Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seseorang memasuki Makkah tanpa berihram dengan niat bercuti sebagai pelancong, kemudian selepas memasuki hotel dan solat Subuh barulah dia keluar ke Tan‘im untuk berihram umrah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, berihram atau berniat memulakan ibadah haji atau umrah merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun haji dan umrah. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/378.). Manakala berniat ihram di miqat pula termasuk dalam perkara-perkara wajib haji dan umrah. Dalam erti kata lain, seseorang yang ingin mengerjakan ibadah haji atau umrah wajib berniat ihram di miqat atau sebelum melepasi sempadan miqat tersebut kerana ia merupakan tempat yang telah ditentukan untuk berihram — yakni berniat memulakan haji atau umrah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 488). Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat Abdullah bin Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

وَقَّتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَهْلِ الـمَدِينَةِ ذَا الحُلَيْفَةِ، وَلِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، وَلِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ الـمَنَازِلِ، وَلِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، فَهُنَّ لَهُنَّ، وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِ أَهْلِهِنَّ لِمَنْ كَانَ يُرِيدُ الحَجَّ وَالعُمْرَةَ.

Maksudnya:Rasulullah SAW menentukan miqat untuk penduduk Madinah ialah Zulhulaifah (atau dikenali juga sebagai Bir Ali), untuk penduduk Syam ialah Juhfah, untuk penduduk Najd ialah Qarn al-Manazil dan untuk penduduk Yaman ialah Yalamlam. Tempat-tempat ini merupakan miqat bagi penduduk negerinya dan orang-orang selain mereka yang berada di tempat itu, bagi sesiapa sahaja yang berniat melaksanakan haji dan umrah.

Riwayat al-Bukhari (1526)

Sehubungan dengan itu, sekiranya seseorang itu melepasi sempadan miqat tanpa berniat ihram, sedangkan dia ingin mengerjakan haji atau umrah, maka dikenakan ke atasnya dam. Akan tetapi dam tersebut boleh tergugur dengan syarat dia kembali semula (dengan segera) ke miqat yang dilepasinya sebelum melakukan apa-apa perbuatan haji atau umrah seperti tawaf dan lain-lain. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 491).

Sementara mereka yang ingin mengerjakan umrah semasa berada di Makkah sama ada mereka penduduk Makkah atau orang asing, mereka wajib keluar dari Tanah haram untuk berihram umrah ke Tanah halal yang terdekat walaupun selangkah. Namun, jika berihram di Makkah, umrahnya tetap sah, tetapi wajib membayar dam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/131). Hal ini adalah sebagaimana riwayat Aisyah R.Anha, beliau berkata :

يا رَسولَ اللَّهِ، اعْتَمَرْتُمْ ولَمْ أعْتَمِرْ، فَقالَ : يا عَبْدَ الرَّحْمَنِ، اذْهَبْ بأُخْتِكَ، فأعْمِرْها مِنَ التَّنْعِيمِ، فأحْقَبَها على ناقَةٍ فاعْتَمَرَتْ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, kamu semua sudah menunaikan umrah sedangkan aku masih belum. Kemudian baginda bersabda : ‘Wahai Abdurrahman, pergilah bersama saudaramu ini dan mulakanlah umrah dari Tan‘im.’ Maka, ‘Abd al-Rahman menaikkan Aisyah ke atas untanya, kemudian Aisyah melaksanakan umrah.

Riwayat al-Bukhari (1518) dan Muslim (1211)

Meninggalkan berniat ihram di miqat yang telah ditentukan termasuk dalam perkara meninggalkan wajib haji atau umrah. Maka seseorang yang meninggalkan wajib haji atau umrah hendaklah membayar dam mengikut urutan dan dan kadarnya ditetapkan (مرتب مقدر). Seseorang yang meninggalkan satu daripada wajib haji, dia wajib menyembelih seekor kambing yang layak untuk korban atau sama ada 1/7 lembu, atau unta.

Jika kesemuanya tidak didapati, dia wajib menggantikannya dengan berpuasa selama 10 hari, iaitu semasa haji dan tujuh hari setelah di tanah air. Termasuk dalam bahagian dam ini ialah dam haji Tamattu‘ dan dam kerana meninggalkan wuquf yang dilaksanakan selepas tahallul umrah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/164).

Keduanya, berkenaan permasalahan memasuki Tanah Haram Makkah bagi penduduk luar, mesti dalam keadaan berihram ataupun tidak.[1] Berhubung dengan perkara ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa sesiapa yang datang bukan daripada kalangan  penduduk Tanah Haram Makkah hendaklah tidak memasuki Kota Makkah kecuali dalam keadaan berihram sama ada dengan ihram haji atau umrah. Adakah wajib baginya perkara itu atau disunatkan?

Mengenai hal ini, terdapatnya perselisihan pendapat yang masyhur dalam ulama kepada tiga pendapat. Pendapat yang paling sahih menyatakan hukumnya adalah disunatkan. Pendapat yang kedua pula menyatakan hukumnya adalah wajib. Manakala pendapat yang ketiga menyatakan jika dia ialah orang yang kerap kali masuk seperti pencari kayu api, pemberi minum air, pemburu dan seumpamanya, maka hukumnya tidak wajib. Namun, jika dia termasuk dalam kalangan orang yang tidak kerap kali masuk seperti peniaga, penziarah, utusan dan penduduk Makkah sendiri apabila pulang daripada permusafirannya,  maka hukumnya adalah wajib. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al- ‘Umrah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 144).

Ibn Hajar al-Haitami dalam hasyiahnya terhadap kitab ini menyatakan, lafaz “أَصَحُّهُمَا أَنَّهُ مُسْتَحَبٌّ” (iaitu pendapat yang paling sahih ialah mustahab — disunatkan) bermaksud makruh meninggalkannya dan disunatkan baginya untuk membayar dam pada apa yang zahir sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf sesiapa yang mewajibkannya. Begitu juga tidak ada beza berkenaan sunat berihram sama ada seseorang itu menuju Makkah atau Tanah Haram.

Sesuai dengan alasan mereka bahawa ia adalah sunat berdasarkan qiyas ke atas tahiyyatul masjid kerana orang yang masuk itu memperoleh sunnah berihram selepas dia masuk. Sehubungan dengan itu, adakah dia tidak mendapat pahala sunat tersebut disebabkan dia telah duduk atau dengan sebab tempoh masa yang lama? Namun, berdasarkan kepada kalam penulis, lebih cenderung kepada pendapat yang lemah bahawa dia terlepas daripada mendapat pahala sunat tersebut sebaik sahajadia memasukinya dan bukan selepas suatu tempoh yang lama. Oleh itu, hal ini menyerupai tahiyyatul masjid dari segi setiap perbuatan yang menunjukkan kepada penghormatan dan pengagungan. (Lihat Hasyiah al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami ‘ala Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj, hlm. 219-220).

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, berkenaan seseorang yang memasuki Makkah tetapi tidak terus ingin melakukan umrah, sebaliknya dia akan melakukan umrah selepas beberapa di sana misalnya. Oleh itu, dia tidak melakukan niat ihram di miqat yang sepatutnya dia berniat ihram tetapi dia akan berniat ihram di Tan‘im atau tanah halal yang lain. Sebenarnya cara sebegini tidak dibenarkan dan pelakunya dikira melakukan dosa dan dikenakan dam — iaitu seekor kambing kerana telah meninggalkan wajib umrah.

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Haitami bahawa sekiranya seseorang ketika di miqat dalam keadaan berniat untuk melaksanakan manasik (umrah atau haji), sama ada segera atau masa akan datang, maka dia wajib berniat ihram di miqat itu dengan manasik tersebut (jika dia mampu) atau yang setara dengannya (miqat tersebut jika dia tidak mampu untuk pergi ke miqat yang sepatutnya). Sekiranya tidak, dia dikira berdosa dan wajib ke atasnya dam berdasarkan syaratnya (jika dia tidak kembali sebelum melakukan apa-apa manasik (umrah atau haji tersebut). (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/123; Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 4/46).

Walau bagaimanapun jika seseorang itu menuju ke Makkah dan langsung tidak berniat untuk melakukan umrah, misalnya bagi tujuan perniagaan, bermesyuarat, mutawif yang bertanggungjawab menguruskan jemaah dan seumpamanya, maka dia tidak wajib berniat ihram di miqat yang sepatutnya dan tidak dikenakan dam. Perkara ini turut disebutkan oleh Ibn Hajar al-Haitami bahawa sekiranya seseorang  ketika di miqat, dia berniat untuk pulang ke negaranya (tanah airnya) atau urusan-urusan yang lain (selain umrah atau haji) dan tidak terlintas langsung pada fikirannya menuju ke Makkah bagi tujuan melakukan manasih (haji atau umrah), maka tidak wajib ke atasnya berniat ihram di miqat. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/123; Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 4/46).

Adapun jika kemudiannya barulah dia terlintas untuk melakukan umrah setelah selesai urusannya itu atau setelah tiba di Makkah barulah dia berubah fikiran, maka dalam situasinya itu, dia hendaklah berniat ihram di Tan‘im atau mana-mana tanah halal sebagaimana miqat umrah bagi penduduk Makkah.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami simpulkan pendapat kami kepada beberapa poin sebagaimana berikut:

  • Jika seseorang itu sememangnya menuju ke Makkah bagi melakukan umrah, sama ada umrah itu dilakukan secara segera ataupun tidak, maka dia wajib berniat di miqat yang sepatutnya (yang dilaluinya) atau miqat yang setara dengannya jika dia tidak mampu untuk kembali semula ke miqat tersebut. Perbuatan secara sengaja meninggalkan untuk berniat ihram bagi tujuan melakukan ibadah umrah di miqat yang sepatutnya (sebagai bukan penduduk Makkah) lalu berniat ihram di Tan‘im atau tanah halal lain sebagaimana penduduk Makkah adalah tidak dibenarkan oleh syarak serta pelakunya dikira berdosa dan dikenakan dam. Akan tetapi ibadah umrah yang dilakukannya itu dikira sah.
  • Jika seseorang itu menuju ke Makkah bagi tujuan selain umrah seperti perniagaan, mesyuarat dan seumpamanya, dan tidak terlintas langsung dalam fikirannya untuk melakukan umrah, maka dia tidak diwajibkan berniat ihram di miqat yang sepatutnya (yang dilaluinya). Namun, sebahagian pendapat menyatakan, makruh untuk dia meninggalkannya (perbuatan berihram itu) dan disunatkan baginya untuk membayar dam sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf sesiapa yang mewajibkannya.
  • Begitu juga jika seseorang itu pada asalnya langsung tidak berniat untuk melakukan umrah tetapi perginya ke Makkah itu bagi urusan-urusan lain. Akan tetapi kemudiannya barulah dia terlintas untuk melakukan umrah setelah selesai urusannya itu atau setelah tiba di Makkah barulah dia berubah fikiran, maka dalam situasi itu, dia hendaklah berniat ihram di Tan‘im atau mana-mana tanah halal sebagaimana miqat umrah bagi penduduk Makkah.

Kemudian, berkenaan perbuatannya memasuki Makkah dengan niat bercuti atau melancong, kami katakan bahawa selagi mana niatnya itu benar dan langsung tidak terlintas dalam dirinya untuk melakukan umrah sehinggalah setibanya di Makkah barulah terlintas untuk melakukannya, maka dia boleh memasukinya tanpa berihram sebagaimana penjelasan kami sebelum ini. Ini kerana soal niat itu tempatnya di dalam hati dan hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui niat sebenarnya. Sekalipun begitu, sebaik-baiknya bahkan disunatkan baginya untuk membayar dam sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf.

Kami juga mengambil kesempatan di sini mengingatkan bahawa jika dapat dielakkan dan dijauhi perkara/perbuatan seperti ini adalah jauh lebih baik dan lebih menenangkan jiwa. Apatah lagi tidak dapat tergambar atau hampir mustahil ketiadaan niat umrah tersebut sedangkan sesiapa yang menuju ke Makkah atau mengambil pakej umrah pasti ada terlintas dalam niatnya untuk melakukan umrah, melainkan mereka yang sememangnya kerap kali berkunjung ke sana atas urusan perniagaan dan seumpamanya. Bahkan, dikhuatiri hal ini termasuk dalam perbuatan mempermainkan agama dan helah yang dilarang dalam agama, di samping menipu dirinya sendiri.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

[1] Berkemungkinan yang dimaksudkan di sini ialah seseorang yang ingin memasuki Makkah bukan bagi tujuan melakukan umrah.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *