Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum bermabit di Muzdalifah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَإِذَا أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّهَ عِندَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ ۖ وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ

Maksudnya: “Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju Muzdalifah), maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiyah dan tasbih) di tempat Masy’ar al-Haram (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Dia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.”

(Surah al-Baqarah: 198)

Daripada ‘Urwah bin Mudharris bin Aus bin Harithah bin Lam al-Ta’i, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ صَلاَتَنَا هَذِهِ، وَوَقَفَ مَعَنَا حَتَّى نَدْفَعَ، وَقَدْ وَقَفَ بِعَرَفَةَ قَبْلَ ذَلِكَ لَيْلاً أَوْ نَهَارًا، فَقَدْ أَتَمَّ حَجَّهُ وَقَضَى تَفَثَهُ.

Maksudnya: “Sesiapa yang menyaksikan solat kami ini, wuquf (berhenti di Muzdalifah) bersama kami sehingga kami berangkat (ke Mina) dan dia telah wuquf sebelum ini di Arafah pada malam atau siangnya, maka telah sempurna hajinya dan bersih kotorannya.”

Riwayat Abu Daud (1950), al-Tirmizi (891) dan al-Nasa’ie (3043). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Zad al-Ma’ad (2/233).

Selain itu, terdapat juga hadith daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَوَقَفْتُ هَاهُنا، وَعَرَفَةُ كُلُّهَا مَوْقِفٌ، وَوَقَفْتُ هَاهُنَا، وَجَمْعٌ كُلَّهَا مَوْقِفٌ

Maksudnya: “Dan aku wukuf sini, dan Arafah semuanya adalah tempat wukuf. Dan aku wukuf di sini, dan Jam’(Muzdalifah) semuanya adalah tempat wukuf.”

Riwayat Muslim (1218)

Para ulama’ berbeza pendapat mengenai hukum bermabit (bermalam) di Muzdalifah. Yang dimaksudkan dengan bermalam adalah mendapatkan waktu malam.

Imam Ahmad berpendapat, “Diwajibkan bermalam di Muzdalifah sehingga ke pertengahan malam, kecuali pemberi minum air dan penggembala, sekalipun mereka tidak mendapatkan waktu malam, kecuali setelah pertengahan malam, maka hal tersebut adalah memadai.”

Adapun Imam al-Syafi’i, pendapat yang sahih dalam mazhabnya, “Bahawa yang wajib adalah sebahagian kecil dari pertenghahan kedua waktu malam.”

Imam Malik berkata, “Yang wajib adalah berada di Muzdalifah di malam hari sebelum waktu fajar, sesuai dengan perjalanan yang ditempuh, iaitu berjalan dari Arafah ke Mina.”

Adapun mazhab Abu Hanifah berpendapat, “Bermalam di Muzdalifah sunat hukumnya menurut mereka. Yang wajib menurut mereka adalah melakukan wukuf seketika, setelah solat Subuh sehingga matahari terbit.”

Sebahagian ulama’ berpendapat – antaranya al-Sya’bi, Alqamah, al-Nakha’i dan Abu Bakar bin Khuzaimah – bahawa barangsiapa yang tidak melakukan wukuf di Muzdalifah, maka ia bererti tidak melaksanakan ibadah haji.”

Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, bahawa pendapat yang lebih mendekati kebenaran adalah pendapat yang merupakan petunjuk dari Nabi SAW pada pendapat pertama. Tidak ada satu dalil pun yang bertentangan apabila diteliti. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/154)

Syeikh Abd al-’Aziz bin Baz menyebut: “Menurut pendapat yang sahih, mabit di Muzdalifah adalah wajib. Tetapi sebahagian ulama’ mengatakan mabit di Muzdalifah sebagai rukun haji, dan sebahagian lain mengatakan sunnah. Adapun yang benar dari pendapat tersebut, bahawa mabit di Muzdalifah adalah wajib. Maka sesiapa yang meninggalkannya wajib membayar dam.” (Lihat Fatawa al-Hajj wa al-’Umrah, hlm. 32)

Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-21 menyatakan: Hukum bermabit di Muzdalifah adalah salah satu daripada wajib haji menurut pendapat al-Asah, bukannya rukun sebagaimana menurut al-Subki dan bukannya sunat sebagaimana pendapat al-Rafi’i. (Lihat Himpunan Resolusi Muzakarah Haji, hlm. 8)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *