Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah seseorang yang melakukan sa‘ie perlu mengulangi pusingan sa‘ienya sekiranya dia terlupa pusingan sa‘ie tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ ‎‏

Maksudnya: “Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.”

Surah al-Baqarah (158)

Kami takrifkan terlebih dahulu definisi sa‘ie. Sa‘ie dari segi bahasa bermaksud usaha atau bekerja. Ia juga boleh diertikan sebagai mempercepatkan berjalan tanpa berlari. Seterusnya, bersa‘ie antara Safa dan Marwah pula merujuk kepada perbuatan tawaf antara keduanya sebanyak tujuh kali (pusingan). (Lihat Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, hlm. 244).

Begitu juga menurut Sa‘di Abu Jaib, sa‘ie bermaksud berjalan dengan cepat. Ia juga merujuk kepada perbuatan berjalan (tawaf) di antara Safa dan Marwah. (Lihat al-Qamus al-Fiqhi, hlm. 173). Secara ringkasnya, dari segi istilahnya ia merujuk kepada perbuatan berjalan antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali pergi dan balik selepas tawaf haji dan umrah. (Lihat al-Muhazzab, 2/769).

Seterusnya, amalan sa‘ie ini hukumnya adalah wajib mengikut pendapat ulama mazhab Hanafi. Sedangkan ia adalah rukun mengikut pendapat jumhur ulama termasuklah ulama mazhab Syafi‘i. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 3/180).

Kemudian,  Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kewajipan sa‘ie ada empat perkara. Salah satunya adalah menyempurnakan sebanyak tujuh pusingan. Dikira pergi dari Safa sekali pusingan, dan kembali dari Marwah sekali pusingan. Inilah mazhab yang sahih yang telah diputuskan oleh jumhur ulama dalam kalangan Syafi‘iyyah dan selain mereka. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 195-199).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, seseorang yang terlupa atau ragu-ragu terhadap bilangan sa‘ienya hendaklah mengulanginya semula. Caranya adalah dengan mengambil bilangan yang paling sedikit yang diyakini, kemudian dia hendaklah mencukupkan bilangan pusingan yang berbaki sehingga sempurna sebanyak tujuh kali pusingan.

Ini adalah sebagaimana situasi seseorang yang terlupa bilangan rakaat dalam solat, maka Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلَاتِهِ، فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى ثَلَاثًا أَمْ أَرْبَعًا، فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ

Maksudnya: “Sekiranya salah seorang di antara kalian yang ragu-ragu di dalam solatnya, dia tidak tahu bilangan rakaatnya, apakah sudah tiga atau empat. Maka buanglah keraguan itu, dan binalah (ambilah) apa yang pasti (iaitu yang sedikit).

Riwayat Muslim (571)

Imam al-Nawawi menyebutkan, sesiapa yang telah syak pada bilangan tawaf atau sa‘ienya, wajib ke atas dia mengambil bilangan yang paling sedikit sekalipun dia cenderung pada bilangan yang banyak (dalam sangkaannya), tetap wajib ke atasnya mengambil bilangan yang sedikit yang diyakini sebagaimana di dalam bab solat yang lepas (iaitu syak pada bilangan rakaat). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/21).

Hal ini kerana bilangan yang paling sedikit itu diyakini, sedangkan bilangan yang paling banyak itu terdapat keraguan padanya. Jadi, diambil bilangan yang paling sedikit itu, lalu dicukupkan bilangan pusingan yang berbaki sehingga sempurna tujuh pusingan. Hal ini bertepatan dengan kaedah yang diambil daripada riwayat Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.”

Riwayat al-Tirmizi (2708)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan.” (Lihat Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 61).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *