Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah Nusuk yang paling afdhal bagi haji?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”

(Surah  Ali Imran: 97)

Menjawab persoalan di atas, Imam Ahmad berkata: “Tidak diragukan lagi bahawa Nabi SAW mengerjakan haji dengan cara Qiran. Dan Tamattu’ lebih aku sukai kerana ia merupakan hal terakhir daripada dua perintah Rasulullah SAW. Baginda bersabda:

 لَوِ اسْتَقْبَلْتُ مِنْ أَمْرِي مَا اسْتَدْبَرْتُ لَمَا سُقْتُ الْهَدْىَ‏،  وَلَأَحْلَلْتُ مَعَكُمْ

Maksudnya: “Seandainya aku mengetahui terlebih dahulu tentang urusanku yang telah aku ketahui kemudian, nescaya aku tidak akan membawa haiwan sembelihan bersamaku, dan pasti aku akan bertahallul bersama kamu semua.”

Riwayat al-Bukhari (7229), Muslim (1211), Abu Daud (1784) dan Ahmad (25425) dengan perbezaan lafaz. Hadith ini mengikut lafaz Abu Daud.

Hal itu merupakan hal yang patut disayangi untuk ditinggalkan dan merupakan perintah kepada para sahabatnya untuk dilakukan.”

Antara yang memilih pendapat tersebut ialah Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, Ibn Zubair, Aisyah, Hasan, Ata’, Tawus dan Mujahid. Pendapat itu merupakan salah satu daripada pendapat Imam al-Syafi’i.

Al-Thauri dan para Ahli Ra’yi memilih haji dengan cara Qiran berdasarkan riwayat daripada Anas R.A:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَهَلَّ بِهِمَا جَمِيعًا

Maksudnya: “Aku mendengar Rasulullah SAW mengerjakan keduanya (haji dan umrah) bersamaan.”

Riwayat al-Bukhari (4353) dan Muslim (1251)

Dan Allah tidaklah sekali-kali memilih untuk Nabi-Nya kecuali ibadah yang paling utama.

Imam Malik dan dalam pendapat yang masyhur daripada Imam al-Syafi’i menyebut: “Bahawa Ifrad itu lebih utama.” (Lihat al-Tamhid, 13/98; al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 4/66;

Dalil mereka ialah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْرَدَ بِالْحَجِّ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW mengerjakan haji dengan cara ifrad.”

Riwayat Muslim (1211), Abu Daud (1777) dan Ibn Hibban (3934)

Begitu juga hadith lain daripada Aisyah R.Anha, katanya:

خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ الله -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- عَامَ حَجَّةِ الوَدَاعِ، فَمِنَّا مَنْ أَهلَّ بِعُمْرَةٍ، وَمِنَّا مَنْ أَهلَّ بِحَجٍّ وَعُمْرَةٍ، وَمِنَّا مَنْ أَهلَّ بِحَجٍّ، وأَهلَّ رَسُولُ الله -صلى الله عليه وسلم- بالحَجِّ

Maksudnya: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW pada tahun Haji Wada’. Antara kami, ada yang melaksanakan umrah terlebih dahulu, ada yang melaksanakan haji dan umrah secara beriringan, dan ada yang hanya melaksanakan haji. Rasulullah SAW melaksanakan haji sahaja.”

Riwayat al-Bukhari (1562) dan Muslim (1211)

Telah dijelaskan bahawa makna Ifrad adalah Qiran kerana perbuatan-perbuatan umrah termasuk dalam perbuatan haji dan bentuk ibadah haji adalah Ifrad.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim berkata: “Tamattu’ itu lebih utama bagi orang yang tidak membawa korban dan Qiran lebih utama bagi orang yang membawa korban; dengan menggabungkan antara beberapa dalil. Ini merupakan riwayat daripada Imam Ahmad.”

Ibn al-Qayyim berkata: “Inilah cara yang sesuai dengan dasar-dasar hukum mengikut Imam Ahmad.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 2/175)

Syeikh berkata di tempat yang lain: “Merupakan suatu ketetapan bahawa cara berhaji itu adalah pelbagai sesuai dengan perbezaan keadaan orang yang mengerjakannya. Jika dia melakukan perjalanan untuk umrah dan perjalanan yang lain untuk haji, atau melakukan perjalanan ke Makkah sebelum bulan-bulan haji, dia melakukan umrah dan tinggal di sana, maka cara Ifrad lebih utama baginya sesuai dengan kesepakatan para imam.

Adapun jika dia menggabungkan antara umrah dan haji dalam satu perjalanan dan dia datang ke Makkah dalam bulan-bulan haji, dan dia membawa korban, maka cara Qiran lebih utama baginya.

Jika dia tidak membawa Korban, maka bertahallul dari ihramnya dengan mengerjakan umrah itu lebih utama.” (Lihat Manasik al-Hajj, hlm. 23-25; Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/60)

Paling penting bagi kita semua untuk memperolehi haji yang mabrur kerana balasannya adalah syurga. Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *