan tidak memudaratkannya. Begitu juga, hal itu mestilah setelah berbincang dan mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan, serta mendapat persetujuan daripada pihak suami (yakni bagi yang sudah berkahwin), supaya ia tidak memudaratkan dirinya, mahupun menyebabkannya berdosa ke atas suaminya — jika suaminya tidak bersetuju.[2]

Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga pernah ditanya berkenaan perkara ini. Beliau berpendapat bahawa sebaik-baiknya wanita itu mengikut sifat kejadian semula jadinya. Haid adalah sesuatu yang tabi‘i dan tidak dapat dielakkan. Ia datang daripada Allah. Sekiranya wanita itu hendak memakan ubat bagi melewatkan haidnya agar ia tidak datang di dalam bulan Ramadan, hukumnya tidak mengapa, dengan syarat ubat itu tidak memudaratkan dirinya. Mereka boleh meminta nasihat daripada pakar, atau doktor mengenai ubat itu sehingga dapat dipastikan bahawa menelan pil-pil itu tidak memberikan sebarang mudarat. Apabila sudah dipastikan perkara tersebut dan mereka menelan pil itu. Lalu kedatangan haid mereka dapat dilewatkan dan membolehkan mereka untuk berpuasa — genap sebulan Ramadhan. Maka, puasa-puasa mereka itu akan diterima Allah, insya-Allah.[3]

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma bahawa beliau ditanya tentang wanita haid yang meminum ubat untuk menghentikan haidnya, sehingga dia dapat tawaf dan nafar, maka beliau mengizinkan.” (Lihat Fath al-Bari li Ibn Rejab, 2/81)

Walau bagaimanapun, sekiranya terbukti dari sudut perubatan bahawa penggunaan pil-pil seumpama ini akan memudaratkan penggunanya baik dari sudut jangka masa pendek atau panjang, maka hukumnya berubah daripada harus kepada haram. Hal ini adalah berdasarkan keumuman sabda Nabi SAW:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”

Riwayat Ibn Majah (2341)

Tempoh Haid Dan Tempoh Suci

Tempoh haid terbahagi kepada tiga bahagian iaitu minimum, maksimum dan kebiasaan. Tempoh minimum haid sehari semalam iaitu 24 jam, tempoh maksimum haid ialah 15 hari 15 malam dan kebiasaan haid adalah 6 atau 7 hari. Tempoh minimum suci antara dua haid ialah 15 hari,  maksimum suci antara dua haid ialah tiada had dan  tempoh suci kebiasaan haid ialah menyempurnakan baki sebulan selepas haid  iaitu 23 atau 24hari. (Lihat Raudah al-Talibin wa Umdatun Muftin, 1/134).

Perbezaan wanita Istihadah dan wanita yang menyempurnakan baki suci

Wanita istihadah ialah apabila darah keluar melepasi tempoh sebanyak-banyak haid (15 hari 15 malam) kemudian bersambung sehingga hari ke-16 atau dikenali wanita mustahadah yang darah haid bercampur istihadah. Apabila situasi ini berlaku, istihadah dapat ditentukan berdasarkan 7 kategori istihadah iaitu mubtadaah ghairu mumaiyizah, mubtadaah mumaiyizah, mu’taadah ghairu mumaiyizah mu’taadah mumaiyizah, mutahayyirah al-mutlaqahmutahayyirah al-dzakirah li-waqt al-nasiah li ‘adad  dan mutahayyirah al-dzakirah li ‘adad al-nasiah  li-waqt.

Wanita yang menyempurnakan baki suci apabila darah keluar semula selepas melepasi tempoh maksimum 15 hari  haid dan tidak bersambung dengan darah sebelumnya iaitu  hari ke 15 dan hari ke 16.  Setelah sempurna baki suci (minimum 15 hari) selebihnya adalah darah haid yang baru (Lihat Ibanah wa Ifadah, 25 )

Justeru, dapat kami nyatakan di sini tempoh maksimum haid adalah 15 hari 15 malam. Dalam situasi ini, sekiranya terdapatnya darah dalam tempoh minimum suci 15 hari, maka ia bukan dikira sebagai darah haid dan ia dikira sebagai darah istihadah.

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, kami katakan bahawa jika sekiranya haid itu berlaku dalam fatrah haid, maka darah itu dikira darah haid, dan sekiranya ia diluar fatrah haid dan dalam tempoh minimum 15 hari suci, maka ia dikira sebagai darah istihadah.

Terdapat perbezaan hukum bagi wanita yang mengalami darah istihadhah dengan mereka yang mengalami darah haid dan nifas. Hal ini kerana wanita yang mengalami istihadhah tidak terhalang untuk melakukan solat. Bahkan wajib ke atasnya untuk bersegera menunaikannya berdasarkan syarat-syarat yang telah digariskan oleh para ulama. Solat yang dilakukannya itu adalah sah dan tidak perlu diqadha’ semula. Begitu juga apabila tiba bulan Ramadhan, dia wajib berpuasa puasa. Selain itu, diharuskan juga bagi suaminya menyetubuhinya, walaupun ketika darah sedang keluar. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 170-171.)

Dalam erti kata lain, darah istihadhah yang keluar itu tidak menghalangnya untuk mengerjakan semua ibadah yang hendak dilakukan, sama ada ibadah tersebut memerlukannya untuk bersuci daripada hadas ataupun tidak. Ini bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa wanita yang sedang mengalami darah istihadhah hukumnya adalah seperti wanita yang suci dari sudut ibadah solat, puasa, iktikaf, membaca al-Quran dan lain-lain. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/372)

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami katakan bahawa tiada masalah untuk saudari meneruskan puasa dan juga berniat ihram sekiranya saudari sedang mengalami darah istihadhah hukumnya adalah sepertimana wanita yang suci.

Namun begitu, kami sarankan supaya saudari melakukan niat ihram bersyarat bagi mengelakkan sekiranya terdapatnya keuzuran syar’ie seperti haid yang menghalang seorang perempuan itu menyelesaikan umrahnya. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha :

دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى ضُبَاعَةَ بِنْتِ الزُّبَيْرِ، فَقَالَ لَهَا: أَرَدْتِ الْحَجَّ؟ فَقَالَتْ : وَاللَّهِ لاَ أَجِدُنِى إِلاَّ وَجِعَةً. فَقَالَ : حُجِّي وَاشْتَرِطِي، وَقَولِي : اللَّهُمَّ مَحِلِّى حَيْثُ حَبَسْتَنِي

Maksudnya: “Rasulullah SAW menemui Dhuba’ah binti al-Zubair. Baginda bertanya : Adakah engkau hendak mengerjakan haji? Jawab Dhuba’ah : Demi Allah, aku tiada masalah kecuali berasa sakit. Sabda Baginda : Berniatlah mengerjakan haji dengan bersyarat dan ucapkanlah : Ya Allah! Aku akan bertahallul sekiranya ada halangan atas kehendak-Mu.”

Riwayat al-Bukhari (5089) dan Muslim (1207)

Orang yang mengerjakan haji atau umrah boleh mengenakan syarat bahawa sekiranya dia jatuh sakit atau berlaku sesuatu seumpamanya dia akan bertahallul. Justeru, apabila sesuatu yang disyaratkan itu berlaku, haruslah baginya bertahallul. Bertahallul dalam keadaan ini perlu kepada niat dan bercukur, dan tidak dikenakan dam kecuali apabila seseorang itu mensyaratkan tahallul dengan dam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/176)

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff telah menyenaraikan beberapa contoh lafaz niat bersyarat bagi orang yang tersekat atau terhalang disebabkan oleh sakit dan lain-lain. Antaranya :

Seorang yang sedang niat berihram meletakkan syarat dengan mengatakan :

اللَّهُمَّ مَحِلِّى حَيْثُ حَبَسْتَنِي

Maksudnya: “Ya Allah, tempat tahallulku adalah di mana aku terhalang atas kehendakMu.”

Maka, telah gugur ke atasnya dam, dan dia hanya perlu bertahallul dengan hanya bercukur atau bergunting bersama niat sahaja. (Lihat al-Taqirat al-Sadidah, hlm. 511)

Oleh itu, perempuan yang kedatangan haid dan diyakini bahawa haidnya akan berakhir sebelum dia meninggalkan Mekah, maka dia tidak boleh bertahallul dan perlu menunggu sehingga haidnya berhenti. Kemudian, barulah melaksanakan rukun yang berbaki itu.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahua`lam.

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/fisiologi-kitaran-haid/. Diakses pada 14 April 2022.

[2] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/7776/حكماستعمالحبوبمنعالعادةالشهريةفيرمضانوغيره

[3] Lihat https://www.al-qaradawi.net/node/3752

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *