Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah umrah sah jika wanita yang dalam keadaan berhutang keluar menunaikan umrah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, hukum mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah wajib dikerjakan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan. Berkemampuan yang dimaksudkan di sini ialah mampu menunaikan fardhu umrah sama ada dengan sendirinya atau dengan pertolongan orang lain. Ini kerana ibadah haji dan umrah hanya diwajibkan ke atas orang yang berupaya dan berkemampuan, berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.”

 (Surah Ali ‘Imran: 97)

Adapun hukum melaksanakan ibadah umrah adalah dibolehkan dan diharuskan, meskipun seseorang itu masih mempunyai hutang yang masih belum dilangsaikan. Hal ini kerana jenis hutang ini terdapat dua jenis, iaitu hutang yang perlu dilangsai segera dan hutang bertangguh.

Imam al-Nawawi berkata: Jika dia masih ada hutang yang perlu dilangsaikan dengan segera, sedangkan dia mampu melaksanakannya, maka pemberi hutang berhak menghalangnya daripada musafir. Sebaliknya jika dia termasuk daripada golongan yang sukar kerana kesempitan hidup dan tidak memiliki sesuatu yang dituntutnya. Ketika itu, ia harus bermusafir tanpa izinnya. Begitu juga jika hutang itu bersifat bertangguh, malah boleh ia bermusafir tanpa menjelaskannya terlebih dahulu. Tetapi sunat baginya tidak keluar musafir sehingga diwakilkan kepada seseorang yang boleh melangsaikan hutangnya ketika ketiadaannya. (Lihat al-Idhah, hlm. 18)

Namun begitu, pelaksanaan ibadah umrah yang ingin dilakukan mestilah mematuhi beberapa syarat atau dhawabit yang telah ditetapkan iaitu mempunyai pendapatan yang melebihi sara diri serta orang yang di dalam tanggungannya untuk melunaskan hutang dan perbelanjaan dalam mengerjakan ibadah umrah. Justeru, sesiapa yang tidak mempunyai lebihan wang daripada pendapatannya atau pendapatannya hanya cukup-cukup untuk kehidupan sehariannya, maka dia tidak boleh meneruskan untuk menunaikan umrah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *