Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya amat keliru dalam pembayaran dam ketika ihram. Bolehkah Dato jelaskan secara ringkas berkenaannya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.”

 (Surah ali-Imran: 97)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dam-dam yang diwajibkan apabila melakukan kesalahan ketika ihram ada lima, iaitu:

  1. Dam yang wajib disebabkan meninggalkan amalan wajib haji

Dam ini secara tertib adalah menyembelih seekor kambing. Sekiranya tidak dapat melakukannya, berpuasa 10 hari (tiga hari ketika haji dan tujuh hari ketika pulang kepada keluarganya).

  1. Dam yang wajib disebabkan bercukur ataupun bersenang- senang

Dam ini secara pilihan adalah menyembelih seekor kambing, ataupun berpuasa tiga hari, ataupun bersedekah tiga sho’ kepada enam orang miskin.

  1. Dam yang wajib disebabkan terhalang melakukan rukun haji

Dia wajib bertahalul dan menyembelih seekor kambing.

  1. Dam yang wajib disebabkan membunuh haiwan buruan

Dam ini secara pilihan adalah:

  • Sekiranya haiwan buruan itu adalah haiwan yang mempunyai kesamaan, wajib mengeluarkan haiwan yang sepadan dengannya. Ataupun menilai harganya, kemudian dengan harga itu digunakan bagi membeli makanan, lalu disedekahkan. Ataupun berpuasa satu hari untuk setiap mud.
  • Sekiranya haiwan buruan itu adalah haiwan yang tidak mempunyai kesamaan, wajib mengeluarkan makanan yang seharga dengannya. Ataupun berpuasa satu hari untuk setiap mud.
  1. Dam yang wajib disebabkan bersetubuh
  • Dam ini secara tertib adalah menyembelih seekor unta. Sekiranya tidak mampu mendapatkannya, digantikan dengan seekor lembu.
  • Sekiranya tidak mampu mendapatkannya juga, perlu mendapatkan tujuh kambing.
  • Sekiranya tidak mendapatkannya juga, unta itu dinilai harganya, kemudian harga itu dibelikan makanan, lalu disedekahkan. Sekiranya tidak mendapatkannya, berpuasa satu hari untuk setiap mud.

Tidak sah menyembelih haiwan korban dan memberi makan, kecuali dilakukan di Tanah Haram. Sementara puasa boleh dilakukan di mana sahaja. (Lihat Matan Abi Syuja’, hlm. 21)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *