Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum Wanita memakai wangian sebelum dan semasa di dalam ihram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Memakai wangian sebelum berihram merupakan perkara sunnah yang dianjurkan untuk dilakukan. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كُنْتُ أُطَيِّبُ رَسُولَ الله -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- لإِحْرَامِهِ قَبْلَ أَنْ يُحْرِمَ، ولَحِلِّهِ قَبْلَ أَنْ يَطُوفَ بالبَيْتِ

Maksudnya: “Aku memakaikan Rasulullah SAW minyak wangi sebelum ihramnya, sebelum Baginda berihram, dan untuk tahallulnya sebelum Baginda melakukan tawaf (mengelilingi Kaabah).”

Riwayat al-Bukhari (1539) dan Muslim (1189)

Berdasarkan hadith di atas, secara asasnya, sunat memakai minyak wangi sebelum melakukan ihram supaya kesannya tetap ada apabila telah berihram.

Adapun semasa dalam ihram hukum asal mengenakan wangian bagi mereka yang sedang berada dalam ihram sama ada lelaki atau perempuan adalah dilarang. Larangan ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَلَا تَلْبَسُوا شَيْئًا مَسَّهُ زَعْفَرَانٌ وَلَا الْوَرْسُ

Maksudnya: “Dan janganlah kalian memakai (ketika ihram) pakaian yang disentuh za‘faran dan al-wars (herba yang biasa dijadikan wangian).”

Riwayat al-Bukhari (1838) dan Muslim (1177)

Syeikh Jalaluddin al-Mahalli menyatakan, bahawa termasuk di dalam larangan ihram mengenakan wangi-wangian pada pakaian dan badan seperti dengan minyak wangi atau kapur barus atau atau wars (الوَرْسُ) atau seumpamanya. Begitu juga, Syeikh Ahmad al-Barlisi ‘Umairah menukilkan daripada Imam al-Rafi’ie, bahawa yang dimaksudkan dengan wangi-wangian adalah penggunaannya bertujuan untuk wangian semata-mata. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 2/168)

Sesiapa yang melanggar pantang larang ini semasa sedang berihram dengan memakai wangi-wangian, dia diwajibkan untuk membayar Dam. Antara jenis Dam yang diberikan pilihan untuk mereka yang melanggar larangan tersebut adalah:

  • Menyembelih seekor kambing.
  • Atau memberi makanan 3 gantang makanan ruji kepada 6 orang miskin dengan tiap-tiap seorang memperoleh setengah gantang.

Atau berpuasa selama 3 hari. (Lihat Matla‘ al-Badrain, 1/325; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 518-519)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *