Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum mengangkat suara ketika bertalbiah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

(Surah al-Hajj: 27)

Talbiah merupakan satu ucapan yang menandakan kehadiran para Jemaah Haji yang dilafazkan oleh setiap jemaah haji. Ucapan ini dilaungkan setelah berihram ketika berada di tanah suci. Maksud yang dikehendaki dari laungan talbiah ini ialah menyahut seruan Allah SWT, pembuka ucapan dan pengakuan atau ikrar, iltizam serta komitmen perjanjian dan kata-kata langsung atau berdialog dengan Allah SWT.

Lafaz talbiah adalah seperti berikut:

لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ

Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”

Hal ini bersandarkan hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ

Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”

Riwayat Muslim (1184)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Khallad bin al-Sa’ib, daripada bapanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَتَانِي جِبْرِيْلُ، فَأَمَرَنِي أَنْ آمُرَ أَصْحَابِي أَنْ يَرْفَعُوا أَصْوَاتَهُمْ بِالإِهْلَالِ

Maksudnya: “Jibril datang menemuiku lalu memerintahkan agar aku memerintahkan para sahabatku untuk meninggikan suara mereka dengan membaca talbiyah.”

Riwayat Ahmad (15961), Abu Daud (1814), al-Tirmizi (829), al-Nasa’ie (2703), Ibn Majah (2922) dan Ibn Hibban (3791).

Syeikh Abdullah al-Bassam menyebut: Disunatkan mengangkat suara ketika bertalbiyah, dan ia dikhususkan untuk lelaki dan bukan perempuan kerana mereka dituntut untuk merendahkan suara. Ibn al-Munzir yang lainnya berkata: “Para ahli ilmu telah bersepakat bahawa sunat bagi perempuan untuk tidak meninggikan suaranya, dan kemakruhan itu disyaratkan jika tidak didengari oleh lelaki asing (ajnabi). Adapun jika didengari oleh lelaki asing, maka hukumnya haram.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/66-67)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *