Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah dianjurkan bagi wanita untuk menunaikan umrah berkali-kali, atau bersedekah dalam bentuk wang kepada adik beradik atau keluarga untuk menunaikan umrah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Jumhur ulama’ berpendapat bahawa dianjurkan umrah berkali-kali, dan mereka berhujjah dengan hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا

Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya.”

Riwayat al-Bukhari (1773) dan Muslim (1449)

Begitu juga berdasarkan hadith daripada ‘Umar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 تَابِعُوا بَيْنَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ فَإِنَّ الْمُتَابَعَةَ بَيْنَهُمَا تَنْفِي الْفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِي الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ ‏

Maksudnya: “Iringilah haji dengan umrah, kerana mengiringi haji dengan umrah dapat menghilangkan dosa dan kefakiran, sebagaimana alat peniup api dapat menghilangkan karat besi.”

Riwayat al-Tirmizi (810), al-Nasa‘ie (2631), Ibn Majah (2887), Ahmad (167) dan Ibn Hibban (3693). Syeikh Ahmad Syakir menilai sanadnya sebagai sahih (Lihat Takhrij al-Musnad, 5/244)

Selain daripada dua hadith ini, masih ada hadith lain yang dijadikan sandaran oleh pendapat jumhur. Dan diriwayatkan juga bahawa ‘Aisyah R.Anha melakukan umrah dalam satu bulan sebanyak dua kali, iaitu ketika dia melakukan haji wada‘ bersama Nabi SAW. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/6)

Akan tetapi, sekiranya ada dari kalangan ahli keluarga kita yang masih belum direzekikan untuk mengerjakan umrah Islam, iaitu umrah mereka yang pertama kerana tidak berkemampuan, dan wanita tersebut dilimpahkan rezeki berbentuk harta yang lebih dari kecukupan serta keperluannya, alangkah baiknya jika dia boleh bersedekah kepada ahli keluarganya itu. Diriwayatkan dalam hadith Thauban maula Rasulullah SAW:

أَفْضَلُ الدَّنَانِيرِ: دِينَارٌ يُنْفِقُهُ الرَّجُلُ عَلَى عِيَالِهِ

Maksudnya: “Antara wang dinar yang paling afdhal; wang dinar yang dinafkahkan oleh seorang lelaki kepada keluarganya.”

Riwayat Muslim (994)

Hal ini termasuk dalam nas:

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Al-Tabari menyatakan: Sesungguhnya wahai orang-orang yang beriman, hendaklah tolong-menolong satu sama lain dalam kebajikan.  Kebajikan itu ialah melaksanakan apa yang diperintahkan Allah untuk dilakukan dan ‘taqwa’, pula ialah menjauhi apa yang diperintahkan Allah untuk dijauhi dan meninggalkan perbuatan dosa. (Lihat Jami’ al-Bayan, 9/490)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya:Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *