Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Memakai wangian adalah termasuk dalam larangan semasa ihram. Adakah mandi dengan memakai sabun sewaktu ihram adalah dikira melanggar larangan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara asasnya, hukum asal mengenakan wangian bagi mereka yang sedang berada dalam ihram sama ada lelaki atau perempuan adalah dilarang. Larangan ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَلَا تَلْبَسُوا شَيْئًا مَسَّهُ زَعْفَرَانٌ وَلَا الْوَرْسُ

Maksudnya: “Dan janganlah kalian memakai (ketika ihram) pakaian yang disentuh za‘faran dan al-wars (herba yang biasa dijadikan wangian)”

Riwayat al-Bukhari (1838) dan Muslim (1177)

Syeikh Jalaluddin al-Mahalli menyatakan, bahawa termasuk di dalam larangan ihram mengenakan wangi-wangian pada pakaian dan badan seperti dengan minyak wangi atau kapur barus atau atau wars (الوَرْسُ) atau seumpamanya. Begitu juga, Syeikh Ahmad al-Barlisi ‘Umairah menukilkan daripada Imam al-Rafi’ie, bahawa yang dimaksudkan dengan wangi-wangian adalah penggunaannya bertujuan untuk wangian semata-mata. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 2/168)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sebuah hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كُنْتُ أُطَيِّبُ رَسُولَ الله -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- لإِحْرَامِهِ قَبْلَ أَنْ يُحْرِمَ، ولَحِلِّهِ قَبْلَ أَنْ يَطُوفَ بالبَيْتِ

Maksudnya: “Aku memakaikan Rasulullah SAW minyak wangi sebelum ihramnya, sebelum Baginda berihram, dan untuk tahallulnya sebelum Baginda melakukan tawaf (mengelilingi Ka’bah).”

Riwayat al-Bukhari (1539) dan Muslim (1189)

Berdasarkan hadith di atas, secara asasnya, sunat memakai minyak wangi sebelum melakukan ihram supaya kesannya tetap ada apabila telah berihram.

Justeru, kami katakan dibolehkan untuk kita memakai wangian seperti sabun wangi sebelum berniat ihram. Namun, sekiranya sudah berniat ihram maka ketika itu sudah tidak boleh kerana sudah masuk dalam larangan ihram.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *