Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa yang dimaksudkan dengan terhalang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ

Maksudnya: “Maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati, dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.”

(Surah al-Baqarah : 196)

Berkenaan ayat di atas, ia diriwayatkan telah turun di Hudaibiyah tatkala orang Musyrikin menghalang Nabi SAW dan para sahabatnya yang menuju ke Baitullah untuk mengerjakan umrah. Lalu Baginda pun menyembelih binatang dam dan bercukur. Sabda Nabi SAW kepada sahabat: “Bangunlah dan lakukanlah penyembelihan, kemudian bercukurlah.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/175)

Dalam menjawab persoalan di atas, para ulama berbeza pendapat mengenai dengan perkara apakah berlakunya halangan atau tegahan dalam ibadah haji.

Pendapat yang sahih adalah bahawa sesungguhnya segala hal yang menegah atau menghalang kesempurnaan ibadah haji dan seluruh tegahan yang ada, termasuklah musuh, disebabkan sakit, atau kehilangan harta, atau selainnya, maka ia disebut dengan unsur yang menghalang. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang bersifat umum:

فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ

Maksudnya: “Maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Selain itu, para ulama’ juga berbeza pendapat berkenaan kewajiban membayar dam bagi orang yang terhalang ibadah hajinya. Jumhur ulama’ berpendapat: “Wajibnya membayar dam. Apabila seseorang jemaah haji tidak mendapatinya, maka dia hendaklah puasa sepuluh hari dengan niat tahallul.”

Inilah sepertimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/206).

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *