Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Berkenaan orang yang masuk ke Makkah bukan tujuan haji, adakah dia juga wajib berihram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”

(Surah  Ali Imran: 97)

Dalam masalah ini, imam mazhab yang tiga, iaitu Abu Hanifah, Malik dan Ahmad berpendapat: “Wajib berihram bagi setiap orang yang sengaja datang ke Makkah, sama ada untuk tujuan beribadah ataupun tidak.”

Mereka berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

 لَا يَدْخُلُ أَحَدٌ مَكَّةَ إِلَّا مُحْرِمًا

 Maksudnya: “Seseorang tidak memasuki Makkah kecuali dia berihram.”

Riwayat al-Baihaqi (10124), al-Tahawi dalam Syarh Ma’ani al-Athar (4172). Ibn Hajar berkata: “Sanadnya bagus.”

Manakala Imam al-Syafi’i berpendapat bahawa tidak wajib berihram bagi orang yang tidak ingin melakukan haji atau umrah. Ini juga adalah mazhab Zahiriyyah dan didukung oleh Ibn Hazm dalam al-Muhalla. Ia juga merupakan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad dan dipilih oleh Ibn ‘Aqil dan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Dikatakan dalam al-Furu’: “Riwayat itu jelas.”

 Di dalam sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

«إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَّتَ لِأَهْلِ المَدِينَةِ ذَا الحُلَيْفَةِ، وَلِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، وَلِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ المَنَازِلِ، وَلِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، هُنَّ لَهُنَّ، وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِهِنَّ مِمَّنْ أَرَادَ الحَجَّ وَالعُمْرَةَ، وَمَنْ كَانَ دُونَ ذَلِكَ، فَمِنْ حَيْثُ أَنْشَأَ حَتَّى أَهْلُ مَكَّةَ مِنْ مَكَّةَ»

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW telah menentukan batasan tempat (miqat) bagi penduduk Madinah adalah Zulhulaifah, bagi penduduk Syam adalah Juhfah, bagi penduduk Najd adalah Qarn al-Manazil, dan bagi penduduk Yaman adalah Yalamlam. Tempat-tempat itu bagi mereka dan bagi orang-orang yang mendatanginya dari selain tempat-tempat itu, iaitu orang yang ingin mengerjakan haji atau umrah. Adapun selain yang sudah disebutkan, maka dari tempat di mana dia memulakan hingga penduduk Makkah dari Makkah.”

Riwayat al-Bukhari (1524) dan Muslim (1181)

Mereka berasaskan kepada wajah istidlal pada sabda Nabi SAW dalam hadith bab ini:

 مِمَّنْ أَرَادَ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ

Maksudnya: “Dari orang yang ingin mengerjakan haji atau umrah.”

Riwayat al-Bukhari (1524) dan Muslim (1181)

Pengertiannya adalah bahawa orang yang tidak ingin melakukan ibadah, tidak wajib baginya berihram. Tetapi para ulama yang mewajibkan berihram mensyaratkan wajib, kecuali bagi mereka yang berulang-alik ke al-Haram secara terus-menerus seperti tukang pos, penunggang keldai dan yang menyerupainya. Para ulama’ tidak mewajibkan mereka untuk berihram. Inilah yang banyak dilakukan. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/55-56)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *