Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum jika wangian terkena kain atau pakaian untuk melakukan tawaf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum asal memakai wangian dalam keadaan ihram adalah dilarang. Akan tetapi jika dia tidak tahu tentang perkara ini, atau terkena wangian pada kain ihram tanpa disengajakan, maka tiada masalah dan tidak dikenakan Dam.

Diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan umatku yang melakukan kesalahan dan terlupa serta apa yang terpaksa ke atasnya.”

Riwayat Ibn Majah (2045) dan al-Baihaqi di dalam al-Sunan (7)

Imam al-Nawawi berkata bahawa tidak dikenakan fidyah (Dam) ke atasnya kerana ia berlaku bukan atas kesengajaannya. (Lihat al-Majmu‘, 7/272)

Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan: “Tidak dikenakan fidyah (atau Dam) pada mereka yang mengenakan wangian kerana terlupa bahawa dia sedang berihram, atau dipaksa memakai wangian, atau jahil tentang larangan tersebut, atau jahil bahawa objek yang disentuh itu disapukan padanya minyak wangi.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/296)

Disebutkan di dalam Fatawa al-Lajnah al-Daimah bahawa orang yang menyentuh kain Kaabah yang disapukan wangian secara spontan, kemudian menyapu pada badan, rambut, dan pakainannya, diwajibkan ke atasnya Dam. Dan dikecualikan jika orang tersebut jahil tentang larangan ini atau terlupa, maka tidak dikenakan Dam tersebut. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 11/186)

Sekiranya dia dapati pada tangannya terdapat wangian itu, segeralah membasuhnya. Hal yang demikian berdasarkan firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

 Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *