Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum wanita yang haid setelah berniat ihram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Wanita yang kedatangan haid setelah berniat ihram hendaklah dia menunggu sehingga suci daripada haid tersebut kemudian menyambung kembali manasik haji atau umrah atau bertahallul  melainkan dia telah melakukan niat bersyarat. Hal tersebut adalah berdasarkan riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:

دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى ضُبَاعَةَ بِنْتِ الزُّبَيْرِ، فَقَالَ لَهَا: أَرَدْتِ الْحَجَّ؟ فَقَالَتْ: وَاللَّهِ لاَ أَجِدُنِى إِلاَّ وَجِعَةً. فَقَالَ: حُجِّي وَاشْتَرِطِي، وَقَولِي: اللَّهُمَّ مَحِلِّى حَيْثُ حَبَسْتَنِي

Maksudnya: “Rasulullah SAW menemui Dhuba‘ah binti al-Zubair. Baginda bertanya: ‘Adakah engkau hendak mengerjakan haji?’ Dhuba‘ah menjawab: ‘Demi Allah, aku tiada masalah kecuali berasa sakit.’ Baginda bersabda: ‘Berniatlah mengerjakan haji dengan bersyarat dan ucapkanlah: Ya Allah! Aku akan bertahallul sekiranya ada halangan atas kehendak-Mu’.”

Riwayat al-Bukhari (5089) dan Muslim (1207)

Orang yang mengerjakan haji atau umrah boleh mengenakan syarat bahawa sekiranya dia jatuh sakit atau berlaku sesuatu seumpamanya dia akan bertahallul. Justeru, apabila sesuatu yang disyaratkan itu berlaku, haruslah baginya bertahallul. Bertahallul dalam keadaan ini perlu kepada niat dan bercukur, dan tidak dikenakan dam kecuali apabila seseorang itu mensyaratkan tahallul dengan dam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/176)

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *