Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum bersetubuh pada selain faraj sebelum wukuf di Arafah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ

Maksudnya: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji.”

(Surah al-Baqarah: 197)

Ibn Kathir berkata: “ (فلا رفث) di sini bermaksud sesiapa yang berihram dengan haji atau umrah, maka hendaklah dia meninggalkan rafath (رفث), iaitu bersetubuh. Begitu juga diharamkan kepada perkara yang membawa kepada persetubuhan, berciuman, dan seumpamanya serta membicarakan hal itu di hadapan wanita.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/543)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan al-Wazir yang menyebut:

“Mereka telah bersepakat bahawa jika seseorang melakukan persetubuhan pada selain kemaluan dan hal itu berlaku sebelum wukuf di Arafah, maka dia wajib membayar dam (denda) dan tidak rosak hajinya.”

Al-Muwaffaq (Ibn Qudamah) berkata: “Kami tidak mengetahui adanya perbezaan dalam hal itu.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/76)

Imam al-Nawawi berkata: “Adapun bersetubuh pada kemaluan wanita atau duburnya, atau dubur lelaki dan haiwan, maka rosaklah hajinya jika ia dilakukan sebelum tahallul pertama sama ada ia sebelum wuquf di Arafah dan selepasnya. Jika perbuatan itu dilakukan antara dua tahallul, hukumnya tidaklah rosak hajinya.” (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 170)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *