Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apakah yang Nabi SAW lakukan selepas selesai talbiyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: ““Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

(Surah al-Hajj: 27)

Talbiah merupakan satu ucapan yang menandakan kehadiran para Jemaah Haji yang dilafazkan oleh setiap jemaah haji. Ucapan ini dilaungkan setelah berihram ketika berada di tanah suci. Maksud yang dikehendaki dari laungan talbiah ini ialah menyahut seruan Allah SWT, pembuka ucapan dan pengakuan atau ikrar, iltizam serta komitmen perjanjian dan kata-kata langsung atau berdialog dengan Allah SWT.

Lafaz talbiah adalah seperti berikut:

لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ

Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”

Hal ini bersandarkan hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ

Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”

Riwayat Muslim (1184)

Sunat membaca laungan talbiah ini dimulai daripada berniat ihram hingga permulaan tawaf bagi yang mengerjakan umrah dan hingga mulai melontar jamrah al-Kubra atau mulai tawaf atau bercukur mengikut amalan mana yang didahulukan bagi yang mengerjakan haji.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Khuzaimah bin Thabit R.A, katanya:

أنَّ النَّبِيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- كانَ إِذَا فَرَغَ مِنْ تَلْبيَتهِ فِي حَجٍّ أَو عُمْرَةٍ سَأَلَ اللهَ رِضوَانَهُ وَالجَنَّةَ، وَاسْتَعَاذَ بِرَحْمَتِهِ مِن النَّارِ

Maksudnya: “Nabi SAW, apabila telah selesai daripada talbiyahnya dalam haji atau umrah, maka Baginda memohon kepada Allah keredhaan-Nya dan syurga, serta memohon perlindungan dengan rahmat-Nya daripada neraka.”

Riwayat al-Syafi’i dalam Musnadnya (1/307), al-Daraqutni (2507) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (9038). Hadith ini dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if al-Jami’ (6741)

Berdasarkan hadith di atas, terkandung beberapa pengajaran, antaranya:

  • Disyariatkan talbiyah untuk haji atau umrah dan hal ini merupakan petunjuk daripada Nabi SAW.
  • Disyariatkan berdoa setelah selesai talbiyah, kerana talbiyah itu adalah syiar (simbol) ibadah haji. Ia juga merupakan perbuatan haji yang paling utama dan doa yang dipanjatkan selepasnya layak untuk diterima.
  • Talbiyah itu mengandungi tauhid dan merupakan dasar agama. Maka apa yang selepasnya adalah termasuk tempat dikabulkan doa. Justeru, hendaklah mengambil kesempatan ini.
  • Keutamaan berdoa adalah memohon kepada Allah akan keredhaan dan rahmat-Nya. Hal itu sudah menghimpunkan kebaikan dunia dan akhirat. Begitu juga memohon perlindungan daripada api neraka yang merupakan keburukan dan musibah yang paling besar. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/130).

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *