Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum Wanita yang terbuka aurat tanpa sengaja ketika tawaf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sekiranya aurat seorang wanita terdedah semasa melaksanakan tawaf, maka hendaklah segera menutupi aurat yang terbuka tersebut. Aurat adalah salah satu syarat sah bagi tawaf. Dalam keadaan seperti ini, tawaf yang dilakukan masih dianggap sah kerana pendedahan aurat itu tidak disengajakan. Hal ini besandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa beliau berkata:

بَعَثَنِي أَبُو بَكْرٍ فِي تِلْكَ الحَجَّةِ فِي مُؤْذِنِينَ بَعَثَهُمْ يَوْمَ النَّحْرِ يُؤْذِنُونَ بِمِنًى، أَنْ لاَ يَحُجَّ بَعْدَ العَامِ مُشْرِكٌ وَلاَ يَطُوفَ بِالْبَيْتِ عُرْيَانٌ، قَالَ حُمَيْدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ: ثُمَّ «أَرْدَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ، وَأَمَرَهُ أَنْ يُؤْذِنَ بِبَرَاءَةَ»، قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: فَآذَنَ مَعَنَا عَلِيٌّ يَوْمَ النَّحْرِ فِي أَهْلِ مِنًى بِبَرَاءَةَ، وَأَنْ لاَ يَحُجَّ بَعْدَ العَامِ مُشْرِكٌ، وَلاَ يَطُوفَ بِالْبَيْتِ عُرْيَانٌ.

Maksudnya: Abu Bakar mengutuskanku pada musim haji itu dan terdapat seseorang yang mengumumkan pada hari al-Nahr (Sembelihan dan qurban) di Mina bahawa tidak ada lagi orang musyrikin yang menunaikan haji selepas daripada tahun ini dan tidak ada juga orang yang bertelanjang melakukan tawaf di Ka’bah.” Humaid bin ‘Abd al-Rahman berkata: Kemudiannya Nabi SAW bersama ‘Ali bin Abu Thalib dan baginda memerintahkannya untuk menyampaikan surah Bara’ah. Abu Hurairah berkata: Maka ‘Ali bersama kami menyampaikan surah Bara’ah pada hari al-Nahr (Sembelihan dan qurban) kepada penduduk Mina. Sesungguhnya, tidak ada orang musyrik yang .melaksanakan haji selepas daripada tahun ini, serta orang telanjang tidak  boleh melakukan tawaf di Ka’bah.

Riwayat Bukhari (4655)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Jika auratnya terbuka tanpa disengajakan dan segera ditutupi, tawafnya tidak terbatal, sama seperti solatnya tidak terbatal. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/16)

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *