Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Jeddah sebagai miqat? Ini kerana kami dapati ramai di kalangan jemaah yang mula pakai ihram di lapangan terbang Jeddah.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah;

(Surah al-Baqarah: 196)

 Di dalam sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

«إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَّتَ لِأَهْلِ المَدِينَةِ ذَا الحُلَيْفَةِ، وَلِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، وَلِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ المَنَازِلِ، وَلِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، هُنَّ لَهُنَّ، وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِهِنَّ مِمَّنْ أَرَادَ الحَجَّ وَالعُمْرَةَ، وَمَنْ كَانَ دُونَ ذَلِكَ، فَمِنْ حَيْثُ أَنْشَأَ حَتَّى أَهْلُ مَكَّةَ مِنْ مَكَّةَ»

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW telah menentukan batasan tempat (miqat) bagi penduduk Madinah adalah Zulhulaifah, bagi penduduk Syam adalah Juhfah, bagi penduduk Najd adalah Qarn al-Manazil, dan bagi penduduk Yaman adalah Yalamlam. Tempat-tempat itu bagi mereka dan bagi orang-orang yang mendatanginya dari selain tempat-tempat itu, iaitu orang yang ingin mengerjakan haji atau umrah. Adapun selain yang sudah disebutkan, maka dari tempat di mana dia memulakan hingga penduduk Makkah dari Makkah.”

Riwayat al-Bukhari (1524) dan Muslim (1181)

Qarar Hai’ah Kibar al-’Ulama’ (no. 73) menyebut: “Setelah merujuk kepada beberapa dalil dan apa yang disebutkan oleh orang yang ahli dalam masalah miqat makani dan setelah membahaskan tema tersebut dari semua sudut, maka Majlis secara sepakat memutuskan:

  • Fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh Abdullah bin Zaid Alu Mahmud yang membolehkan dijadikan Jeddah sebagai miqat bagi para penumpang kapal terbang dan kapal laut adalah fatwa yang batil kerana tidak berdasarkan kepada nas al-Quran, Sunnah Rasul atau ijma’ salaf al-ummah, dan tidak ada salah seorang pun ulama’ Islam terdahulu yang memperhitungkan pendapat mereka.
  • Bagi orang yang melewati salah satu miqat atau sejajar dengan salah satu miqat dari udara atau laut, tidak boleh melewatinya tanpa berihram, sebagaimana yang disebutkan oleh beberapa dalil dan ketetapan para ahli Rahimahumullahu Ta’ala.

(Lihat juga Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/55)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

 

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *