Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sehingga bilakah talbiah dilakukan semasa musim haji?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

(Surah al-Hajj: 27)

Talbiah merupakan satu ucapan yang menandakan kehadiran para Jemaah Haji yang dilafazkan oleh setiap jemaah haji. Ucapan ini dilaungkan setelah berihram ketika berada di tanah suci. Maksud yang dikehendaki dari laungan talbiah ini ialah menyahut seruan Allah SWT, pembuka ucapan dan pengakuan atau ikrar, iltizam serta komitmen perjanjian dan kata-kata langsung atau berdialog dengan Allah SWT.

Lafaz talbiah adalah seperti berikut:

لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ

Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”

Hal ini bersandarkan hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ

Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”

Riwayat Muslim (1184)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma dan Usamah bin Zaid R.A, mereka berkata:

لَمْ يَزَلِ النَّبِيُّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يُلَبِّي حَتَّى رَمَى جَمْرَةَ العَقَبَةِ

Maksudnya: “Nabi SAW terus menerus membaca talbiyah sehingga Baginda melontar Jamrah al-’Aqabah.”

Riwayat al-Bukhari (1686)

Berdasarkan hadith di atas, terdapat beberapa pengajaran, antaranya:

  • Nabi SAW berterusan membaca talbiyah sewaktu ihram kerana talbiyah adalah zikir ibadah haji sekaligus syiarnya.
  • Sesungguhnya waktu membaca talbiyah berakhir pada permulaan waktu melontar jamrah aqabah, bukan di akhir waktunya dengan perbezaan pendapat para ulama’ padanya.
  • Hikmahnya adalah bahawa talbiyah adalah syiar daripada ibadah haji sekaligus pengabulan doa dari Allah SWT. Permulaan melontar jamrah adalah pelaksanaan tahallul dan berakhirnya perbuatan-perbuatan haji.
  • Memutuskan bacaan talbiyah ketika melontar jamrah aqabah adalah mazhab majoriti ulama’. Antaranya; Abu Hanifah, Ahmad, Sufyan al-Thauri, Ishaq dan para pengikut mereka yang disandarkan pada perbuatan Rasulullah SAW yang dikuatkan oleh sabdanya:

خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ

Maksudnya: “Ambillah dariku tatacara ibadah haji kamu semua.”

Riwayat Muslim (1297) dengan perbezaan lafaz dan al-Nasa’ie (3062)[1].

Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata: “Aku pernah melaksanakan ibadah haji bersama ‘Umar bin al-Khattab sebanyak sebelas kali. Beliau sentiasa membaca talbiyah sehingga melontar jamrah.”

  • Sebahagian ulama berpendapat, “Bacaan talbiyah dihentikan ketika memasuki tanah haram.”

Sebahagian ulama’ berkata, “Bacaan talbiyah dihentikan ketika seseorang bergerak pada 9 Zulhijjah menuju ke Arafah.”

Kedua-dua pendapat ini berbeza dengan hadith sahih daripada Nabi SAW.

Al-Tahawi berkata: “Adapun riwayat hadith yang menjelaskan bahawa Nabi SAW meninggalkan bacaan talbiyah sejak dari hari Arafah, sesungguhnya Baginda meninggalkannya kerana sibuk dengan zikir yang lain, dan hal ini bukanlah hukum syariat.”

Pendapat al-Tahawi dikuatkan oleh hadith yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi, daripada Ibn Mas’ud R.A, katanya:

لَقَدْ خَرَجْتُ مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مِنًى إِلَى عَرَفَةَ، فَمَا تَرَكَ التَّلْبِيَةَ حَتَّى رَمَى جَمْرَةَ الْعَقَبَةِ، إِلَّا أَنْ يَخْلِطَهَا بِتَكْبِيرٍ أَوْ تَهْلِيلٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah keluar bersama Rasulullah SAW dari Mina menuju Arafah. Nabi SAW tidak pernah meninggalkan bacaan talbiyah sehinggalah Baginda melontar jamrah aqabah. Hanya sahaja Baginda menggabungkannya dengan takbir dan tahlil.”

Riwayat Ahmad (3961), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (9688), Ibn Khuzaimah (2806), al-Hakim dalam al-Mustadrak (1717) dan al-Tahawi dalam Syarh Ma’ani al-Athar (4014). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan bahawa isnadnya sahih dalam takhrij al-Musnad (6/28)

Inilah yang dijelaskan dalam kitab Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram oleh Syeikh Abdullah al-Bassam (4/164).

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

[1] Dalam Sunan Ibn Majah, dengan lafaz:

 يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا

Maksudnya:  “Wahai manusia, ambillah kerja-kerja haji kamu. Sesungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku masih akan melaksanakan haji lagi selepas tahun ini.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *