Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah pantang larang yang tidak boleh dilakukan ketika berada di kota suci Makkah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَآ أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ رَبَّ هَـٰذِهِ ٱلْبَلْدَةِ ٱلَّذِى حَرَّمَهَا وَلَهُۥ كُلُّ شَىْءٍۢ ۖ وَأُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “(Katakanlah wahai Muhammad): ‘Aku hanyalah diperintahkan supaya menyembah Allah Tuhan negeri (Makkah) ini yang telah menjadikannya suci lagi dihormati dan yang menguasai segala-galanya; dan aku diperintahkan supaya tetap menjadi dari orang-orang Islam (yang menyerah diri bulat-bulat kepada-Nya).’

(Surah al-Naml: 91)

Sebahagian ahli tafsir menyebutkan, lafaz “حَرَّمَهَا” dalam ayat di atas bermaksud Allah SWT menjadikannya sebagai tanah haram dan aman daripada pertumpahan darah, tidak ada seorangpun yang dizalimi, dan haiwan liarnya tidak boleh diburu. (Lihat Zubdah al-Tafsir min Fath al-Qadir, hlm. 505)

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda pada hari pembukaan (pembebasan) kota Makkah:

إِنَّ هَذَا البَلَدَ حَرَّمَهُ اللَّهُ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، فَهُوَ حَرَامٌ بِحُرْمَةِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ، وَإِنَّهُ لَمْ يَحِلَّ القِتَالُ فِيهِ لِأَحَدٍ قَبْلِي، وَلَمْ يَحِلَّ لِي إِلَّا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ، فَهُوَ حَرَامٌ بِحُرْمَةِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ، لاَ يُعْضَدُ شَوْكُهُ، وَلاَ يُنَفَّرُ صَيْدُهُ، وَلاَ يَلْتَقِطُ لُقَطَتَهُ إِلَّا مَنْ عَرَّفَهَا، وَلاَ يُخْتَلَى خَلاَهُ» فَقَالَ العَبَّاسُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِلَّا الإِذْخِرَ فَإِنَّهُ لِقَيْنِهِمْ وَلِبُيُوتِهِمْ، قَالَ: «إِلَّا الإِذْخِرَ»

Maksudnya: “Tidak ada hijrah (selepas pembukaan kota Makkah), tetapi jihad dan niat (adalah wajib). Apabila kamu diperintah untuk berangkat (berperang) maka berangkatlah.” Baginda bersabda pada hari pembukaan (pembebasan) kota Makkah: “Sesungguhnya negeri ini diharamkan oleh Allah pada hari diciptakan langit dan bumi, maka ia haram kerana pengharaman daripada Allah hingga hari kiamat. Sesungguhnya tidak dihalalkan melakukan peperangan di dalamnya bagi seorang pun sebelumku, dan tidak dihalalkan untukku kecuali sebentar sahaja dari waktu siang. Ia haram kerana pengharaman Allah hingga hari Kiamat. Tidak boleh dipotong pohon berdurinya, tidak diusik binatang buruannya, tidak diambil barang yang dijumpainya, kecuali bagi orang yang ingin mengumumkannya, dan tidak dicabut rumputnya.” Al-‘Abbas berkata: “Wahai Rasulullah, kecuali izkhir (sejenis tumbuhan yang berbau wangi), sesungguhnya ia untuk tukang besi dan rumah-rumah mereka.” Nabi SAW bersabda: “Kecuali izkhir.”

Riwayat al-Bukhari (3189) dan Muslim (1353)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, berdasarkan kitab kami Garis Masa Hayat al-Rasul SAW (hlm. 188) antara lain menyebut:

Pada hari kedua Pembukaan Kota Makkah, Rasulullah SAW bangun di hadapan orang ramai untuk menyampaikan ucapan. Antara ucapan Baginda SAW,

 إِنَّ مَكَّةَ حَرَّمَهَا اللَّهُ وَلَمْ يُحَرِّمْهَا النَّاسُ وَلَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ يُؤْمِنُ بِاللِّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ يَسْفِكَ بِهَا دَمًا، وَلَا يَعْضِدَ بِهَا شَجَرَةً، فَإِنْ أَحَدٌ تَرَخَّصَ لِقِتَالِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهَا فَقُولُوا لَهُ: إِنَّ اللَّهَ أَذِنَ لِرَسُولِهِ وَلَمْ يأَذَنْ لَكُمْ فَإِنَّمَا أَذِنَ لِي سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ، ثُمَّ عَادَتْ حُرْمَتُهَا الْيَوْمَ كَحُرْمَتِهَا بِالْأَمْسِ فَلْيُبَلِّغِ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ

Maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah mengharamkan Makkah sejak diciptakan langit dan bumi. Ia haram dengan pengharaman Allah sehinggalah hari Kiamat. Oleh itu, bagi orang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, tidak halal untuk menumpahkan darah atau menebang pokok-pokoknya. Jika ada yang cuba menganggap ringan dengan alasan bahawa Rasulullah SAW sendiri berperang di Makkah, maka hendaklah kamu kata: ‘Sesungguhnya Allah hanya membenarkan kepada Rasul-Nya, tetapi tidak kepada kamu.’ Itu pun hanya dihalalkan kepadaku pada sebahagian waktu di siang hari. Dan pada hari ini, kehormatannya kembali semula sebagaimana kehormatannya semalam. Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada orang yang tidak hadir di sini.” (Lihat al-Sunan al-Kubra oleh Imam al-Nasaie, hadith no. 3845)

Dalam satu riwayat lain menyebut,

لَا يُعْضَدُ شَجَرُهَا، وَلَا يُنَفَّرُ صَيْدُهَا، وَلَا يَأْخُذُ لُقْطَتَهَا إِلَّا مُنْشِدٌ» فَقَالَ الْعَبَّاسُ: إِلَّا الْإِذْخِرَ، فَإِنَّهُ لِلْبُيُوتِ وَالْقُبُورِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِلَّا الْإِذْخِرَ

Maksudnya: “Jangan dipotong duri-durinya, jangan diburu buruan, jangan dipungut barang yang jatuh kecuali orang yang benar-benar mengenalinya dan jangan dipotong rumput-rampainya.” Lalu al-’Abbas berkata, “Wahai Rasulullah, kecuali pokok izkhir kerana ia digunakan tukang-tukang untuk membuat rumah.” Rasulullah SAW bersabda, “Kecuali izkhir.”

Riwayat Ibn Majah (2541)

Setelah Allah mengurniakan kejayaan kepada orang Islam dengan pembukaan kota Makkah, penduduknya mula melihat akan kebenaran Rasulullah SAW. Mereka mula yakin bahawa tiada lagi jalan untuk mencapai kejayaan melainkan dengan Islam. Kerana itu, mereka bersetuju untuk memeluk Islam. Mereka pun berkumpul beramai-ramai untuk memberikan bai’ah. Lalu Rasulullah SAW duduk di atas Bukit Safa dan menerima bai’ah daripada orang ramai. Umar R.A berada di bawah sedikit daripada Rasulullah SAW sambil sama-sama menerima bai’ah orang ramai. Mereka berbai’ah (ikrar taat setia) kepada Rasulullah SAW untuk mendengar dan mematuhi Rasulullah SAW sedaya upaya mereka. Setelah selesai menerima bai’ah daripada orang lelaki, Baginda SAW beralih pula kepada bai’ah orang perempuan.

Rasulullah SAW menetap di Makkah selama 19 hari. Dalam tempoh itu, Baginda memperbaharui mercu-mercu tanda Islam dan membimbing penduduknya kepada hidayah dan takwa. Baginda juga mengutuskan pasukan-pasukan operasi untuk menyebarkan dakwah Islam dan menghancurkan patung-patung di sekeliling Makkah. Kesemua patung itu telah dihancurkan. Seorang penyampai bagi pihak Rasulullah SAW melaungkan di Makkah, “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka jangan dibiarkan ada patung di dalam rumahnya melainkan hendaklah dipecahkan.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 707-708)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *