Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah wanita yang sedang di dalam haid perlu berniat ihram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, haid atau nifas atau berada dalam junub tidak menghalang seseorang itu untuk berniat ihram sama ada bagi haji atau umrah. (Lihat Soal Jawab Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah, terbitan Tabung Haji, hlm. 43)

Di dalam sebuah hadith, Ummu al-Mukminin ‘Aisyah R.Anha menceritakan:

خَرَجْنَا لاَ نَرَى إِلَّا الحَجَّ، فَلَمَّا كُنَّا بِسَرِفَ حِضْتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِي، قَالَ: مَا لَكِ أَنُفِسْتِ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ، فَاقْضِي مَا يَقْضِي الحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Kami keluar tanpa memikirkan kecuali untuk mengerjakan haji. Apabila kami berada di Sarif, aku kedatangan haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: ‘Kenapa dengan kamu, adakah kamu telah kedatangan haid?’ Aku menjawab: ‘Ya.’ Nabi SAW bersabda: ‘Ini adalah suatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah kepada wanita-wanita dalam kalangan anak-anak Adam. Lakukan sepertimana orang-orang haji tunaikan, cuma kamu jangan bertawaf di Baitullah’.”

Riwayat al-Bukhari (294) dan Muslim (1211)

Jika diqiyaskan umrah dengan haji, maka hukum wanita yang didatangi haid untuk berniat ihram adalah wajib, tetapi dia tidak dibenarkan untuk mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah.

Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini merupakan dalil bahawa wanita yang didatangi haid atau nifas dan orang yang berhadas, sah untuk mereka melakukan kesemua amal perbuatan dalam haji (begitu juga umrah), zikir-zikir serta kaifiyyatnya, kecuali bertawaf dan solat sunat tawaf. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/146)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *