Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah ibadah umrah untuk wanita yang masih keluar darahnya walaupun telah melebihi 15 hari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sekiranya wanita tersebut telah berniat ihram bersyarat di miqat, tetapi darahnya berterusan keluar melebihi tempoh maksima haid, maka darah yang melebihi tempoh itu dikira istihadhah. Dalam keadaan tersebut, wanita itu boleh mengerjakan ibadah umrahnya selepas tempoh 15 hari itu.

Ini berdasarkan hadith Ummu al-Mukminin ‘Aisyah R.Anha:

أَنَّ بَعْضَ أُمَّهَاتِ المُؤْمِنِينَ اعْتَكَفَتْ وَهِيَ مُسْتَحَاضَةٌ

Maksudnya: “Sebahagian daripada isteri-isteri Nabi SAW beriktikaf ketika mereka dalam keadaan beristihadhah.”

Riwayat al-Bukhari (311)

Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, difahami melalui hadith ini, keharusan untuk wanita yang istihadhah duduk di dalam masjid, sah iktikaf serta solatnya, dan boleh untuk dia berada di dalam masjid selama mana diyakini selamat dari mengotorkan masjid. Begitu juga mereka yang da’im al-hadath (دًائِمُ الحَدَثِ) seperti luka yang masih mengalir. (Lihat Fath al-Bari, 1/412)

Sekiranya beriktikaf dan solat di dalam masjid dibenarkan, maka begitu juga tawaf dibenarkan untuk wanita yang istihadhah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ.

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami daripada kalangan orang yang bertaubat, dan jadikan kami daripada kalangan orang yang bersuci.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *