Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah cara untuk mengelakkan dam bagi wanita apabila rambut mereka mengalami keguguran yang tidak dapat dielakkan ketika ihram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asalnya mencabut rambut atau bulu ketika dalam keadaan berihram  adalah tidak dibolehkan kerana ia termasuk dalam larangn ketika ihram. Namun, bulu yang gugur tanpa disengajakan tidaklah termasuk dalam larangan tersebut kerana ia dikira bulu-bulu yang mati. Oleh yang demikian, tidaklah ia dikenakan dam melainkan ia disengajakan.

Dalam kitab al-Idhah menyatakan jika rambut gugur dan syak adakah dengan sebab sisir atau gugur sendirinya, maka tiada fidyah baginya mengikut pendapat yang asah. (Lihat  al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, Hlm.131)

Dr. Muhammad Zuhaili menyebut, kalau sekiranya seseorang yang berihram itu melihat rambut yang gugur dan ia syak adakah rambut itu gugur disebabkan ia menyikat rambutnya atau gugur dengan sendiri, maka tidak dikenakan fidyah ke atasnya. Kerana rambut yang tercabut itu, ia tidak meyakini sebab gugurnya. Ini kerana (الأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّة) maksudnya keadaan asal seseorang itu bebas daripada tanggungan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/321)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *