Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah di sana terdapatnya miqat makani yang paling baik (dari segi keutamaan dan afdhal) bagi mengerjakan umrah buat penduduk Makkah dan sesiapa yang bermukim di sana? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, berihram atau berniat memulakan ibadah haji atau umrah merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun haji dan umrah. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/378.). Manakala berniat ihram di miqat pula termasuk dalam perkara-perkara wajib haji dan umrah. Dalam erti kata lain, seseorang yang ingin mengerjakan ibadah haji atau umrah wajib berniat ihram di miqat atau sebelum melepasi sempadan miqat tersebut kerana ia merupakan tempat yang telah ditentukan untuk berihram — yakni berniat memulakan haji atau umrah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 488).

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat D=daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

أنَّ النبيَّ ﷺ وقَّتَ لأهْلِ المَدِينَةِ ذا الحُلَيْفَةِ، ولِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، ولِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ المَنازِلِ، ولِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، هُنَّ لأهْلِهِنَّ، ولِكُلِّ آتٍ أتى عليهنَّ مِن غيرِهِمْ مِمَّنْ أرادَ الحَجَّ والعُمْرَةَ، فمَن كانَ دُونَ ذلكَ، فَمِنْ حَيْثُ أنْشَأَ، حتّى أهْلُ مَكَّةَ مِن مَكَّةَ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW menetapkan Zulhulaifah sebagai miqat bagi penduduk Madinah, Juhfah bagi penduduk Syam, Qarn al-Manazil bagi penduduk Najad, Yalamlam bagi penduduk Yaman, miqat-miqat ini adalah untuk penduduknya dan penduduk negeri yang lain yang melaluinya untuk mengerjakan haji dan umrah. Sesiapa yang tinggal di kawasan selepas miqat tersebut, berihramlah di tempat dia memulakan perjalanannya, sebagaimana penduduk Makkah berihram di Makkah itu sendiri.”

Riwayat al-Bukhari (1530)

Kesemua miqat tersebut ialah miqat bagi mereka yang mengerjakan haji dan umrah, yang datang dari luar Makkah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/131).

Manakala mereka yang ingin mengerjakan umrah semasa berada di Makkah sama ada mereka penduduk Makkah atau orang asing, mereka wajib keluar dari Tanah Haram untuk berihram umrah ke Tanah Halal yang terdekat walaupun selangkah. Namun, jika berihram di Makkah, umrahnya tetap sah, tetapi wajib membayar dam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/131). Hal ini adalah sebagaimana riwayat Aisyah R.Anha, beliau berkata :

يا رَسولَ اللَّهِ، اعْتَمَرْتُمْ ولَمْ أعْتَمِرْ، فَقالَ : يا عَبْدَ الرَّحْمَنِ، اذْهَبْ بأُخْتِكَ، فأعْمِرْها مِنَ التَّنْعِيمِ، فأحْقَبَها على ناقَةٍ فاعْتَمَرَتْ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, kamu semua sudah menunaikan umrah sedangkan aku masih belum. Kemudian baginda bersabda : ‘Wahai Abdurrahman, pergilah bersama saudaramu ini dan mulakanlah umrah dari Tan‘im.’ Maka, ‘Abd al-Rahman menaikkan Aisyah ke atas untanya, kemudian Aisyah melaksanakan umrah.

Riwayat al-Bukhari (1518) dan Muslim (1211)

Tambahan pula Imam al-Nawawi turut menyatakan, sesiapa yang sedang berada di Makkah dan berkeinginan mengerjakan ibadah umrah, maka miqatnya ialah Tanah Halal yang paling dekat. Tidak boleh untuk dia berniat ihram umrah dari Tanah Haram. Sekiranya dia menyalahinya iaitu tetap berniat ihram umrah dari Tanah Haram, kemudian dia keluar ke Tanah Halal sebelum melakukan tawaf, umrahnya tetap diterima dan tidak dikenakan dam ke atasnya. Akan tetapi, sekiranya dia tidak keluar ke Tanah Halal tetapi terus melakukan tawaf, sa‘ie dan bercukur. Terdapat dua pendapat dalam isu ini dan pendapat yang paling sahih, umrahnya dikira sah tetapi dia dikenakan dam.  (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/151).

Begitu juga Ibn Qudamah turut menyebutkan, sekiranya penduduk Makkah atau sesiapa yang sedang berada di Makkah mahu mengerjakan ibadah umrah, hendaklah memulakannya — iaitu berniat ihram umrah — dari Tanah Halal dan sekiranya mahu mengerjakan ibadah haji, niat ihramnya adalah dari Makkah — iaitu di dalam Tanah Haram. Tidak kira sama ada mereka bermukim di Makkah ataupun bukan. Ini kerana sesiapa yang melalui miqat tersebut dikira sebagai tempat miqat baginya, dan kami tidak mengetahui adanya perselisihan ulama mengenai perkara ini. (Lihat al-Mughni, 3/246).

Dalam menjawab soalan di atas, iaitu berkenaan keutamaan antara Tanah Halal dan miqat umrah bagi penduduk Makkah, tidak dinafikan terdapat khilaf dalam kalangan ulama. Cukuplah kami nukilkan sebahagian ulama yang menyebutkan mengenai keutamaan di antara Tanah Halal tersebut. Di antaranya, dinukilkan daripada Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff di mana beliau menyatakan dalam kitabnya bahawa miqat berihram umrah bagi penduduk Makkah dan sesiapa yang sedang berada di Makkah ialah Tanah Halal yang paling dekat tanpa mengambil kira dari arah mana pun. Tempat miqat yang paling baik (afdhal) ialah dari Ji‘ranah. Kemudian, Tan‘im dan barulah Hudaibiyah. Hal ini kerana Ji‘ranah ialah tempat Nabi SAW pernah berniat ihram umrah darinya. Manakala Tan‘im ialah tempat miqat yang Nabi SAW perintah Aisyah R.Anha untuk berniat ihram darinya dan Hudaibiyah ialah tempat yang Baginda SAW berkehendak untuk berniat ihram darinya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 490)

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa tempat berniat ihram untuk mengerjakan ibadah umrah bagi penduduk Makkah dan sesiapa yang sedang berada atau bermukim di sana adalah dari Tanah Halal Makkah yang paling dekat dengannya, walau dari arah mana sekalipun. Oleh itu, jika dia berniat ihram bagi mengerjakan umrah dari mana-mana Tanah Halal, maka umrahnya dikira sah dan memadai.

Manakala berkenaan Tanah Halal yang menjadi tempat miqat yang paling baik dan afdhal untuk berniat ihram umrah (mengikut keutamaan) ialah dari Ji‘ranah, kemudian Tan‘im, kemudian Hudaibiyah dan akhir sekali barulah dari mana-mana Tanah Halal selain tiga tempat yang telah disebutkan di awal tadi.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُورَةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *